FATWA TAHUN 2008
FATWA MENGENAI SENAMAN YOGA
Kategori : Akidah
KEPUTUSAN :
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 3/2008 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan pada 14 Disember 2008 telah membincangkan Isu Fatwa Mengenai Senaman Yoga dan telah bersetuju menfatwakan seperti berikut :
Senaman Yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak sebelum masihi lagi menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan aqidah umat Islam. Oleh itu, mesyuarat juga memfatwakan apa jua jenis atau bentuk senaman yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang untuk diamalkan oleh orang-orang Islam dan ia bertentangan dengan Syariat Islam.
ISU DAN MASALAH
Muzakarah telah bersetuju bahawa senaman yoga adalah bercanggah dengan Islam dan ia bersumber dan berlatar belakangkan agama dan falsafah Hindu, oleh itu umat islam dilarang untuk terlebih dalam senaman yoga. Terdapat individu yang beragama Islam dan bukan beragama Islam mempertikaikan keputusan muzakarah fatwa ini. Oleh itu pihak JAKIM meminta semua negeri di Malaysia membincangkan isu ini seterusnya memfatwakan hukum senaman yoga dikalangan umat bagi tindakan penguatkuasaan.
DALIL DAN HUJAH
FATWA ULAMA DAN INSTITUSI ISLAM BERKENAAN YOGA
1- PANDANGAN YANG MENGHARAMKAN
i- Pandangan Prof Dr. Yusof al-Qardawi
ومن يستعمل رياضة اليوجا- أي تمريناتها الرياضة- ولم يخطر في باله تعبد، ولا تقليد لأولئك الوثنيين، ولا نية التشبه بهم، فإن الأسلم والأورع البعد عن مشابهة هؤلاء ولا سيما بعد أن يعرف أصل الرياضة الوثني عملا بالحديث: " دع ما يريبك إلى ما لا يريبك" وقد شدد الإسلام في مشابهة الوثنيين في مجرد الشكل والصورة، فنهى عن الصلاة عند طلوع الشمس وعند غروبها، لأن عباد الشمس يتعبدون لها في هذين الوقتين، فلا غرو أن نهى عن الصلاة فيهما، سدا للذريعة، وإن لم يخطر ببال المصلي عبادة الشمس أو التوجه لها بالصلاة.
Maksudnya: “ dan sesiapa yang mengamalkan senaman yoga – iaitu latihan pergerakan tubuh dan tidak terlintas difikirannya unsur penyembahan, tidak juga mengikuti golongan penyembah berhala, tidak juga menyerupai mereka, maka yang lebih selamat dan lebih berhati-hati ialah menjauhkan diri daripada menyerupai mereka , lebih-lebih lagi setelah mengetahui bahawa asal-usul senaman yoga yang mempunyai unsur keberhalaan, sebagai beramal dengan hadith: “ tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan”. Malah Islam telah melarang tegas sebarang penyerupaan dengan penyembah berhala walaupun hanya dari segi rupa dan bentuk. Oleh sebab itu, Islam telah menegah solat pada waktu terbit matahari dan ketika tenggelamnya, kerana penyembah matahari pada kedua-dua waktu ini. Tidak diragukan lagi bahawa larangan daripada solat pada kedua-dua waktu ini.Tidak diragukan lagi bahawa larangan daripada solat pada kedua-dua waktu tersebut ialah sebagai menyekat jalan-jalan kerosakan walaupun ia tidak terlintas di benak orang yang solat untuk menyembah matahari atau menghadap ke arahnya di dalam solat.
ii- Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura.
Yoga adalah perkara-perkara bid’ah yang digolongkan ke dalam bid’ah dhalalah. Ia mengandungi unsur-unsur agama Hindu. Segala perkara yang mengandungi unsur-unsur syirik dan boleh merosakkan kepercayaan(iktikad) seperti yang menganjurkan kepada persemadian kepada yang bukan mengingati Allah adalah dilarang dan hukumnya haram.
2- PANDANGAN YANG MEMBENARKAN DENGAN SYARAT.
i- Fatwa Dar Al-Ifta’ Mesir
" إن محض الحركات الرياضة المفيدة للجسم أو لبعض أعضائه لا حرج فيها ولا حرمة ولكن هذا لا يسمى يوجا : فإن تلك المنسوبة إلى هذا الاسم لا بد فيها من إضافة مفهوم الجورو (المرشد) ومفهوم الشكرات (مراكز التركيز)ومفهوم الإنرجي (الطاقة العليا) وكلها مفاهيم تتعلق بالوثنية والشرك، واما مخص الحركات فلا تسمى بذلك، وإصرار أحدهم على تسمية مخص الحركات باليوجا غير جائز شرعا، وهو من باب تسمية الأشياء بغير اسمها: ليحصل التحليل أو التحريم، وقد نهينا عن ذلك: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: " ليشربن ناس من أمتي الخمر يسمونها يغير اسمها" رواه أبو داود وابن ماجه عن أبي مالك الأشعري رضى الله عنهز وفي رواية الدرامي عن عائشة رضى الله عنها: " يسمونها يغير اسمها فيستحلونها".
Maksudnya: “ bahawa pergerakan senaman semata-mata yang bermanfaat yang bermanfaat bagi tubuh atau sebahagian anggota badan, tidak salah dan tidak haram tetapi ini tidak dinamakan yoga. Bahawa apa yang disandarkan kepada nama ini(yoga) semestinya dikaitkan konsep guru (Mursyid), konsep cakra(titik-titik pusat)dan konsep energi (tenaga tertinggi), semuanya ini konsep-konsep yang berkaitan dengan keberhalaan dan kesyirikan. Adapun hanya pergerakan semata-mata maka ia tidak dinamakan dengannya (yoga). Pemaksaan seseorang untuk menamakan pergerakan-pergerakan badan ini sebagai yoga tidak harus dari segi syara’. Ia termasuk dalam bab menamakan sesuatu dengan bukan namanya yang boleh menatijahkan penghalalan atau pengharaman sesuatu, dan ia telah pun ditegah. Rasulullah bersabda: akan ada manusia di kalangan umatku yang meminium arak yang mereka gelarkan bukan dengan namanya”. Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abi Malik al-Asy’ari r.a. Dalam riwayat al-Darimi daripada Aisyah r.a.h. menyebut: “ mereka menamakannya dengan selain namanya lalu menghalalkannya (arak).