NIKAH SECARA WALI TAHKIM
Kategori : Munakahat
Keputusan:
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 14 Jun 1998 telah membincangkan mengenai Nikah Secara Wali Tahkim dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
Mesyuarat telah membincang masalah tersebut dari sudut syarie dan maslahat umat Islam samada dari aspek sosial, kekeluargaan serta kesannya kepada negara. Dengan itu mesyuarat bersetuju membuat keputusan fatwa sebagaimana berikut:
- Bahawa amalan perkahwinan umat Islam di negeri ini secara wali tahkim dan di negeri-negeri yang mempunyai Syaukoh Islamiyyah ( شوقة اسلامية ) adalah tidak sah kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak berhubung dengan masalah tersebut.
- Antara sandaran nas bagi fatwa ini dipetik dari Mughniyul Muhtaj, Juzu’ 3 halaman 117 berbunyi:
وكلام الشافعى مؤذن بأن موضع الجواز عند الضرورة, ولا ضرورة مع إمكان
التزويج من حاكم اهل حاضر بالبلد.
Huraian:
Mesyuarat diberi penjelasan bahawa pada masa akhir-akhir ini banyak berlaku kes nikah secara wali tahkim yang dilakukan oleh sindiket tertentu. Setelah melangsungkan akad secara wali tahkim, penganjur berkenaan mendaftar perkahwinan tersebut dengan pendaftar nikah rujuk bertauliah yang mempunyai kuasa wali hakim dengan membuat perakuan bahawa pasangan tersebut anak mukimnya.
Amalan seumpama ini sukar untuk dibendung melalui undang-undang kerana ianya seolah-olah tidak berlawanan dengan syarat – syarat yang ditetapkan dalam undang-undang dan hukum juga syarak. Kejadian ini menimbulkan keresahan di kalangan ibu bapa kerana membuka peluang kepada amalan kahwin lari dan sekaligus memberi sumber pendapatan yang lumayan kepada sindiket berkenaan dengan bayaran yang berganda berbanding dengan bayaran biasa yang dikenakan. Berlakunya kejadian tersebut adalah disebabkan adanya kelonggaran ( rukhsah ) yang diberikan oleh syarak berhubung dengan masalah perkahwinan dengan menggunakan wali tahkim dalam keadaan-keadaan tertentu dan ianya digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pihak-pihak yang berkepentingan, samada oleh pasangan kahwin lari itu sendiri atau pun oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk memperolehi pendapatan yang lumayan dengan cara yang mudah. Soalan-soalan yang timbul sekarang ialah:
Adakah sah dilangsungkan akad dengan wali tahkim sedangkan negara ini mempunyai raja, mufti, kadhi, imam atau pendaftar nikah yang bertauliah.