ms Malay en English
A- A A+

FATWA MENENTUKAN NASAB ANAK YANG LAHIR SELEPAS ENAM BULAN BERKAHWIN

 

Kategori  : Sosial /syariah

 

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 7 November 1993 telah membincangkan mengenai Menentukan Nasab Anak Yang Lahir Selepas Enam Bulan Berkahwin dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

 

Bahawa anak yang dilahirkan itu tidak dianggap anak luar nikah bahkan hendaklah dikira anak hasil daripada perkahwinan pasangan tersebut. Pengakuan perempuan itu bahawa dia sedang mengandung dua bulan ketika  mula  berkahwin dengan suaminya.Tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan kedudukan anak tersebut sebagai anak mereka yang sah menurut hukum syarak. Ini adalah kerana pengakuannya itu belum boleh dijadikan bukti yang meyakinkan bahawa dia sedang mengandung kecuali disahkan oleh pakar dalam bidang berkenaan, lagipun dia didapati melahirkan anak selepas enam bulan berkahwin di mana menurut hukum syarak anak yang dilahirkan selepas enam bulan satu lahzah berkahwin dikira sebagai anak yang sah kepada pasangan tersebut. Hal ini boleh dirujuk kepada kitab-kitab feqah khususnya kitab Bugyah Al-Mustarsyidin dalam bab Al-ila’, Al-Zihar dan Al-li’an halaman 236 berbunyi :

 

 

كما لو علم زناها واحتمل كون الحمل منه أو من الزنا ولا عبرة بريبة يجدها من غير قرينة فالحاصل أن المولود على فراش الزوج لا حق به مطلقا إن أمكن كونه منه ولا ينتفى عنه إلا باللعان والنفى تارة يجب وتارة يحرم وتارة يجوز ولا عبرة بإقرار المرأة بالزنا وإن صدقها الزوج وظهرت أمارته

 

 

 

 

Maksudnya:

 

Jika diketahui bahawa perempuan itu telah melakukan zina dan punca hamilnya itu diragui sama ada kerana persetubuhan dengan suaminya atau kerana zina, sedangkan keraguan yang ada tanpa qarinah (bukti) sememangnya tidak boleh diterima, maka dalam hal itu anak yang lahir semasa dalam perkahwinan itu secara mutlak dibangsakan kepada suaminya jika wujud  keadaan membolehkan anak itu dibangsakan kepadanya. Ianya tidak boleh dinafikan melainkan dengan lian. Penafian adakalanya wajib, adakalanya haram dan adakalanya harus. Adapun pengakuan zina yang dibuat oleh perempuan itu sendiri tidak boleh diterima sekalipun diakui benar oleh suaminya serta wujud tanda-tandanya.

FATWA TAHUN 2008

 

FATWA DRAF UNDANG-UNDANG WASIAT WAJIBAH

 

Kategori : Syariah

 

Keputusan :

 

Mesyuarat  Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 2/2008 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan  pada  30  April  2008 telah membincangkan Isu Fatwa Draf Undang-Undang Wasiat Wajibah  dan telah bersetuju  menfatwakan seperti  berikut :

 

Mesyuarat bersetuju memfatwakan bahawa Hukum Wasiat Wajibah yang dilaksanakan di Negara-Negara Arab melalui undang-undang hendaklah turut sama diterima pakai dalam Hukum Wasiat di Negeri Kelantan kerana ia mempunyai sandaran Syara’ yang baik oleh Ulama’ yang terdahulu dan semasa.

Mesyuarat juga bersetuju dengan sighah yang dikemukakan oleh pihak Jawatankuasa Teknikal Pengkajian Enakmen seperti berikut :

 

 

Wasiat Wajibah

 

Wasiat kepada cucu

 

 

  1. Jika seseorang mati tanpa membuat apa wasiat kepada cucunya daripada anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya, maka cucunya itu hendaklah berhak terhadap satu pertiga wasiat dan, sekiranya cucu ini diberi dengan kadar yang kurang dari satu pertiga, haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar Wasiat Wajibah yang diperuntukkan di bawah seksyen ini.

 

  1. Kadar Wasiat Wajibah untuk kanak-kanak yang disebut dalam sub seksyen (1) hendaklah setakat kadar di mana ayahnya berhak daripada harta pusaka datuknya sekiranya diandaikan ayahnya itu mati selepas kamatian datuknya dengan syarat wasiat itu tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si mati.

 

  1. Kanak-kanak tersebut hendaklah tidak berhak kepada wasiat sekiranya dia telah mewarisi daripada datuk atau neneknya, mengikut mana berkenaan, atau datuk atau neneknya semasa hayatnya, dan tanpa menerima apa-apa balasan, telah membuat wasiat kepada mereka atau telah memberi kepada mereka harta yang bersamaan dengan apa yang mereka sepatutnya menerima menurut Wasiat Wajibah, dengan syarat sekiranya wasiat yang dibuat oleh datuk atau nenek itu kurang daripada bahagian yang sepatutnya dia berhak, hak-haknya hendaklah ditambah sewajarnya dan jika bahagian tersebut adalah melebihi bahagian yang dia berhak, bahagian yang lebih itu hendaklah menjadi wasiat sukarela dengan tertakhluk kepada persetujuan warisnya.

 

Fatwa ini dikeluarkan berdasarkan firman Allah s.w.t:

 

 

كتب عليكم إذا حضر أحدكم الموت إن ترك خيرا الوصية للولدين والأقربين بالمعروف حقا على المتقين. 

 

(Surah al-Baqarah :180)

 

Perkataan (كتب) dalam ayat diatas bermaksud wajib. Ibnu Hazim menjelaskan apabila berlaku kematian kepada(الموروث) pewaris tanpa mewasiyatkan kepada warisnya yang tidak mendapat pusaka, hakim atau qadi hendaklah mengambil tempat pewarisnya dengan memberi sebahagian daripada harta peninggalan simati melalui hukum wasiat wajibah. Pendapat itu diperundangkan di negara-negara Arab dengan persetujuan para ulamak mereka.

 

Tarikh Keputusan : 30 April 2008.

FATWA BERHUBUNG P.A. (SURAT WAKIL KUASA) DAN  WAKAF

 

Kategori :  Sosial Syariah (Wakaf)

 

Isu Dan Masalah  :

 

Mesyuarat membincangkan masalah ini berdasarkan permohonan daripada pihak pentadbir Majlis Agama Islam Kelantan yang memohon fatwa daripada Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan berhubung kedudukan tanah wakaf di Lot 290 dan 291 Seksyen 4 bandar Kota Bharu yang berada di bawah kawalan Majlis Agama Islam Kelantan. Tanah ini telah diwakafkan secara P.A. (surat wakil kuasa) oleh Dato’ Haji Wan Hassan bin Abd. Halim iaitu pemegang P.A. kepada Tanah Wakaf tersebut yang berada di bawah nama anaknya yang bernama Nik Rahmat bin Wan Hassan.

 

Pihak pengurusan Majlis Agama Islam Kelantan memohon fatwa daripada Jemaah Ulama’ Majlis untuk menentukan kesahihan wakaf yang dilakukan oleh seorang bapa (Dato’ Wan Hassan) terhadap tanah milik anaknya (Nik Rahmat) melalui P.A. (surat wakil kuasa) kerana Nik Rahmat telah mempertikaikan kesahihan wakaf bapanya dengan alasan beliau tidak memberi keizinan kepada bapanya untuk tujuan tersebut dan perbuatan bapanya itu bercanggah dengan syarat-syarat yang terkandung dalam P.A. tersebut.

 

Keputusan  :

 

Mesyuarat Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2006 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan pada 31 Januari 2006  telah membincangkan isu Fatwa berhubung P.A. (Surat Wakil Kuasa)  Dan  Wakaf   dan telah bersetuju  membuat keputusan  seperti  berikut :

 

Bahawa seseorang bapa harus dan masih ada hak untuk menarik balik sebarang harta yang dihibahkan kepada anaknya samada melalui lafaz atau perbuatan seperti menjual, menggadai dan menghibah kepada orang lain selagi harta tersebut masih berada di bawah milik mutlak anaknya dan harta tersebut masih belum hilang dari kuasa anaknya seperti telah dijual, digadai atau di hibah kepada orang lain.

 

Adapun P.A. (surat wakil kuasa) yang diberikan oleh Nik Rahmat bin Wan Hasan (anak) kepada Dato’ Wan Hasan bin Abdul Halim (bapa)  tidak menjadi halangan kepada Dato’ Wan Hasan bin Abdul Halim iaitu pemilik asal kepada tanah di Lot 290 dan 291, Seksyen 4, Bandar Kota Bharu untuk menarik balik tanah yang dihibahkan kepada anaknya (Nik Rahmat bin Wan Hasan) secara perbuatan dengan mewakafkan tanah tersebut.

 

Oleh itu, pewakaf yang dilakukan oleh Dato’ Wan Hasan bin Abdul Halim ke atas tanah di Lot 290 dan 291, Seksyen 4, Bandar Kota Bharu yang berada di bawah kawalan Majlis Agama Islam Kelantan  adalah sah di sisi hukum syara’.

 FATWA BERHUBUNG DENGAN TANGGUNGAN HUTANG SYARIKAT

 

Kategori     : Sosial/Syariah

 

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 18 dan 20 Ogos 1993 telah membincangkan Berhubung Dengan Tanggungan Hutang Syarikat telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

 

Seorang pengarah anak syarikat pemaju perumahan telah membuat pinjaman wang dari     seseorang hamba Allah untuk tujuan menampung perbelanjaan projek dengan janji akan membayar balik dalam tempoh tiga bulan.Malangnya dia gagal menjelaskan hutang tersebut dalam tempoh yang ditentukan itu. Selepas setahun si piutang  menuntut hutangnya dengan alasan untuk membolehkan beliau mengeluarkan zakat tetapi tidak dapat dipenuhi oleh si peminjam tersebut, sebaliknya dia berjanji akan menolong mengeluarkan zakat atas hutang yang ada di tangannya, tetapi belum sempat janji tersebut ditunaikan dia meninggal dunia.Waris si mati yang menanggung hutang itu mempertikaikan siapakah yang sebenarnya yang bertanggungjawab ke atas hutang tersebut, si mati atau syarikatnya kerana menurut undang-undang syarikat sendirian berhad, pengarah urusan syarikat bertanggungjawab menyelesaikan tanggungan syarikat, walau bagaimanapun dalam syarikat itu pengarah urusan tidak diberi kuasa untuk membuat apa-apa keputusan kerana kuasa mutlak ditangan pengarah (si mati) itu sendiri.

 

Soalannya:

 

Soalan (1)         : Siapakah yang bertanggungjawab ke atas hutang tersebut?

 

Jawapan             : Zakat wajib ke atas pemilik harta صاحب المال

 

Soalan (2):Adakah terlepas si piutang  itu daripada kewajipan membayar zakat atas wang hutang yang ada ditangan peminjam setelah si peminjam telah berjanji akan membayar zakatnya dahulu?

 

 Jawapan (i)  :Dalam masalah ini hutang adalah tertanggung ke atas orang yang berhutang  itu sendiri.

 

(ii) :Adapun janji yang pernah dibuat oleh si peminjam tersebut semasa hayatnya untuk menolong  menjelaskan zakat si puitang maka hendaklah disempurnakan  oleh warisnya.

FATWA BERHUBUNG DENGAN JENIS-JENIS PERMAINAN HIBURAN

 

Kategori: Sosial Syariah

 

 

Keputusan:

 

Keputusan Fatwa Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan yang bersidang pada 17 Oktober 1992 dan disahkan oleh Mesyuarat Anggota Majlis Agama Islam Kelantan yang bersidang pada 20 Oktober 1992 berhubung dengan jenis-jenis permainan hiburan dan garis panduan:

 

Jemaah Ulama’ memfatwakan bahawa:

 

  1. Mak Yong, Menora yang terdapat pada masa kini dan pelaga ayam termasuk pelaga binatang-binatang lain hukumnya adalah haram.

 

  1. Dikir barat yang bercampur lelaki dan perempuan di luar batas syarak dan yang mengandungi kata-kata lucah, mencela, memaki, unsur-unsur syirik dan fitnah hukumnya adalah haram.

 

 

Garis panduan jenis -jenis hiburan dan permainan yang boleh dipertunjukkan kepada umum seperti berikut:-

 

 

  1. Tidak mengandungi kepercayaan, ucapan, bacaan dan perbuatan yang berunsur syirik, kufur, keji, lucah, dan maksiat yang bercanggah dengan akidah syariah dan tata susila Islam.

 

  1. Tidak menjadi upacara keagamaan atau unsur-unsur peribadatan mana-mana agama selain dari Islam.

 

  1. Tidak mengandungi unsur-unsur kifarah seperti pemujaan roh, semangat, hantu syaitan, jin dan tempat-tempat yang dianggap keramat seperti kubur dan sebagainya.

 

  1. Tidak mengandungi unsur-unsur penghinaan, celaan, cacian, fitnah, perkelahian dan memecah belah perpaduan umat.

 

  1. Tidak merosakkan nyawa, akal, keturunan, tubuhbadan dan hartabenda individu dan awam.

 

  1. Tiadak mengandungi unsur-unsur sihir dan penipuan.

 

  1. Tidak mengandungi unsur-unsur perjudian atau pertaruhan yang berlaku padanya untung rugi.

 

  1. Tidak dipertunjukkan oleh lelaki bersama perempuan yang bercampur aduk tanpa batas atau dipertunjukkan oleh perempuan yang mendedahkan aurat, atau lelaki yang menyerupai perempuan dan sebaliknya.

 

  1.  Tidak mengganggu ketenteraman rumah ibadat Islam dan masyarakat awam.

 

  1. Tidak mengandungi unsur penyiksaan kepada binatang-binatang atau merosakkan tumbuhan -tumbuhan kecuali dengan dihalalkan oleh syariat Islam.

 

  1. Tidak mendorongkan kepada melakukan perbuatan Syirik, kufur, mungkar, maksiat, pergaduhan dan merosakkan harta benda individu dan awam.

 

  1. Tidak meIekakan daripada melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, keluarga, masyarakat dan ummah

 

Mana-mana jenis -jenis permainan atau hiburan yang bercanggah dengan mana-mana garis panduan di atas adalah haram hukumnya .

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan