FATWA 12.
Tarikh Keputusan : 23hb. September 2001
Status Penwartaan : Warta
Tarikh Diwartakan : 28hb Mac 2002
No. Rujukan : Jil 55. No 27
Akta/ Enakmen :
Kategori : Sosial/Syariah
Soalan : FATWA MENGENAI MASALAH PERPECAHAN ORANG MELAYU ISLAM
Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 36 dan 39 Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menerusi Jamaah Ulama’ yang bersidang pada 5 Rajab 1422H bersamaan 23hb. September 2001M dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan membuat Fatwa yang berikut :
(a)Soalan: Penggunaan nama atau yang dikaitkan dengan Islam dalam nama sesuatu pertubuhan boleh mengelirukan orang Islam akan nama Islam dan ajarannya?
Jawapan : Tiada halangan untuk menggunakan perkataan Islam oleh mana-mana pertubuhan malah digalakkan dengan disiplin ilmu, iman dan ihsan. Mana-mana orang atau pertubuhan yang menggunakan perkataan Islam untuk tujuan mengelirukan dan menyeleweng adalah salah dan boleh diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
(b)Soalan: Penambahan syarat kepada pengiktirafan seseorang sebagai seorang Islam ?
Jawapan: Seseorang itu sudah diiktiraf sebagai seorang Islam jika menepati rukun iman dan rukun Islam. Dari itu adalah salah dan tidak berhak bagi mana-mana pihak menambah apa-apa rukun dan menentukan keislaman seseorang itu. Fahaman sedemikian adalah salah di sisi Islam. Oleh itu, sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru, menyebar dan lain-lain cara sebaran akan fahaman tersebut, maka perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebar ajaran salah atau menyeleweng.
(c)Soalan: Dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada pihak tertentu diperlukan sebelum seseorang Islam itu dilayakkan ke syurga dan kenyataan bahawa orang-orang tertentu akan ditempatkan di neraka?
Jawapan: Ketentuan syurga atau neraka adalah hak Allah Ta’ala. Dari itu dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang atau pertubuhan tertentu diperlukan sebelum seseorang dilayakkan ke syurga atau ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam. Oleh itu, sesiapa yang mengamal,mengajar menyeru, menyebar dan lain-lain cara sebaran akan fahaman tersebut, maka perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebar ajaran salah dan menyeleweng.