FATWA MENGENAI KEMALANGAN JALAN RAYA DAN KESANNYA DARI SEGI HUKUM SYARA’
Kategori : Sosial Syariah
Keputusan :
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2006 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan pada 31 Januari 2006 telah membincangkan isu Fatwa Mengenai Kemalangan Jalan Raya Dan Kesannya Dari Segi Hukum Syara’dan telah bersetuju menfatwakan seperti berikut :
ISU DAN MASALAH
Perbincangan mengenai isu ini dimulakan dengan pembentangan kertas kajian yang disediakan oleh Sahibul Fadhilah Dato’ Haji Mohd Syukri bin Mohammad, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan.
Perbincangan ditumpukan kepada kes-kes kemalangan jalanraya yang terjadi disebabkan oleh perbuatan tanpa tujuan jenayah atau niat jahat daripada mana-mana pihak pengguna jalanraya tetapi telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan anggota badan dan kerosakkan harta benda. Ia terbahagi kepada dua keadaan:
1) Kemalangan yang melibatkan kecederaan pengguna jalanraya walaupun dalam keadaaan mereka mempunyai hak menggunakannya dan tidak melanggar peraturan luar biasa secara khususnya.
2) Kemalangan yang berkenaan dengan ketidakpatuhan dan ketidakakuran pengguna jalanraya dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pemerintah mahupun kepada norma-norma dan etika pengguna jalanraya.
KEPUTUSAN :
1. Kemalangan jalanraya yang melibatkan kecuaian para pengguna jalanraya walaupun mereka mempunyai hak menggunakannya dan tidak melanggar peraturan lalu-lintas secara khusus. Ia terbahagi kepada 2 situasi:
i. Dalam keadaan ini sekiranya kemalangan itu menatijahkan kehilangan nyawa pengguna itu sendiri, ia tidak diboleh dihukumkan sebagai perbuatan membunuh diri dan ia bukan termasuk dalam kes jenayah kerana tiada motif atau niat secara langsung untuk membunuh diri.
ii. Sekiranya kemalangan itu, menatijahkan kehilangan nyawa orang lain atau kecederaan anggota badan serta kerosakan harta bendanya maka dari segi hukum ukhrawinya ia adalah berdosa kerana melakukan kecuaian membunuh dengan tidak sengaja, tetapi mereka yang terlibat dengan perbuatan sebegini dinafikan dosa sebagai pembunuh dengan sengaja. Dari segi hukum duniawi, mereka yang terlibat dengan perbuatan sebegini perlu membayar pampasan wajib seperti diat (ganti rugi) dari pihak yang bersalah kepada keluarga mangsa kemalangan dan lain-lain hukuman yang telah ditetapkan dalam Fiqh Islam. Hukum yang disebut di atas adalah terpakai dalam situasi yang sebenarnya terkawal dan kemalangan boleh dielakkan sekiranya pengguna jalanraya itu mengamalkan sikap berhati-hati tetapi sekiranya keadaan di luar kawalan pengguna jalanraya tersebut, maka beliau tidak berdosa dan tidak perlu bertanggungjawab di atas perbuatan beliau.
2. Kemalangan yang berkenaan dengan ketidakpatuhan dan ketidakakuran pengguna jalanraya dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pemerintah, mahupun kepada norma-norma dan etika pengguna jalanraya. Dalam keadaan ini, pengguna jalanraya tersebut adalah berdosa dan bertanggungjawab atas kemalangan itu, samada kemalangan jalanraya itu berpunca dari kecuaian dirinya atau tidak, kerana pelanggaran peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah adalah suatu kesalahan.
Sekiranya perbuatan beliau itu menatijahkan kehilangan nyawa orang lain atau kecederaan anggota badan atau kerosakan harta bendanya maka beliau perlu membayar pampasan wajib seperti diat(gantirugi) kepada keluarga mangsa kemalangan dan lain-lain hukuman yang telah ditetapkan oleh Fiqh Islam. Walaubagaimanapun dari segi hukum ukhrawi beliau tidak dianggap sebagai membunuh diri sekiranya kehilangan nyawa sendiri dan bukan juga sebagai pembunuh dengan sengaja, sekiranya berlaku kehilangan nyawa orang lain kerana ketiadaan motif atau niat membunuh. Beliau adalah berdosa kerana kesalahan kecuaian membunuh dengan tidak sengaja dan pelanggaran peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah.