ms Malay en English
A- A A+

FATWA MENGENAI ORANG ISLAM YANG CUBA KELUAR DARI AGAMA ISLAM  (MURTAD) DI MALAYSIA AMNYA DAN NEGERI KELANTAN KHASNYA

 

Kategori :  Akidah

 

Keputusan   :

 

Mesyuarat Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2003 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan  pada 24 Ogos 2003 telah membincangkan isu Fatwa Mengenai Orang Islam Yang Cuba Keluar Dari Agama Islam  (Murtad) Di Malaysia Amnya Dan Negeri Kelantan Khasnya dan telah bersetuju  memutuskan seperti berikut  :

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ berpendapat undang-undang yang diperuntukan di bawah Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Bil. 4 Tahun 1994, seksyen (102) (1) hingga (5) sudah memadai sebagai hukuman takzir bagi membendung gejala murtad khususnya di Negeri Kelantan. Seksyen (102) (1) hingga (5) adalah seperti berikut :

 

1.         Tiada seorang pun yang telah diakui beragama Islam boleh mengaku bahawa dia bukan Islam melainkan setelah mahkamah memberi pengesahan sedemikian.

 

2.         Sebelum mahkamah membuat pengesahan, seseorang itu hendaklah dianggap beragama Islam dan segala perkara yang berkaitan dengan agama Islam adalah terkena ke atasnya.

 

3.         Jika seseorang Islam dengan sengaja cuba, samada dengan perkataan atau perbuatan hendak keluar dari agama Islam, Mahkamah bolehlah, jika berpuas hati, memerintahkan orang itu supaya ditahan di pusat bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi 36 bulan bagi tujuan pendidikan dan orang itu hendaklah diminta bertaubat mengikut hukum syara’.

 

4.         Pegawai penjaga hendaklah menyerahkan laporan kemajuan kepada mahkamah pada setiap bulan.

 

5.         Pusat bimbingan Islam hendaklah diwartakan sebagai pusat tahanan di dalam warta.

 

Mesyuarat juga menasihati pihak yang diberi kuasa mengikut undang-undang supaya mewujudkan Pusat Bimbingan Islam seperti yang diperuntukan di bawah seksyen (102)(3) Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan