ms Malay en English
A- A A+

FATWA TAHUN 2019

 

FATWA WAKAF TUNAI SEBAGAI WAKAF DAN HUKUM PELUPUSAN ASET-ASET WAKAF.

(Kertas Mesyuarat Jemaah Ulama’ Bil: 3/3/2018).

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Malayu Kelantan yang bersidang pada 11 Februari 2019 Masihi bersamaan 06 Jamadil Akhir 1440 Hijriah telah membincangkan isu mengenai Fatwa Wakaf Tunai Sebagai Wakaf Dan Hukum Pelupusan Aset-Aset Wakaf  dan memutuskan seperti berikut:

 

  1. Mesyuarat bersetuju memfatwakan seperti berikut:

 

  1. Wang tunai adalah dibenarkan untuk tujuan wakaf dan wang tersebut juga dianggap sebagai harta wakaf.

 

  1. Nilai asal wang yang diwakafkan hendaklah sentiasa dipelihara sifat kekalnya.

 

  1. Jumlah asal wang tunai yang diwakafkan hendaklah digunakan dan dikendalikan dalam instrument patuh syariah yang boleh memelihara jumlah asalnya. Sebagai contoh disalurkan dalam pelaburan berisiko rendah seperti sukuk dan produk deposit.

 

  1. Pelabur Wakaf Tunai hendaklah dikendalikan dan digunakan dalam aktiviti patuh syariah.

 

  1. Secara asasnya, perkembangan atau untung yang terhasil daripada Wakaf Tunai tidak dianggap sebagai harta wakaf. Namun pewakaf boleh menetapkan dari awal bahawa sebarang untung daripada Wakaf Tunai itu dikira sebagai sebahagian harta wakaf. Jika ini disyaratkan, sebarang keuntungan daripada pelaburan wakaf hendaklah mematuhi syarat-syarat aset wakaf.

 

  1. Hasil keuntungan Wakaf Tunai boleh digunakan untuk memberi sumbangan (derma) kepada Penerima Manfaat Wakaf seperti pemberian biasiswa kepada pelajar dan bantuan kepada orang miskin.

 

  1. Pewakaf boleh mensyaratkan kos pengurusan yang munasabah agar ditanggung sama ada oleh Pewakaf, atau wang pokok wakaf ataupun daripada keuntungan Wakaf Tunai. Jika tiada sebarang syarat yang menentukan, kos pengurusan Wakaf Tunai akan diambil daripada hasil keuntungan atau perkembangan Wakaf Tunai tersebut.

 

3.2.      Mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan Manual Prosedur Pelupusan Harta Wakaf, Wakaf MAIK Muamalat sebagaimana yang dibentangkan oleh pihak Bank Muamalat kerana manual ini mematuhi aspek-aapek yang ditetapkan oleh syarak.

 

3.3.      Keputusan ini telah disahkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Kali ke 919 Bilangan 04/2018 yang bertarikh 08 Oktober 2018.

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan