ms Malay en English
A- A A+

FATWA TAHUN 2017

 

GARIS PANDUAN PERNIAGAAN DIKAWASAN MASJID DAN MENGGUNAKAN WANG TABUNG MASJID UNTUK PERNIAGAAN.

(Kertas Mesyuarat Jamaah Ulama’ Bil :4/2/2017)

Tarikh : 06 Ogos 2017 / 13 Zulkaedah 1438H

 

(Kategori :Sosial / Syariah)

 

Mesyuarat Jamaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 06 Ogos 2017 bersamaan 13 Zulkaedah 1438H telah membincangkan isu mengenai Garis Panduan Perniagaan Di Kawasan Masjid Dan Menggunakan Wang Tabung Masjid Untuk Perniagaan dan telah bersetuju memutuskan sebagaimana berikut:

Huraian

  1. Mesyuarat membincangkan perkara ini dengan meneliti kertas kerja yang disediakan oleh Al-fadhil Ustaz Haji Wan Hassan Bin Wan Muhammad.
  2. Mesyuarat membincangkan isu ini kerana pihak pengurusan Majlis Agama Islam Kelantan sedang berusaha merangka satu garis panduan mengenai perkara ini. Pihak pengurusan Majlis Agama Islam Kelantan juga sering mendapat pertanyaan daripada jawatankuasa masjid dan pihak-pihak lain mengenai hukum melaksanakan perniagaan didalam kawasan masjid kerana pihak jawatankuasa masjid mendapat permohonan daripada para peniaga yang ingin mempromosi perniagaan mereka di kawasan masjid begitu juga terdapat cadangan daripada jawatankuasa masjid yang bercadang untuk melaksanakan aktiviti perniagaan bagi menambah pendapatan masjid mereka.

Keputusan

  1. Setelah membincangkan perkara ini, mesyuarat bersetuju untuk menetapkan garis panduan perniagaan di kawasan masjid seperti berikut:

1)   Dilarang melakukan sebarang aktiviti perniagaan di dalam kawasan masjid iaitu di kawasan yang ditetapkan sebagai tempat untuk beriktikaf.

2)   Aktiviti perniagaan di halaman atau perkarangan masjid pula diharuskan dengan syarat-syarat berikut:

 

  1. a)Perniagaan yang dilakukan adalah daripada jenis perniagaan yang diharuskan oleh syarak.
  2. b)Perniagaan tersebut tidak menghilangkan dan merendahkan kehormatan masjid.
  3. c)Aktiviti perniagaan tersebut hendaklah tidak mengganggu aktiviti-aktiviti lain masjid seperti aktiviti solat fardhu dan sunat, kuliah-kuliah agama dan lain-lain.
  4. d)Aktiviti perniagaan tersebut hendaklah tidak mengganggu ahli-ahli jemaah masjid seperti menyampaikan laluan untuk ke bangunan masjid, mengeluarkan bunyi bising yang mengganggu para jemaah untuk beriktikaf dan membaca al-quran serta gangguan-gangguan lain.
  5. e)Aktiviti perniagaan tersebut hendaklah dihentikan semasa masuk waktu solat sehingga solat fardhu secara berjemaah selesai dilaksanakan.
  6. Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa penggunaan wang masjid untuk dijadikan modal perniagaan seperti koperasi masjid dan lain-lain adalah diharuskan dengan syarat pihak masjid hendaklah menyediakan tabung khas yang diisytiharkan kepada orang ramai untuk tujuan tersebut. Pihak pengurusan masjid tidak boleh menggunakan tabung am masjid untuk tujuan tersebut.
Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan