ms Malay en English
A- A A+

FATWA TAHUN 2016

 

HUKUM RUJUK ISTERI YANG BERKAHWIN LAIN MENURUT MAZHAB SYAFIE

 (Kertas Mesyuarat Jemaah Ulama Bil : 5/1/2016)

 

Kategori: Munakahat

 

Keputusan:

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 11 Disember 2016 bersamaan 11 Rabiulawal 1437H  telah membincangkan isu mengenai Isu Hukum Rujuk Isteri Yang Berkahwin Lain Menurut Mazhab Syafie.

 

  1. Yang berhormat Dato’ pengerusi memulakan pembentangandengan memaklumkan bahawa kertas ini disediakan untuk mendapatkan maklum balas ahli mesyuarat mengenai kesesuai dalam konteks semasa untuk penerimaan hukum rujuk dalam mazhab al-Syafie yang melibatkan pihak isteri telah berkahwin dengan orang lain selain dari bekas suami yang menceraikannya dan kemudian telah berlaku dakwaan rujuk daripada pihak suami pertama yang dikatakan berlaku sebelum iddah perceraian Raj’ie tamat.

 

  1. Setelah membincangkan perkara ini mesyuarat bersetuju untuk mengekalkan pandangan muktamad dalam Mazhab Al-Syafie iaitu:-

 

2.1 .    Bekas suami  mempunyai hak untuk mendakwa dalam perkara rujuk ke atas bekas isteri yang telahpun berkahwin lain samada  dengan menamakan bekas isterinya sebagai pihak kena dakwa ataupun menamakan suami baharu bekas isterinya sebagai pihak kena dakwa. Hal ini adalah berdasarkan kepada wujudnya  fakta yang tidak dipertikaikan antara mereka berdua bahawa memang wujud perkahwinan yang lebih awal antara bekas suami dengan pihak bekas isteri.

 

2.2.      Sekiranya didakwakan terhadap pihak suami baharu dan beliau membuat pendirian menafikan dakwaan bekas suami maka pendiriannya sedemikian akan diterima sekiranya beliau setelah dituntut sumpah oleh bekas suami, melaksanakan sumpah nafi. Hal ini demikian memandangkan hukum zahir berpihak kepada suami baharu dari segi biasanya sebarang perkahwinan dengan wanita yang diceraikan adalah sah selepas tempoh iddah tamat serta juga dari segi hukum zahir sesuatu peristiwa nikah baharu biasanya tidak dibuat melainkan tiada peristiwa rujuk.

 

2.3.      Lainlah pula halnya sekiranya pendirian suami baharu berkenaan terhadap dakwaan adalah adanya persetujuan daripada pihaknya tentang dakwaan rujuk atau sekiranya berlaku sumpah yamin mardud oleh bekas suami setelah berlaku keengganan bersumpah nafi oleh pihak suami baharu. Dalam senario sedemikian perkahwinan antara pihak suami baharu dengan pihak bekas isteri adalah tidak sah dan terbatal. Bagi pihak bekas isteri pada ketika dihukumkan batalnya perkahwinan baharunya dan kembalinya beliau kepada bekas suaminya,  mahar mithal yang kena dibayar oleh suami baharunya jika telah ada persetubuhan dalam perkahwinan berkenaan. Dalam keadaan batalnya perkahwinan baharu tetapi bekas isteri tidak dihukumkan dikembalikan kepada bekas suaminya kerana ada penafian yang jelas dengan tiadanya  ikrar dan adanya sumpah nafi maka ke atas pihak suami baharu dikenakan mahar musamma jika telah ada persetubuhan dan jika belum ada dikenakan separuh mahar Musamma. Pihak bekas isteri tidak dihukumkan bertaruh semula pertalian suami isteri dengan pihak bekas suami melainkan adanya ikrar pengakuan baharu tentang benarnya dakwaan  bekas suaminya atau dengan berlaku sumpah yamin  mardud oleh bekas suami setelah berlaku keengganan bersumpah nafi oleh pihak bekas isteri.

 

2.4.      Sekiranya didakwakan pula terhadap pihak bekas isteri dan beliau membuat pendirian menafikan dakwaan bekas suaminya. Maka pendirian sedemikian akan diterima sekiranya melaksanakan sumpah nafi.

 

2.5.      Lainlah pula hal sekiranya pendirian bekas isteri berkenaan terhadap dakwaan adalah adanya persetujuan daripada pihaknya tentang dakwaan rujuk oleh bekas suami atau sekiranya berlaku sumpah yamin mardud oleh bekas suaminya setelah berlaku keengganan bersumpah nafi oleh pihak bekas isteri. Dalam senario sedemikian perkahwinan antara pihak suami baharudengan pihak bekas isteri adalah tidak terbatal tetapi pihak bekas isteri  dikenakan denda ganti senilai mahar mithal untuk diberikan kepada bekas suaminya kerana adanya hailulah iaitu halangan   terhadap penggunaan haknya sebagai suami akibat tindakan pihak bekas isteri mengizinkan dirinya mengambarkan dirinya dengan suami baharunya.  Dari segi perundangan jenayah, suami baharu tidak boleh dikenakan hukuman hudud (zina) memandangkan ikrar-  pengakuan pihak  bekas isteri bersifat terhad tidak merangkumi diri orang lain termasuklah pihak suami baharu.  Dalam hal ini sekiranya suami baharu meninggal dunia atau menceraikan pihak isteri berkenaan maka dari segi hukum pihak bekas isteri akan bertaut semula hubungan perkahwinan  tanpa perlu akad nikah yang baharu. Pihak bekas suami pula perlu memulangkan semula bayaran Garamah Mahar Mithal yang diberikan oleh pihak bekas isteri.

 

2.6.      Sekiranya pihak bekas suami berjaya mendapatkan bukti saksi-saksi yang mencukupi yang diterima oleh mahklamah samada dalam kes dakwaan terhadap bekas isteri atau terhadap pihak suami baharu bahawa rujuk benar-benar berlaku secara sah semasa dalam tempoh iddah belum tamat, maka pihak bekas isteri dibubarkan dari ikatan perkahwinan dengan suami baharu serta dikembalikannya  kepada perkahwinan dengan bekas suaminya. Bagi pihak bekas isteri ketika dihukumkan batalnya perkahwinan baharunya dan kembalinya beliau kepada bekas suaminya. Maka suami baharunya jika telah ada persetubuhan dalam perkahwinan berkenaan hendaklah membayar mahar  mithal kepadanya. Jika tidak berlaku hubungan kelamin dalam tempoh perkahwinan baharu itu berlangsung maka tidak ada apa-apa bayaran mahar perlu dilunaskan.

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan