ms Malay en English
A- A A+

FATWA TAHUN 2012

 

PENENTUAN E’DDAH WANITA PUTUS HAID (MENOPAUS)

(Kategori : Munakahat)

(Kertas Mesyuarat Jemaah Ulama’ Bilangan 3/2/2012)

Tarikh : 07 Jun 2012 bersamaan 17 Rejab 1433H

 

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan yang bersidang  pada 07 Jun 2012 bersamaan 07 Rejab 1433H telah membincangkan isu mengenaiPenentuan E’ddah Wanita Putus Haid (Menopaus) dan telah bersetuju membuat keputusan seperti berikut:

Huraian :

 

  1. Persoalan mengenai perkara ini ialah tentang tempoh Iddah wanita yang mendakwa atau meyakini dirinya telah mengalami tempoh menopaus (putus Haid) sedangkan wanita berkenaan belum lagi melepasi atau sampai umur “سن اليأس ”. Dalam konteks ini Jabatan Mufti seringkali dirujuk oleh pelbagai pihak termasuk pihak pentadbir nikah, cerai dan rujuk bagi wanita  yang berada dalam situasi sedemikian untuk akad nikah wanita berkenaan dengan orang lain atau untuk rujuk semula dengan suami yang menceraikannya.

 

Keputusan :

 

            Setelah membincangkan perkara ini berdasarkan pandangan-pandangan ulama’ silam dan semasa serta pandangan oleh pakar perubatan, mesyuarat bersetuju membuat keputusan seperti berikut:

  1. Untuk menentukan Iddah wanita yang diceraikan pada usia yang belum mencapai “سن اليأس” dalam mazhab Syafie’ iaitu 62 tahun Qamariah, yang dahulunya beliau menjalani dan mengalami suatu tempoh putus atau terhentinya perasingan haid – suci yang kekal sebelum atau semasa diceraikan samada secara semulajadi atau disebabkan penyakit-penyakit tertentu atau disebabkan mendapat rawatan-rawatan tertentu dan wanita berkenaan mendakwa atau meyakini beliau telah pun sampai ke peringkat usia menopaus (putus haid), wanita tersebut hendaklah :
  2. Mendapat pengesahan daripada pakar perubatan bahawa beliau merupakan wanita yang menopaus atau sebaliknya dan;
  3. Beliau hendaklah mengambil jalan selamat (احتياط) iaitu setelah beliau diceraikan oleh suami, beliau hendaklah menunggu selama Sembilan bulan Qamariah iaitu tempoh mengandung (لاستبراء الرحم) dan setelah itu beriddah selama tiga bulan qamariah iaitu iddah kepada “سن اليأس”.

 

  1. Bagi wanita yang menjalani pembedahan membuang ovari dan rahim mereka adalah dikategori sebagai wanita yang menopaus dan apabila beliau diceraikan oleh suaminya beliau hendaklah beriddah selama tiga bulan iaitu “عدة اليأس”.

NIKAH SECARA WALI TAHKIM

 

Kategori   : Munakahat

 

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 14 Jun 1998 telah membincangkan mengenai Nikah Secara Wali Tahkim dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

 

Mesyuarat telah membincang masalah tersebut dari sudut syarie dan maslahat umat Islam samada dari aspek sosial, kekeluargaan serta kesannya kepada negara. Dengan itu mesyuarat bersetuju membuat keputusan fatwa sebagaimana berikut:

 

  1. Bahawa amalan perkahwinan umat Islam di negeri ini secara wali tahkim dan di negeri-negeri yang mempunyai Syaukoh Islamiyyah ( شوقة اسلامية ) adalah tidak sah kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak berhubung dengan masalah  tersebut. 

 

  1. Antara sandaran nas bagi fatwa ini dipetik dari Mughniyul Muhtaj, Juzu’ 3 halaman 117 berbunyi:

 

 

 

وكلام الشافعى مؤذن بأن موضع الجواز عند الضرورة, ولا ضرورة مع إمكان

 التزويج من حاكم اهل حاضر بالبلد.

 

 

Huraian:

 

 

Mesyuarat diberi penjelasan bahawa pada masa akhir-akhir ini banyak berlaku kes nikah secara wali tahkim yang dilakukan oleh sindiket tertentu.  Setelah melangsungkan akad secara wali tahkim, penganjur berkenaan mendaftar perkahwinan tersebut dengan pendaftar nikah rujuk bertauliah yang mempunyai kuasa wali hakim dengan membuat perakuan bahawa pasangan tersebut anak mukimnya.

 

Amalan seumpama ini sukar untuk dibendung melalui undang-undang kerana ianya seolah-olah tidak berlawanan dengan syarat – syarat yang ditetapkan dalam undang-undang dan hukum juga syarak.  Kejadian ini menimbulkan keresahan di kalangan ibu bapa kerana membuka peluang kepada amalan kahwin lari dan sekaligus memberi sumber pendapatan yang lumayan kepada sindiket berkenaan dengan bayaran yang berganda berbanding dengan bayaran biasa yang dikenakan. Berlakunya kejadian tersebut adalah disebabkan adanya kelonggaran ( rukhsah ) yang diberikan oleh syarak berhubung dengan masalah perkahwinan dengan menggunakan wali tahkim dalam keadaan-keadaan tertentu dan ianya digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pihak-pihak yang berkepentingan, samada oleh pasangan kahwin lari itu sendiri atau pun oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk memperolehi pendapatan yang lumayan dengan cara yang mudah.  Soalan-soalan yang timbul sekarang ialah:

 

Adakah sah dilangsungkan akad dengan wali tahkim sedangkan negara ini mempunyai raja, mufti, kadhi, imam atau pendaftar nikah yang bertauliah.

FATWA TAHUN 2016

 

HUKUM RUJUK ISTERI YANG BERKAHWIN LAIN MENURUT MAZHAB SYAFIE

 (Kertas Mesyuarat Jemaah Ulama Bil : 5/1/2016)

 

Kategori: Munakahat

 

Keputusan:

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 11 Disember 2016 bersamaan 11 Rabiulawal 1437H  telah membincangkan isu mengenai Isu Hukum Rujuk Isteri Yang Berkahwin Lain Menurut Mazhab Syafie.

 

  1. Yang berhormat Dato’ pengerusi memulakan pembentangandengan memaklumkan bahawa kertas ini disediakan untuk mendapatkan maklum balas ahli mesyuarat mengenai kesesuai dalam konteks semasa untuk penerimaan hukum rujuk dalam mazhab al-Syafie yang melibatkan pihak isteri telah berkahwin dengan orang lain selain dari bekas suami yang menceraikannya dan kemudian telah berlaku dakwaan rujuk daripada pihak suami pertama yang dikatakan berlaku sebelum iddah perceraian Raj’ie tamat.

 

  1. Setelah membincangkan perkara ini mesyuarat bersetuju untuk mengekalkan pandangan muktamad dalam Mazhab Al-Syafie iaitu:-

 

2.1 .    Bekas suami  mempunyai hak untuk mendakwa dalam perkara rujuk ke atas bekas isteri yang telahpun berkahwin lain samada  dengan menamakan bekas isterinya sebagai pihak kena dakwa ataupun menamakan suami baharu bekas isterinya sebagai pihak kena dakwa. Hal ini adalah berdasarkan kepada wujudnya  fakta yang tidak dipertikaikan antara mereka berdua bahawa memang wujud perkahwinan yang lebih awal antara bekas suami dengan pihak bekas isteri.

 

2.2.      Sekiranya didakwakan terhadap pihak suami baharu dan beliau membuat pendirian menafikan dakwaan bekas suami maka pendiriannya sedemikian akan diterima sekiranya beliau setelah dituntut sumpah oleh bekas suami, melaksanakan sumpah nafi. Hal ini demikian memandangkan hukum zahir berpihak kepada suami baharu dari segi biasanya sebarang perkahwinan dengan wanita yang diceraikan adalah sah selepas tempoh iddah tamat serta juga dari segi hukum zahir sesuatu peristiwa nikah baharu biasanya tidak dibuat melainkan tiada peristiwa rujuk.

 

2.3.      Lainlah pula halnya sekiranya pendirian suami baharu berkenaan terhadap dakwaan adalah adanya persetujuan daripada pihaknya tentang dakwaan rujuk atau sekiranya berlaku sumpah yamin mardud oleh bekas suami setelah berlaku keengganan bersumpah nafi oleh pihak suami baharu. Dalam senario sedemikian perkahwinan antara pihak suami baharu dengan pihak bekas isteri adalah tidak sah dan terbatal. Bagi pihak bekas isteri pada ketika dihukumkan batalnya perkahwinan baharunya dan kembalinya beliau kepada bekas suaminya,  mahar mithal yang kena dibayar oleh suami baharunya jika telah ada persetubuhan dalam perkahwinan berkenaan. Dalam keadaan batalnya perkahwinan baharu tetapi bekas isteri tidak dihukumkan dikembalikan kepada bekas suaminya kerana ada penafian yang jelas dengan tiadanya  ikrar dan adanya sumpah nafi maka ke atas pihak suami baharu dikenakan mahar musamma jika telah ada persetubuhan dan jika belum ada dikenakan separuh mahar Musamma. Pihak bekas isteri tidak dihukumkan bertaruh semula pertalian suami isteri dengan pihak bekas suami melainkan adanya ikrar pengakuan baharu tentang benarnya dakwaan  bekas suaminya atau dengan berlaku sumpah yamin  mardud oleh bekas suami setelah berlaku keengganan bersumpah nafi oleh pihak bekas isteri.

 

2.4.      Sekiranya didakwakan pula terhadap pihak bekas isteri dan beliau membuat pendirian menafikan dakwaan bekas suaminya. Maka pendirian sedemikian akan diterima sekiranya melaksanakan sumpah nafi.

 

2.5.      Lainlah pula hal sekiranya pendirian bekas isteri berkenaan terhadap dakwaan adalah adanya persetujuan daripada pihaknya tentang dakwaan rujuk oleh bekas suami atau sekiranya berlaku sumpah yamin mardud oleh bekas suaminya setelah berlaku keengganan bersumpah nafi oleh pihak bekas isteri. Dalam senario sedemikian perkahwinan antara pihak suami baharudengan pihak bekas isteri adalah tidak terbatal tetapi pihak bekas isteri  dikenakan denda ganti senilai mahar mithal untuk diberikan kepada bekas suaminya kerana adanya hailulah iaitu halangan   terhadap penggunaan haknya sebagai suami akibat tindakan pihak bekas isteri mengizinkan dirinya mengambarkan dirinya dengan suami baharunya.  Dari segi perundangan jenayah, suami baharu tidak boleh dikenakan hukuman hudud (zina) memandangkan ikrar-  pengakuan pihak  bekas isteri bersifat terhad tidak merangkumi diri orang lain termasuklah pihak suami baharu.  Dalam hal ini sekiranya suami baharu meninggal dunia atau menceraikan pihak isteri berkenaan maka dari segi hukum pihak bekas isteri akan bertaut semula hubungan perkahwinan  tanpa perlu akad nikah yang baharu. Pihak bekas suami pula perlu memulangkan semula bayaran Garamah Mahar Mithal yang diberikan oleh pihak bekas isteri.

 

2.6.      Sekiranya pihak bekas suami berjaya mendapatkan bukti saksi-saksi yang mencukupi yang diterima oleh mahklamah samada dalam kes dakwaan terhadap bekas isteri atau terhadap pihak suami baharu bahawa rujuk benar-benar berlaku secara sah semasa dalam tempoh iddah belum tamat, maka pihak bekas isteri dibubarkan dari ikatan perkahwinan dengan suami baharu serta dikembalikannya  kepada perkahwinan dengan bekas suaminya. Bagi pihak bekas isteri ketika dihukumkan batalnya perkahwinan baharunya dan kembalinya beliau kepada bekas suaminya. Maka suami baharunya jika telah ada persetubuhan dalam perkahwinan berkenaan hendaklah membayar mahar  mithal kepadanya. Jika tidak berlaku hubungan kelamin dalam tempoh perkahwinan baharu itu berlangsung maka tidak ada apa-apa bayaran mahar perlu dilunaskan.

MASALAH BERSUMPAH DENGAN TALAK

 

Kategori  :  Munakahat

 

Isu Dan Masalah :

 

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan telah menghantar sepucuk surat kepada Urusetia Jemaah Ulama’ untuk meminta pandangan ahli Jemaah Ulama’ tentang masalah bersumpah dengan talak di mana sesetengah Hakim Mahkamah Syariah berpendapat Hakim tidak boleh menyuruh seseorang bersumpah dengan talak berdasarkan satu nas di dalam kitab Mughnil Muhtaj juzuk 4, halaman 473 menyebut:

 

“ ولا يجوز لقاض ان يحلف احدا بطلاق”.

 

Mesyuarat dimaklumkan bahawa pendapat ini bercanggah dengan amalan Mahkamah Syariah Negeri Kelantan yang mana hakim akan menjatuhkan hukuman ke atas suami supaya bersumpah menafikan dakwaan isteri yang mendakwa bahawa si suami telah melafazkan talak ke atasnya tetapi tidak ada saksi yang mendengarnya. Jika pendapat tersebut diterima maka hakim tidak boleh memerintah si suami untuk menafikan dakwaan tersebut.

 

 Keputusan  :

 

Mesyuarat Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2002 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan  pada 18 Ogos 2002 telah membincangkan isu Masalah Bersumpah Dengan Talak dan telah bersetuju  memutuskan seperti berikut:

 

  1. Pendapat yang menyatakan bahawa hakim tidak boleh menyuruh si suami bersumpah menafikan dakwaan isterinya yang mendakwa si suami telah melafazkan talak keatasnya tetapi tidak ada saksi yang mendengarnya berdasarkan nas “لا يجوز لقاض ان يحلف احدا بطلاق” adalah tidak tepat.

 

  1. Amalan yang diguna pakai oleh Mahkamah Syariah Negeri Kelantan iaitu hakim akan menjatuhkan hukuman ke atas suami supaya bersumpah menafikan dakwaan isteri yang mendakwa bahawa si suami telah melafazkan talak ke atasnya tetapi tidak ada saksi yang mendengarnya dan jika si suami enggan bersumpah akan dijalankan sumpah rad ( يمين مردودة  ) ke atas isterinya adalah tidak bercanggah dengan hukum syara’.

 

  1.          Yang dimaksudkan dengan ibarat “لايجوز لقاض ان يحلف احدا بطلاق” ialah hakim tidak boleh menyuruh seseorang bersumpah dengan lafaz talak (تعليق الطلاق). Dinamakan orang bertaklik dengan talak itu sebagai sumpah kerana ianya menghendaki berlaku sesuatu atau menghalang dari membuat sesuatu seperti mana yang dikehendaki oleh orang bersumpah.

 

  1.  Keputusan in dibuat berdasarkan dalil-dalil yang dipetik dari nas-nas  berikut:

 

  1.       حديث رواية مسلم دان أحمد" ولكن اليمين على المدعى عليه" وفي لفظ " البينه على المدعى واليمين على من أنكر".
  2.  حديث زواية البهيقي: وقد فلف النبي(ص)  ركانة بن عبد يزيد على الطلاق إمرأته البته قائلا له: " والله ما أردت الا واحدة؟ قال ركانة: " والله ما أردت الا واحدة. فردها عليه.

                                III.      كتاب مغني المحتاج، جزء 4 هلامن 472

" (فصل) في كيفية الحلف والتغليظ فيه، وفي ضابط الحالف (تغلظ) ندبا (يمين مدع) اليمين المردودة أو مع الشاهد واليمين(و) تغلظ ندبا أيضا يمين (مدع عليه) وأن لم يطلب الخصم تغليظها(فيما ليس بمال ولا يقصد بمال) كنكاح وطلاق ولعان وقود وعتق وايلاء ووصاية ووكالة.

 

IV. كتاب بغية المسترشدين، هلامن 231

                                " علق الطلاق في الشيء وكرره متواليا أو متراخيا لم يتكرر الا أن قصد بالثاني طلاقا ثانيا لا أن قصد التأكيد أو أطلق زاد ولا طريق برجوع عن الطلاق المعلق بل يقع عند وجود الصفة

                                  ولا تدخل كفارة اليمين في باب الطلاق أصلا. وانما سموا المعلق يمينا لأن المطلاق إنما يأتي به غالبا لتحقيق شيء أو حث عليه أو امتناع منه كما أن اليمين يأتي بها الحالف كذالك".

 

 Tarikh Keputusan : 18 Ogos 2002

FATWA TAHUN 2016

 

HUKUM PERKAHWINAN ORANG BUKAN ISLAM KEMUDIAN MEMELUK ISLAM

(Kertas Mesyurat Jemaah Ulama’ Bil: 5/3/2016)

 

Kategori: Munakahat

 

Keputusan:

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 11 Disember 2016 bersamaan 11 Rabiulawal 1437H  telah membincangkan isu mengenai Isu Hukum Perkahwinan Orang Bukan Islam Kemudian Memeluk Islam. Mersyuarat bersetuju membuat keputusan seperti berikut:

 

  1. Sekiranya kedua-dua pasangan suami isteri yang bukan Islam memeluk Islam dan hubungan antara pasangan ini tidak menghalang mereka daripada menjadi suami isteri dalam Islam, maka pernikahan mereka yang terdahulu diiktiraf dan diperakui. Pernikahan yang diiktiraf itu adalah hasil pernikahan yang berasaskan agama, budaya dan adat setempat sebelum mereka memeluk Islam. Pernikahan yang didaftarkan mengikut undang-undang sivil juga diiktiraf.

 

  1. Sekiranya salah seorang pasangan suami isteri memeluk Islam dan pasangan masih belum memeluk Islam sehingga tamat tempoh iddah Raj’ie, maka pernikahan mereka yang terdahulu adalah terbatal dan tidak diiktiraf. Sekiranya pasangan itu memeluk Islam sebelum tamat tempoh iddah Raj’ie, pernikahan mereka yang terdahulu adalah diiktiraf.

 

  1. Begitu juga sekiranya kedua-dua pasangan suami isteri memeluk Islam kemudian salah seorang daripada mereka telah murtad, jika yang murtad ini kembali semula kepada Islam sebelum tamat tempoh iddah raj’ie telah tamat, maka pernikahan mereka terbatal.

 

  1. Berkenaan isu nasab, pewalian dan pewarisan. Sekiranya pernikahan pasangan suami isteri yang bukan Islam kemudian memeluk Islam diiktiraf maka sabitlah ke atas mereka hukum–hukum perkahwinan yang ditetapkan dalam Islam seperti talak, iddah , nafkah, pewalian, taraf sah nasab, pewarisan dan sebagainya. Sekiranya pernikahan tersebut tidak diiktiraf maka hukum-hukum perkahwinan yang ditetapkan dalam Islam tidak tertakluk kepada mereka.

 

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan