ms Malay en English
A- A A+

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang Pada 31 Disember 1988 telah membincangkan Mengenai Masalah Pertubuhan Al-Arqam Dan Majalah-Majalah Terbitannya dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut: 

Huraian:

 Untuk memahami persoalan dan kedudukan Arqam di sisi syariah Islam terkandung di dalam kitabnya sendiri iaitu buku Aurad Muhammadiah iaitu merupakan rekod pegangan jemaah Al-Arqam itu sendiri.

Kitab karangan ustaz Taha Suhaimi, Singapura “Mengapa Saya Keluar Al-Arqam” telah dijadikan rujukan.

Selain itu kitab mu’tabar yang boleh digunakan untuk mengetahui persoalan yang timbul ialah kitab hadis Al-Mushkilah, Abu Daud, Ibnu Majah, Muslim.

Kitab Al-Mukhtasar Fil Mahdi Al-Muntazir juga boleh dijadikan rujukan. Beberapa maklumat tentang Al-Arqam yang menimbulkan persoalan dari segi ajaran Islam, antaranya ialah seperti berikut:

1- Mengenai bacaan Asyhadu Allaa ilaaha Illallah Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah, Abu Bakar As-siddiq, Umar Al-Faruq, Uthman Birru Rahim, Ali ‘Iddu Din, Muhammad Al-Mahdi khulafa’ Rasulullah, dikehendaki dibaca 10 kali.

2- Di dalam kitab Aurad Muhammadiah ada menyatakan bahawa kepercayaan kepada Imam Mahdi bukan merupakan perkara akidah.

3- Kepercayaan bahawa Syeikh Suhaimi yang disebut oleh As-Syaari akan menjadi Imam Mahdi.

4- Kedatangan Imam Mahdi yang dinantikan oleh pelajar tidak muncul-muncul ini menimbulkan syak yang sesuatu itu tidak boleh dipercayai. Pelajar tersebut menghantar surat ke Malaysia memberitahu pihak berkenaan.

5- Kepercayaan bahawa Syeikh Suhaimi yang disebut oleh As-Syaari akan menjadi Imam Mahdi.

Ada beberapa perkara yang timbul daripada perbincangan ini:

      1- Bahawa Al-Arqam percaya seseorang yang telah mati itu adalah Mahdi yang dijanjikan zahir akhir zaman.

      2- Bahawa masalah Mahdi adalah bukan perkara akidah.

      3- Bahawa perkara siapa Mahdi itu perkara ijtihad.

      4- Bahawa jemaah Al-Arqam sedang menanti kemunculan orang itu sebagai Mahdi.

      5- Bahawa Al-Arqam mahu supaya pegangan ini tersebar di kalangan orang-orang Islam dan mereka semua bersedia                  untuk menyambut kedatangannya.

     6- Dan sebagai tambahan boleh disebutkan bahawa mengikut pihak penyiasatan polis ancaman jemaah Al-Arqam                        terhadap keselamatan negara adalah terlalu membimbangkan.

Peristiwa yang berlaku di New Zealand baru-baru ini menunjukkan bahawa amalan di dalam jemaah ini gangguan dari alam jin.

Keputusan:

 A- Bahawa buku yang bertajuk:

(a) “ Aurad Muhammadiah pegangan Darul Arqam sekaligus menjawab tuduhan “ yang ditulis oleh ustaz Haji Ashaari Muhammad, dan

(b)“ Manaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Bin Abdullah As-Suhaimi” yang ditulis oleh Muhammad Taha As-Suhaimi, adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan akidah dan Syariah Islamiah serta boleh mengelirukan dan menyesatkan masyarakat Islam.

B- Bahawa Kumpulan Darul Arqam atau Al-Arqam, iaitu suatu kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku bertajuk:

(a) “Aurad Muhammadiah pegangan Darul Arqam sekaligus menjawab tuduhan” dan

(b) “Manaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Bin Abdullah As-Suhaimi”. Adalah suatu kumpulan yang sesat dan bertentangan dengan akidah dan Syariah Islamiah serta boleh mengelirukan dan menyesatkan masyarakat Islam.

C- Oleh yang demikian:

(a) Percetakan, penerbitan, pemilikan, penyiaran, penyebaran atau pengedaran buku “ Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan “ Munaqib (riwayat hidup) Muhammad Bin Abdullah As-Suhaimi” termasuk :

    (i) Apa-apa bentuk, versi atau variasinya

    (ii)Apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa

   (iii) Apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana- mana buku itu, pada atau atas apa-apa              bahan samada bahan cetak atau elektronik atau melalui apa-apa media adalah haram.

(b) Pengajaran, pembelajaran, pengalaman dan penyebaran ajaran-ajaran atau fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan “Munaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Bin Abdullah As-Suhaimi” adalah haram.

(c) Kumpulan Darul Arqam atau Al-Arqam itu atau mana-mana kumpulan lain atau orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku “ Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan “ Munaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Bin Abdullah As-Suhaimi” adalah haram.

(d)  Adalah haram bagi orang Islam:

     (i) Menjadi anggota atau memimpin kumpulan Darul Arqam atau Al- Arqam atau mana-mana kumpulan lain yang                      disebut dalam (c);

     (ii) Membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian. 

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan