ms Malay en English
A- A A+

MASALAH AKIDAH UMAT ISLAM

 

Kategori; Akidah

 

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 22 Disember 1996telah membincangkan mengenai Masalah Akidah Umat Islam (Kertas Bil.3/2/96) dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

               

Memandangkan soalan - soalan yang dikemukakan itu berkisar di sekitar persoalan yang pernah dikemukakan dalam mesyuarat Jemaah Ulama’ yang lepas, maka fatwa-fatwa yang diputuskan dalam tahun 1963 dan tahun 1981 mengenai masalah yang sama atau hampir sama itu hendaklah dirujuk untuk panduan dan pegangan umat Islam di negeri ini.

 

Huraian Tajuk /Isu :

 

Mesyuarat dimaklumkan bahawa Pejabat Mufti telah menerima surat permohonan fatwa mengenai beberapa pertanyaan yang menyentuh masalah politik semasa.  Pertanyaan tersebut adalah sebagaimana  berikut :

 

(1)         Apakah benar pimpinan dan penyokong UMNO kafir dalam konteks politik Malaysia seperti yang didakwa oleh pemimpin dan penyokong pas?

 

(2)         Apakah hukum Islam terhadap umat Islam yang menyokong sebuah parti yang disokong bersama oleh orang-orang bukan Islam.

 

(3)         Apakah benar pandangan Islam mengenai dakwaan Pas bahawa penyokong-penyokong Pas akan mendapat balasan syurga di akhirat kelak?

 

(4)         Apakah hukumnya seseorang yang meninggalkan perjuangan sebuah parti politik dan selepas itu menyertai sebuah parti politik yang lain?

 

(5)         Apakah agama Islam boleh disamakan dengan parti politik atau adakah agama Islam itu agama dan parti politik itu ialah parti?

 

Mesyarat telah membincang dengan panjang lebar masalah tersebut dengan mengambil kira suasana serta perkembangan politik kepartian yang wujud dalam Negara hari ini serta matlamat yang digariskan dalam dasar yang menjadi wadah kepada perjuangan parti-parti politik yang didokong oleh masyarakat Islam pada umumnya dan bersetuju merumuskan sebagaimana berikut :

 

(1)         Bahawa apa yang ditimbulkan dalam soalan-soalan tersebut lebih merupakan persoalan semasa yang secara langsung atau  tidak, lahir dari perbezaan idiologi politik kepartian semata-mata.

 

(2)         Bahawa isu seumpama ini pernah berbangkit pada masa-masa yang lepas dan ianya tenggelam timbul, bergantung kepada situasi semata-mata di mana fatwa mengenainya telah pun dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan.

 

(3)         Penjelasan yang benar-benar tepat dari segi hukum tentang masalah ini adalah memerlukan kepada suatu kajian yang menyeluruh serta terperinci terhadap perlembagaan atau undang-undang tubuh parti-parti politik dan ini sudah tentu memerlukan kepada kepakaran yang khusus mengenainya bagi menjamin ketepatan serta keadilan dalam membuat analisa dan sebagainya.

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan