ms Malay en English
A- A A+

FATWA TAHUN 2008

 

FATWA MENGENAI PENGKID

 

Kategori : Sosial/Syariah

 

Keputusan :

 

Mesyuarat  Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 3/2008 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan  pada  14  Disember  2008 telah membincangkan Isu Fatwa Mengenai Pengkid  dan telah bersetuju  menfatwakan seperti  berikut :

 

Mesyuarat memfatwakan bahawa pengkid iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi Islam. Begitu juga lelaki yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti perempuan adalah haram di sisi Islam.

Mesyuarat juga menggesa ibu bapa dan masyarakat Islam supaya memberi perhatian serius terhadap gejala-gejala ini serta menekankan pendidikan dan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada generasi muda khususnya dalam aspek pakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala-gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnah Allah.

 

 

 

 

 

ISU DAN MASALAH

 

1) Isu golongan wanita membawa imej lelaki telah lama diperkatakan. Jika suatu waktu dahulu wanita yang berpewatakan lelaki ini digelar sebagai “tomboy” kerana membawa imej lelaki, kini muncul pula golongan yang dinamakan sebagai pengkid dengan imej, penampilan dan perwatakan lelaki. Fenomena pengkid ini semakin menular dan berleluasa malah telah menjadi satu fenomena global di seluruh dunia.

 

2) Pengkid merujuk kepada gadis yang mempunyai penampilan fizikal mirip lelaki seperti berambut pendek dengan mengenakan jeans dan t-shirt. Daripada sifat pula, nyata terserlah sifat kelelakian(kejantanan) pada golongan ini dengan imej macho sehingga ada yang merasakan bahawa diri mereka benar-benar seorang lelaki sejati. Pengkid cenderung untuk menjalinkan hubungan untung dengan wanita kerana daripada segi perasaan, nyata mereka amat berminat terhadap lelaki. Yang nyata, golongan ini cuba menonjolkan identiti gender berlawanan daripada norma-norma biologi dan sosial yang mereka miliki.

 

DALIL DAN HUJAH

 

1- Dalam membahaskan isu berkaitan wanita menyerupai lelaki, majoriti ulama’ bersepakat bahawa Islam melarang perbuatan tersebut sama  seperti lelaki dilarang menyerupai wanita. Merujuk kepada kitab Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr. Wahbah Zuhaili menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki. Sabda Nabi S.A.W:

 

عن ابن عباس رضى الله عنهما قال: لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم المحنثين من الرجال ولمترجلات من النساء.

 

Maksudnya: “ Daripada Ibnu Abbas r.a berkata: Rasulullah s.a.w melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita.

 

Maksud menyerupai dalam konteks hadith di atas termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.

 

2- Al-Syeikh Muhammad bin Soleh Al-‘Uthaimin menerusi bukunya Fatawa Wa Rasa’il lil Nisa’ menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai kaum wanita sama ada dari aspek tingkah laku, percakapan, perhiasan, cara berpakaian dan sebagainya dalam perkara yang dikhususkan untuk wanita. Begitu juga sebaliknya, haram ke atas wanita menyerupai kaum lelaki. Sabda Nabi S.A.W:

 

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجل يلبس لبسة المرأة والمرأة تلبس لبسة الرجل. 

 

Riwayat Abu Daud.

 

Maksudnya: “ Daripada Abi Hurairah r.a dia berkata: Rasulullah S.A.W telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki”.

 

3- Seterusnya Al-Uthaimin menjelaskan bahwa apa yang berlaku pada hari ini ialah situasi yang berlawanan dengan fitrah yang telah diciptakan oleh Allah S.W.T dimana terdapat segelintir kaum lelaki yang tampil dengan imej berambut panjang, berpakaian ketat dan sempit serta berlagak seperti perempuan. Begitu juga dengan kaum wanitanya yang memendekkan rambut dan berlagak seperti lelaki. Beliau menegaskan bahawa situasi ini adalah suatu yang terkeluar daripada fitrah dan ikutan yang membuta tuli ini sedang dan akan mengancam para pemuda dan pemudi Islam di seluruh dunia.

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan