ms Malay en English
A- A A+

Fatwa 8.

 

Tarikh Keputusan      : 01hb  Februari 1996

Tarikh  Diwartakan    : 06hb  Jun  1996

Status Penwartaan    : Warta

No Rujukan                : (MUI. D231/707/ (39);

Akta/Enakmen           : Jil 49. No. 404 .( P.U. Kn. 1/G.)

 

Kategori     : Akidah

 

Soalan        : FATWA TENTANG KUMPULAN ANTI HADIS

 

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh seksyen 36 dan seksyen 39 Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, menerusi Jamaah Ulama’  yang bersidang pada 02 Rejab 1416H bersamaan 25 November 1995 dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan membuat Fatwa yang  berikut:

 

  1. Bahawa-

           

(i)                 Buku yang bertajuk “ Hadith Satu Penilaian Semula “ dan “ Hadith Jawapan Kepada Pengkritik” yang ditulis oleh Kasim Ahmad dan isi kandungannya;

 

(ii)               Buku yang bertajuk “ Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu- Hadith di dalam Al-Quran” yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman dan isi kandungannya;

 

(iii)             Buku yang bertajuk “ Bacaan”  yang ditulis oleh Othman Ali dan isi kandungannya;

 

(iv)              Buku yang bertajuk “The Computer Speaks- God’s Message To The World ” yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa dan isi kandungannya;

 

(v)                Risalah “Iqra’ “ terbitan Jemaah Al-Quran Malaysia dan isi kandungannya;

dan

 

(vi)              Apa-apa terjemahan buku atau risalah yang disebut dalam butiran (i) hingga (v) dan isi kandungannya dalam mana-mana bahasa.

 

            Adalah mengandungi ajaran, pegangan dan fahaman yang bertentangan dengan

aqidah dan Syariah Islamiah serta mengelirukan masyarakat Islam dan membawa kepada murtad, oleh itu adalah diharamkan.

 

  1. Bahawa mana-mana orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran, pegangan atau fahaman yang terkandung di dalam buku atau risalah, isi kandungannya dan terjemahannya, yang disebut dalam subperenggan (A) adalah sesat kerana ia bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.

 

  1. Bahawa pengharaman ini meliputi –

 

(i).        Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman yang terkandung di dalam buku atau risalah, isi kandungannya dan terjemahannya, yang disebut dalam subperenggan (A) dan termasuklah apa-apa pegangan, ideologi, falsafah, atau apa-apa kumpulan atau sistem amalan atau penunaian yang merangkumi kesemua tujuannya atau salah satu daripada tujuannya iaitu pencapaian pengajaran kebatinan, perlindungan kebatinan atau kewujudan kebatinan iaitu suatu pegangan, ideologi,  falsafah atau kumpulan atau sistem amalan atau penunaian yang tidak diakui dan bertentangan dengan syariat Islam dan pegangan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah;

 

(ii).       Apa-apa bahan publisiti termasuk mana-mana terbitan, ertinya apa-apa bahan termasuklah suatu gambar, gambarfoto, logo, poster, rajah, surat edaran, gelansar filem, iklan di akhbar dan apa-apa bentuk iklan lain yang bertujuan memberi publisiti kepada terbitan tersebut yang berkaitan dengan ajaran, pegangan atau fahaman yang terkandung di dalam buku atau risalah, isi kandungannya dan terjemahannya, yang disebut dalam subperenggan (A) ; dan

 

(iii).      Apa-apa terbitan, ertinya apa-apa buku, majalah, pamplet, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain, sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa bentuk keluaran ulangannya, dan termasuklah apa-apa filem iaitu wayang gambar, pita rakaman atau rekod walau bagaimanapun ia dibuat, daripada suatu imej, berdasarkan penglihatan, yang merupakan rekod yang mampu digunakan sebagai suatu alat yang menayangkan rangkaian itu sebagai gambar bergerak; rakaman audio iaitu apa-apa bahan termasuk piring hitam, fotografi, pita rakaman, cakera laser dan cakera padat yang dirakamkan rakaman suara manusia untuk dibaca, dilihat atau didengar yang berkaitan dengan ajaran, pegangan atau fahaman yang terkandung di dalam buku atau risalah, isi kandungannya dan terjemahannya, yang disebut dalam subperenggan (A).

 

Oleh itu orang Islam adalah dilarang mengamal ajaran, pegangan dan fahaman yang terkandung di dalam buku atau risalah, isi kandungannya dan terjemahannya, yang disebut dalam subperenggan (A), menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberi ceramah, mengadakan kelas pendidikan dan pembelajaran dan aktiviti lain yang bertujuan menghidupkan dan mengembangkan ajaran, pegangan atau fahaman yang terkandung di dalam buku atau risalah, isi kandungannya dan terjemahannya, yang di sebut dalam subperenggan (A).

 

Orang Islam adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, pamphlet, buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen; menggunakan apa-apa bentuk lambang, rajah atau tanda yang boleh mengaitkan kepada ajaran, pegangan atau fahaman di dalam buku atau risalah, isi kandungannya dan terjemahannya, yang disebut dalam subperenggan (A) kepada mana-mana harta alih atau tak alih, dan semua pihak dilarang daripada memberi apa jua kemudahan dan bantuan.

 

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan