ms Malay en English
A- A A+

FATWA 17.

 

Tarikh Keputusan   : 21hb. Disember 2006

Status Penwartaan : Warta

Tarik Diwartakan     : 05hb. Julai 2007 

No. Rujukan            : Kn. P.U. 19

Akta/Enakmen        : Jil. 60. No 14

 

Kategori          :Akidah

 

Soalan             :FATWA PENGHARAMAN AJARAN, PEGANGAN DAN FAHAMAN YANG DIBAWA DAN DIPEGANG OLEH AHLI JEMAAH SYARIKAT RUFAQA’ CORPORATION SDN.BHD (SRC) DAN RANGKAIAN  SYARIKAT GABUNGANNYA

 

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh seksyen 36 dan 39 Enakmen  Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menerusi Jamaah Ulama’ yang bersidang pada 30 Zulkaedah 1427H bersamaan 21 Disember 2006 dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan Kelantan membuat Fatwa seperti yang  dinyatakan dalam Jadual :

1.                  Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan telah bersetuju dan memutuskan bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa dan dipegang oleh Haji Ashaari Bin Muhammad dan pengikutnya termasuklah orang yang terlibat secara langsung dalam Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam. Ciri-ciri penyelewengan tersebut adalah bercanggah dari segi :

 

(a)   Aqidah Ahli Sunnah Wal – Jamaah kerana mempercayai bahawa :-

 

(i)                 Haji Ashaari bin Muhammad adalah Sahibul Zaman (Mujaddid) manakala Syeikh Muhammad Al-suhaimi pula sebagai Imam Mahdi ;

 

(ii)               Haji Ashaari bin Muhammad mempunyai kelebihan meramal dan mengetahuai perkara yang akan berlaku pada masa hadapan ;

 

(iii)             Haji Ashaari bin Muhammad mendapat ilmu secara langsung daripada Syeikh Muhammad Al-Suhaimi dan Rasulullah s.a.w ;

 

(iv)              Haji Ashaari bin Muhammad sebagai Mujaddid atau Sahibul Zaman mendapat ilmu terus dari Allah ( ilham, ilmu ladduni atau kasyaf ) yang meliputi soal agama, dunia, hal ehwal semasa , pemerintahan bina insan dan lain-lain ;

 

(v)                Sesiapa yang banyak menghayati minda Abuya ( Haji Ashaari bin Muhammad ) dan dapat pula melaksanakannya adalah orang yang paling kuat hubungan mental dengan Abuya ;

 

 

(vi)              Minda Abuya ( Haji Ashaari bin Muhammad ) itu sebenarnya adalah wahyu dari Tuhan yang merupakan 1/46 daripada wahyu kenabian ;

 

(vii)            Allah hendak mengangkat kembali Islam di akhir zaman dengan menghantar Haji Ashaari bin Muhammad sebagai Sahibul Zaman dan Syeikh Muhammad Al-Suhaimi sebagai Imam Mahdi ;

 

(viii)          Minda Abuya ( Haji Ashaari bin Muhammad ) difahami sebagai intisari Quran dan Hadith dan Abuya adalah orang Tuhan yang berupaya menyampaikan intisari tersebut kepada pengikutnya untuk diamalkan ;

 

(ix)              Perjuangan Haji Ashaari bin Muhammad dan pengikutnya dibantu dan dilindungi oleh para Rijal Ghaib yang terdiri daripada para malaikat, jin Islam dan roh-roh muqaddas ( roh suci para ahli jamaah yang telah meninggal dunia) ;

 

(x)                Pengikut Haji Ashaari bin Muhammad ketika menghadapi sesuatu kesulitan atau kecemasan akan mendapat bantuan melalui jin Islam atau dengan karamah Haji Ashaari bin Muhammad ;

 

(xi)              Menjalinkan hubungan dengan Haji Ashaari bin Muhammad adalah lebih hebat daripada menjalinkan hubungan sekalipun dengan 10 orang ibu kerana hubungan dengan Haji Ashaari bin Muhammad kekal sehingga ke akhirat sedangkan hubungan dengan ibu bapa terbatas di dunia sahaja.

 

(xii)            Allah akan memberitahu Haji Ashaari bin Muhammad tentang musibah sakit yang dialami oleh pengikutnya dan Haji Ashaari bin Muhammad boleh meminta agar Allah meringankan beban derita pada kadar yang mampu ditanggung oleh pengikutnya ;

 

(xiii)          Haji Ashaari bin Muhammad mempunyai kelebihan untuk menangguhkan ajal jika pengikutnya yang sampai ajal itu masih banyak dosa ;

 

(xiv)          Haji  Ashaari bin Muhammad boleh meminta Allah menggantikan ajal kepada pengikut lain yang telah sempurna iman dan taqwa ;

 

(xv)            Sewaktu pengikut Haji Ashaari bin Muhammad sedang nazak, Haji Ashaari bin Muhammad akan hadir dan berada di sebelah kanan kepala pengikutnya itu sambil mengajarkan talkin supaya syaitan tidak akan menyesatkan pengikutnya ;

 

(xvi)          Haji Ashaari bin Muhammad akan datang menemani dan menjawab soalan malaikat bagi pihak pengikutnya di alam kubur bagi melepaskan pengikutnya daripada seksaan kubur ; atau

 

(xvii)        Haji Ashaari bin Muhammad akan menunggu-nunggu untuk memberikan syafaat kepada pengikutnya di padang mahsyar;

 

(b)   Syariah Islamiah kerana mempercayai bahawa :

 

(i)                 Ibadah sembahyang jumaat adalah tidak wajib kerana kerajaan yang ada sekarang bukan kerajaan Imam Mahdi ;

 

(ii)               Haji Ashaari bin Muhammad sebagai Sahibul Zaman tidak memerlukan kitab dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ilmunya datang terus dari Allah dalam bentuk ilham ;

 

(iii)             Pengikut yang berjuang mengikut minda Abuya ( Haji Ashaari Bin Muhammad ) adalah lebih tinggi pahala dan darjatnya jika dibandingkan dengan mereka yang tidak mengikut minda Abuya dalam perjuangannya ;

 

(iv)              Seorang ahli ibadah ( A’bid) hanya mampu menjadi hamba biasa dan tidak boleh menjadi khalifah kerana tidak mempunyai minda setaraf dengan wahyu sebagaimana wahyu Haji Ashaari bin Muhammad ;

 

(v)                Quran yang ada sekarang hanya tinggal mashaf dan lafaz sahaja kerana roh Quran telah ditarik  balik oleh tuhan dan hanya diberikan kepada mujaddid (Haji Ashaari bin Muhammad) ;

 

(vi)              Sembahyang sehari semalaman hanya tiga waktu sahaja iaitu subuh, sembahyang jamak zohor dan asar serta jamak maghrib dan isyak ;

 

(vii)            Segala amalan baik di dunia tidak dapat menandingi amalan pengikut Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) walaupun seseorang itu bersembahyang, berpuasa dan berpuluh kali menunaikan ibadat haji ;

 

(viii)          Duduk semajlis dengan Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) pahalanya lebih tinggi daripada mengerjakan selama 40 tahun atau sembahyang tahajjud sepanjang hayat .;

 

(ix)              Pengikut yang beramal dengan Aurad Muhammadiah ahli jamaah akan sentiasa dipantau dan dibimbing secara rohaniah oleh Haji Ashaari bin Muhammad ;

 

(x)                Amalan Aurad Muhammadiah oleh pengikut Haji Ashaari bin Muhammad akan terbatal jika pengikut itu melakukan dosa besar, tidak mengamalkannya tujuh hari berturut-turut, tidak taat dan yakin serta mengaibkan Haji Ashaari bin Muhammad;  atau

 

(xi)              Amalan Aurad Muhammadiah adalah zikir agung.

 

( c )  Akhlak dan etika bermasyarakat kerana mempercayai bahawa:

 

(i)                 Ulama’ yang ada sekarang adalah ulama’ kitab atau ulama’ hafalan untuk mengajar. Sebaliknya Haji Ashaari bin Muhammad sebagai Sahibul Zaman mendapat ilmu terus dari Tuhan ;

 

(ii)               Orang yang menun.0tut ilmu agama sehingga ke peringkat Ph.D tidak bermanfaat kerana ilmu yang dituntut itu bersumberkan kitab lama dan ketinggalan zaman ;

 

(iii)             Ilmu ulama’ sekarang tidak setanding dengan ilmu orang Tuhan iaitu Haji Ashaari bin Muhammad ; atau

 

(iv)              Allah melarang ulama’ yang berwatak Nabi berjuang melainkan setelah munculnya mujaddid yang berwatak Rasul.

  1. Berdasarkan kepada penyelewengan tersebut, Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis

 Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan telah membuat fatwa seperti berikut:

 

(a)   ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa dan dipegang oleh Haji Ashaari bin Muhammad, pengikutnya dan termasuk individu yang terlibat secara langsung dalam Syarikat Rufaqa Corporation dan rangkaian syarikat gabungannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam ;

 

(b)   mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1(a), (b) dan (c);

 

            ( c)  mana-mana orang tidak boleh menyebar, mengedar atau menerbitkan  apa-

       apa buku, majalah, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak,

      ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa

       bentuk keluaran ulangannya dan termasuklah apa-apa filem atau rakaman

       audio, khidmat pesanan ringkas dan e-mel yang berkaitan dengan ajaran,

       pegangan dan fahaman 1(a), (b) dan (c); dan

 

(c)    mana-mana orang yang berpegang kepada ajaran, pegangan dan fahaman

sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggang 1(a), (b) dan (c) hendaklah

bertaubat.

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan