FATWA TAHUN 2008
FATWA MENGENAI HUKUM BERJABAT TANGAN DENGAN WANITA AJNABI
Kategori : Syariah
Keputusan :
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2008 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan pada 06 Januari 2008 telah membingcangkan isu Fatwa Mengenai Hukum Berjabat Tangan Dengan Wanita Ajnabi dan telah bersetuju seperti berikut :
Mesyuarat berpendapat isu hukum berjabat tangan antara lelaki dengan wanita ajnabi ini termasuk perkara khilafiah yang furu’ dan ia bukan merupakan perkara usul. Oleh itu, mesyuarat mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan fatwa berkaitan dengan isu ini dan isu-isu khilafiah furu’ yang lain selagi keadaan tidak memerlukan dan ia tidak menjejaskan kepentingan awam.
ISU DAN MASALAH
1- Malaysia adalah sebuah Negara yang mengamalkan mazhab Syafei dan secara umum masyarakat Islamnya telah sedia maklum bahawa bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita ajnabi adalah dilarang dan membatalkan wuduk. Jika dilihat kepada sukatan pendidikan Islam sejak di sekolah rendah lagi ditekankan bahawa bersentuhan kulit antara lelaki dengan wanita ajnabi adalah antara perkara yang membatalkan wuduk.
2- Hakikinya di Malaysia berjabat tangan dengan wanita ingin bersalaman dengan lelaki yang bukan muhrim terutamanya untuk bermaafan semasa hari raya, kebiasaannya kain digunakan sebagai lapik atau alas.
3- Walaubagaimanapun sejak kebelakangan ini amalan berjabat tangan dengan wanita ajnabi(tanpa alas) semakin menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat Malaysia terutama semasa menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan dan Negara. Apa yang membimbangkan sekiranya amalan ini akhirnya diterima sebagai satu kebiasaan.
DALIL DAN HUJAH
Para ulamak memberikan pandangan yang berbeza dalam menjawab persoalan berkaitan hukum berjabat tangan dengan wanita ajnabi. Hakikinya kebanyakan mereka menyatakan isu ini dengan hukum wuduk iaitu samada batal wuduk atau sebaliknya apabila bersentuhan kulit antara lelaki dengan wanita ajnabi sebagaimana firman Allah S.W.T dalam ayat yang berkenaan dengan wuduk dan tayamum:
أولمستم النساء
Maksudnya : Atau kamu bersentuhan dengan perempuan (surah an-nisa’: 43)
PANDANGAN ULAMAK MAZHAB EMPAT
1- Berhubung samada batal wuduk ataupun tidak sekiranya bersentuhan kulit antara seorang lelaki dengan wanita ajnabi, ulamak mazhab yang empat mempunyai pandangan yang berbeza. Doktor Wahbah Zuhaili menerusi bukunya al-Fiqh Islami Aaadillatuhu ada menjelaskan pandangan setiap mazhab berhubung isu ini sebagaimana keterangan :
i- Mazhab Hanafi: wuduk hanya akan terbatal apabila berlakunya jamak atau
seorang lelaki menyentuh perempuan dengan penuh syahwat sehingga dia merasa ghairah tanpa sebarang kain antara mereka.
ii- Ulamak mazhab Maliki: wuduk tidak terbatal dengan memuaskan nafsu melalui pandangan mata atau khayalan semata-mata walaupundia merasa terangsang atau ghairah tanpa mengeluarkan air mazi begitu juga tidak batal wuduk dengan menyentuh seorang kanak-kanak perempuan yang belum memberahikan (belum baligh) atau lelaki yang telah tua. Disisi mazhab Maliki wuduk hanya akan terbatal berdasarkan syarat-syarat berikut:
a- Hendaklah orang yang menyentuh itu seorang yang sudah baligh
b- Orang yang disentuh itu pada kebiasaannya adalah seorang yang memberahikan.
c- Hendaklah orang yang menyentuh berniat untuk memuaskan nafsunya ataupun dia merasai nikmat tersebut walaupun tidak berniat sedemikian.
iii- Mazhab Hanbali: menurut pandangan yang masyhur di kalangan mereka wuduk akan terbatal dengan menyentuh kulit seorang wanita tanpa berlapik dan disertai dengan nafsu. Kesimpulannya jumhur ulamak selain daripada mazhab Syafie berpandangan bahawa wuduk tidak terbatal dengan sebab bersentuhan antara lelaki dengan wanita ajnabi.
iv- Sebaliknya, mazhab Syafie berpendapat wuduk tanpa tetap terbatal dengan berlakunya sentuhan antara seorang lelaki dengan wanita ajnabi walaupun orang yang disentuh itu sudah meniggal dunia. Bersentuhan tanpa alas turut membatalkan wuduk orang yang menyentuh dan orang yang disentuh walaupun salah seorang daripada mereka adalah orang tua yang hodoh atau lemah. Bagaimanapun wuduk tidak terbatal dengan menyentuh rambut, gigi dan kuku atau bersentuhan dengan berlapik.
PANDANGAN ULAMAK BERHUBUNG HUKUM BERSALAMAN ANTARA LELAKI DENGAN WANITA AJNABI.
- Pada dasarnya terdapat pelbagai pendapat ulamak mengenai hukum berjabat tangan dengan wanita ajnabi. Pada asasnya perbezaan pendapat tersebut turut berhubung kait dengan perbahasan mereka tentang ayat 43 surah an-Nisa’(أو لمستم النساء) Walaupun begitu tidak dinafikan majoriti ulamak berpandangan hukum bersalaman dengan wanita ajnabi adalah dilarang (haram).
- Dr. Yusuf Al-Qardhawi menerusi kitabnya Fatwa Muasirah berpendapat, haram berjabat tangan dengan wanita jika disertai bersamanya rasa ghairah kepada salah satu pihak samada lelaki mahupun wanita. Dihukumkan sebagai haram juga sekiranya dengan berjabat tangan itu diyakini akan membawa kepada fitnah. Ini kerana menjauhi segala perkara yang boleh menjerumuskan seseorang ke kancah maksiat adalah wajib, apatah lagi jika sebab ataupun punca ke arahnya adalah jelas dan nyata.
- Walau bagaimanapun dalam soal berjabat tangan dengan wanita tua yang sudah tidak mempunyai keinginan atau kanak-kanak perempuan kecil yang masih belum mempunyai keinginan, Al-Qardhawi berpandangan bahawa keringanan diberikan untuk berjabat tangan ketika itu kerana ia adalah selamat daripada sebarang fitnah. Hukumnya adalah sama jika bersalaman dengan lelaki tua yang sudah lanjut usianya serta tidak mempunyai keinginan syahwat. Firman Allah S.W.T dalam (surah An-Nur: 60) :
والقواعد من النساء التى لا يرجون نكاحا فليس عليهن جناح أن يضعن ثيابهن غير متبرجت بزينة. وأن يستعففن خيرلهن والله سميع عليم .
Maksudnya: Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi, maka tidak ada seolahnya mereka meninggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka, dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatan (dengan tidak meninggalkan pakaian luarnya itu adalah lebih baik bagi mereka) dan ingatlah! Allah amat mendengar, lagi amat mengetahui.
Firman Allah S.W.T: (Surah An-Nur: 31)
أو التبعين غير أولى الإربة من الرجال أو الطفل الذين لم يظهروا على عورت النساء.
Maksudnya: “……..atau orang gaji dan orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan…..”
4- Sementara itu, Dr.Ahmad As-Syarbasi ketika ditanya hukum bersalaman antara lelaki dengan wanita ajnabi menjelaskan bahawa terdapat tiga pandangan ulamak
Pertama :
pandangan ( tidak jelas, buku Muzakarah 1/2008, 6 jan 2008) yang melarang sentuhan antara lelaki dengan wanita ajnabi samada ia disertai dengan syahwat ataupun tidak.
Kedua:
Pandangan yang melarang bersentuhan kulit antara lelaki dengan wanita sekiranya sentuhan tersebut disertai dengan syahwat, namun dibolehkan sekiranya tanpa syahwat.
Ketiga :
Pandangan longgar yang membolehkan lelaki dan wanita ajnabi
bersentuhan kulit. Perbezaan pendapat ini sebenarnya turut berasaskan perbezaan pendapat samada batal wuduk ataupun tidak bila bersentuhan antara lelaki dan wanita. Mengakhiri jawapan , as-syarbasi menyebut bahawa Nabi s.a.w tidak bersalam dengan wanita yang ingin membai’ah baginda sebaliknya menerima bai’ah mereka dengan lisan sahaja. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:
Maksudnya: Sufian bin Ainiah mendengar Mohammad Ibnu al-Munkadar berkata ia mendengar Aminah binti Rakikah berkata, ia pergi kepada perempuan yang hendak berbai’ah dengan baginda, lalu baginda bersabda: “Terpulanglah kepada keupayaan dan kesanggupan kamu semua, kerana sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan orang-orang perempuan.” (Riwayat Ibn Majah)
As-Syarbasi seterusnya membuat kesimpulan bahawa Nabi S.A.W menghindari daripada bersalaman dengan wanita ajnabi sebagai langkah berhati-hati dan menjauhkan diri daripada perkara yang meragukan.
5- As-syeikh Atiah Sakar semasa ditanya hukum berjabat tangan antara lelaki dan wanita ajnabi menjawab tiada tegahan sekiranya berlapik. Namun begitu jika tiada keperluan lebih baik perkara tersebut dielakkan. Sebaliknya berjabat tangan dengan wanita ajnabi tanpa beralpik adalah dilarang berdasarkan perbuatan nabi S.A.W yang tidak bersalam dengan kaum wanita yang ingin memberikan bai’ah kepada baginda, walaupun bai’ah itu merupakan urusan yang sangat penting.
6- Selanjutnya Atiah Sakar turut menjelaskan bahawa para fuqaha’ bersependapat bahawa haram menyentuh wanita secara sengaja dan bertujuan mendapatkan ghairah, tetapi tidak haram sekiranya secara tidak sengaja.
Walau bagaimanapun sesetengah fuqaha menghukumkan haram bagi sentuhan
yang dibuat secara sengaja walaupun tidak bertujuan untuk mendapatkan
hairah, namun sebahagian Fuqaha yang lain pula hanya menghukumkannya
makruh seperti bersalaman dengan wanita tua yang telah lanjut umurnya.
Walau bagaimanapun, pandangan yang rajih ialah haram menyentuh atau
bersalaman dengan wanita.
7- Berhubung isu yang sama, As-syeikh Mohd Salleh Al-A’simin melontarkan pandangan yang agak rigid dengan menyatakan tidak harus bersalaman dengan wanita ajnabi samada dengan berlapik ataupun tidak. Sekiranya amalan bersalam itu telah menjadi adat maka dapat tersebut hendaklah dibatalkan kerana ia bertentangan dengan syara’. Beliau beralasan sentuhan memberi kesan yang lebih besar berbanding pandangan dan lebih mendorong kepada syahwat.
8- Darul Ifta’ Al-Mesriah ketika menjawab persoalan berhubung pekerjaa lelaki sebagai pendandan rambut wanita menjawab bahawa pekerjaan tersebut serta sumber pendapatannya adalah haram dengan mengaitkan haram bagi seorang lelaki memandang ke arah seseorang wanita ajnabi selain daripada muka dan dua tapak tangannya dan haram juga menyentuh sesuatu daripada jasad wanita ajnabi.
9- Fatwa mufti kerajaan Brunei Darul Salam berhubung isu bersalaman diantara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim menetapkan jawapan yang panjang lebar seperti berikut:
* - Adalah sunat berjabat tangan di antara dua lelaki (sesama lelaki) dan di antara dua orang perempuan(sesama perempuan). Tetapi haram lelaki asing menyentuh dan berjabat tangan dengan perempuan dengan tiada berlapik. Kecuali menyentuh itu ketika berubat, itu pun sekadar hajat dan sekadar hajat dan sekadar yang mustahak sahaja.
* - Ada pendapat yang mengatakan bahawa berjabat orang perempuan dengan raja lelaki atau sebaliknya berjabat orang lelaki dengan raja perempuan itu membawa rapat dan mesra serta taat setia rakyat kepada raja itu.
*- Pendapat ini silap, kerana perkara kasih mesra dan taat setia itu ialah perkara yang baik, yang dituntut oleh agama terhadap sesama islam dan terhadap U’li Amri atau raja, sebagaimana yang disebut oleh al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W. Sedangkan berjabat dan bersalaman oleh perempuan dan lelaki tiada berlapik itu ialah perkara haram, jadi bagaimanakah perkara haram yang ditegah oleh Allah dan berdosa melakukannya itu boleh membuahkan perkara ayng baik iaitu kasih sayang dan taat setia?
*- Seperti juga satu lagi misalnya yang lain, iaitu masalah makan minum yang haram adalah sama sekali tidak akan mendatangkan rahmat dan kebajikan walaupun ianya mengenyangkan sama seperti makan dan minum yang halal juga. Tetapi akibat dan hasilnya adalah berlainan. Orang yang makan dan minumnya halal doanya makbul diangkat oleh Allah and pangkatnya umat tinggi di sisinya, seperti yang berlaku kepada seorang yang bernama U’wish Al-Qarni, dia sungguh masyhur dan terkenal di langit walaupun di bumi tidak ramai yang mengenalinya. Sila perhatikan hadis ini:
إن الله طيب لا يقبل إلا طيبا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu elok, baik dan bersih, dia tidak akan menerima melainkan yang elok, yang baik dan yang bersih sahaja.
Ukuran elok, baik dan bersih di sini bukan ukuran akal dan pancaindera kita manusia tetapi ukuran dan timbangan syarak. Rasulullah s.a.w menolak orang perempuan yang hendak berjabat tangan dengan baginda. Baginda sama sekali tidak berjabat tangan dengan orang-orang perempuan. Baginda Rasulullah s.a.w mengikat perjanjian taat setia dengan orang-orang perempuan itu ialah dengan mulut yakni dengan perkataan sahaja, bukan dengan berjabat tangan.
Cubalah bayangkan dan baca sejarah, bahawa sahabat-sahabat Nabi s.a.w dari orang lelaki mahupun perempuan adalah amat cinta terhadap baginda serta taat mengikut arahan dan perintah, dan sampailah ke mari ini pun kaum Muslimin dan tidak terkecuali juga kaum muslimat, kecintaan dan ketaatan terhadap baginda adalah tidak berubah, bahkan tetap subur dan menyala insyaAllah sehingga hari kiamat. Padahal kita umat Islam sekarang, lelaki mahupun perempuan, tidak pernah bersemuka apatah lagi berjabat tangan dengan baginda s.a.w itu.
Adalah kasih sayang dan ketaatan itu merupakan urusan Allah Taala. Jika kita masing-masing berbuat takwa mengikut titah perintah Allah dan melakukan amalan soleh, maka insyaAllah, itulah sumber dan punca yang paling besar dan kekal kepada kasih sayang dan ketaatan itu.
Berkata Al-alamah Ibnu Taimiah yang dipetik oleh Al-Alamah Fahin Datu Sri Maha Raja Dato’ Utama Doktor Haji Awang Ismail Bin Umar Abdul Aziz Rahmatullah, bekas mufti kerajaan negeri Brunei Darul Salam.
“Orang-orang Islam sekarang, berjabat tangan dengan orang-orang perempuan adalah terikut-ikut adat resam orang Eropah dan mengikut adat resam orang kafir adalah haram dengan tujuan mengikut itu.