ms Malay en English
A- A A+

FATWA TAHUN 2006

 

FATWA MENGENAI PERMOHONAN PENGGUNAAN TANAH WAKAF ATAU BAITULMAL YANG BERADA DI BAWAH KAWALAN MAIK UNTUK MEMBINA PUSAT DOWN SIDROM TAJAAN LIONS CLUB

 

Kategori  : Syariah

 

Keputusan :

 

Mesyuarat Khas Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2006 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan  pada  23  Ogos  2006  telah membincangkan isu Fatwa Mengenai Permohonan Penggunaan Tanah Wakaf Atau Baitulmal Yang Berada Di Bawah Kawalan Maik Untuk Membina Pusat Down Sidrom Tajaan Lions Club dan telah bersetuju  menfatwakan   seperti  berikut :

 

 

LATAR BELAKANG 

 

v  Pusat Down Sidrom tajaan Lions Club sebenarnya telah wujud sejak tahun 1997 dan ia bertempat di Taman Rakyat, Jalan Pasir Hor, Kota Bharu. Oleh kerana tempat yang agak terhad, pusat ini hanya mampu menampung seramai 35 orang kanak-kanak sahaja yang mana terdiri daripada 99% kanak-kanak Islam. Keperluan untuk mencari tapak baru yang lebih besar diperlukan kerana buat masa sekarang didapati satu daripada 6,600 bayi yang dilahirkan telah menghidap down sidrom.

 

v  Dalam usaha untuk mencari tempat baru yang lebih luas, Lions Club telah memohon kepada kerajaan negeri untuk membeli atau menyewa tanah bagi tujuan ini tetapi masih tiada jawapan yang diberikan oleh kerajaan negeri.

 

v  Permohonan untuk mendapatkan tanah wakaf bagi tujuan ini dibuat setelah Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan mencadangkan agar tanah wakaf di lot 1398 dan 235 mukim Bayam dijadikan tapak untuk projek ini. Lions Club telah bersetuju menaja kuasa pembinaan untuk bangunan baru pusat down sidrom sebanyak RM500,000.00 hingga RM600,000.00 manakala tiada yuran dikenakan keatas kanak-kanak yang menyertai pusat ini.

 

v  Lions Club Malaysia khususnya di cawangan Kota Bharu mempunyai hubungan dengan Lions Club Antarabangsa dari segi membayar yuran keahlian setiap tahun. Walau bagaimanapun Lions Club Malaysia tidak terikat dengan Lions Club Antarabangsa dari segi aspek-aspek lain seperti pelaksanaan program-program dan tidak terikat dengan apa-apa peraturan dan arahan dari Lions Club Antarabangsa.

 

 

 

 

KEPUTUSAN :

 

  1. Program-program kebajikan yang ingin dilaksanakan dengan tujuan untuk kemaslahatan Umat Islam wajar disokong dan dibantu oleh MAIK kerana sudah menjadi kewajipan MAIK untuk menganjur, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat Islam dalam negeri ini menurut Hukum Syara’ sebagaimana yang termaktub dalam Enakmen MAIK Bil. 4 Tahun 1994. Oleh ini cadangan Penubuhan Pusat Down Sindrom wajar disokong dan dibantu oleh MAIK kerana bilangan kanak-kanak Islam yang mendapat faedahnya melebihi 95%.

 

  1. Penggunaan tanah wakaf untuk tujuan ini juga dibolehkan oleh syara’ selagi mana program ini tidak dicampuradukkan dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan prinsip Syara’.

 

  1. Walau bagaimanapun dalam usaha untuk membuat kebajikan, MAIK seboleh-bolehnya tidak memdedahkan diri kepada fitnah dan tohmahan liar daripada masyarakat Islam supaya emej dan kredibiliti MAIK di mata umum tidak terjejas.

 

  1. Kerjasama yang ingin dibuat dengan Lions Kelab Malaysia dikhuatiri akan membuka ruang kepada fitnah dan tohmahan daripada masyarakat Islam kerana setelah dibuat kajian tentang isu Lions Kelab Antabangsa didapati terdapat banyak penulis daripada Ulama’-ulama’ Timur Tengah  seperti Doktor Yusuf Qaradhawi, Doktor Ahmad Syalbi, Syeikh Ali Jaadulhak, Fathi Yakan dan lain-lain lagi yang kesemuanya secara terbuka telah mengaitkan Pertubuhan Lions Kelab antarabangsa dengan pertubuhan Zionis. Bahkan persidangan  Majma’ Fiqhi kali pertama yang bertarikh 10 Ramadhan 1398H bertempat di Makkah al-Mukarramah  telah membuat ketetapan bahawa Freemasons, Lions  dan Rotary adalah pertubuhan yang bercanggah dengan prinsip Agama Islam.

 

  1. Walaupun Lions Kelab Malaysia, khususnya cawangan Kelantan tidak berkaitan dengan Lions Kelab Antarabangsa dari segi pengurusan dan pelaksanaan program, namun ia masih mempunyai perhubungan dari segi penjenamaan. Oleh itu, dikhuatiri kerjasama antara MAIK dengan Lions Kelab ini akan menimbulkan fitnah dan menjejaskan emej MAIK pada kacamata Umat Islam.

 

  1. Sebagai jalan alternatif kepada MAIK bagi melaksanakan program ini, disyorkan agar MAIK sendiri mengepalai projek pembinaan Pusat Down Sindrom di Negeri Kelantan dan peruntukan untuk melaksanakan projek ini boleh diambil daripada wang Zakat.
Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan