FATWA MENGENAI BEBERAPA PERSOALAN HUKUM YANG DIKEMUKAKAN KEPADA JEMAAH ULAMAK MAIK
Kategori : Sosial/Syariah
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 29 April 1993 telah membincangkan mengenai beberapa persoalan hukum Yang Dikemukakan kepada Jemaah Ulamak MAIK telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
Soalan / Keputusan:
Soalan (1) : Benarkah dalam kaedah hukum syarak maksud contempt atau menghina atau mengeji seperti yang terkandung dalam seksyen 73 Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu kelantan 1966 (Enakmen MAIK) itu tidak ada?
Jawapan :Memang ada terdapat kaedah hukum syarak bagi maksud contempt atau menghina atau mengeji seperti yang terkandung di dalam seksyen 73 Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat istiadat melayu Kelantan 1966, sebagaimana Firman Allah Taala dalam surah Al-Hujurat ayat 11dan 12:
يايها الذين امنوا لا يسخر قوم من قوم عسى ان يكونوا خيرا منهم ولانساء من نساء
عسى ان يكن خيرا منهن ولا تلمزوا انفسكم ولاتنابزوا بالالقاب بئس الاسم الفسوق
بعد الايمن ومن لم يتب فاولئك هم الظالمون. يايها الذين امنوا اجتنبوا كثيرا من الظن
ان بعض الظن اثم ولاتجسسوا ولا يغتب بعضكم بعضا ايحب احدكم ان يأكل لحم
اخيه ميتا فكرهتموه واتقوا الله ان الله تواب رحيم.
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-merendahkan puak perempuan yang lain, kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman.
Dan sebagaimana hadis Rasulullah yang diriwayatkan dari Abi Hurairah Radiallahuanhu Rasulullah bersabda:
لم بحسب امرى من الشر ان يحقر اخاه المسلم. كل المسلم على المسلم حرامدمه
وماله وعرضه
Maksudnya:
Cukuplah kejahatan seseorang Islam apabila ia menghina saudaranya yang Islam. Setiap orang Islam adalah haram ke atas seseorang Islam yang lain: Darahnya, hartanya dan kehormatannya.
Soalan (2) :Adakah benar membuat laporan rasmi (laporan polis) kepada pihak yang bertanggungjawab tidak menjadi satu kesalahan jenayah di sisi hukum syarak atau hukum Islam?
Jawapan: Semata-mata membuat laporan rasmi kepada pihak polis tidak menjadi apa-apa kesalahan jenayah, sekiranya laporan itu tidak palsu, tidak menghina seseorang dan tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Soalan (3) :Apakah benar bahawa dari sudut hukum syarak dan hukum Islam membuat laporan kepada polis yang kandungan menghina seseorang pegawai ugama yang sedang menjalankan tugasnya, tidak boleh dianggap sebagai suatu perbuatan yang bertentangan atau bercanggah dengan hukum syarak?
Jawapan: Tidak benar dari sudut hukum syarak dan hukum Islam bahawa membuat laporan kepada polis yang kandungannya menghina atau mengeji seseorang pegawai ugama yang sedang menjalankan tugasnya tidak boleh dianggap sebagai suatu perbuatan yang bertentangan atau bercanggah dengan hukum syarak. Ini berdasarkan hadis dari Abi Hurairah Radiaallahuanhu,
Rasulullah SAW bersabda:
المسلم اخو المسلم، لا يظلمه، لا يخذله ، ولايحقره، التقوى ههنا
Bermaksud:
Seseorang Islam itu ialah saudara seseorang Islam yang lain, oleh itu seseorang Islam tidak boleh menzalimi seseorang Islam yang lain, tidak boleh mengecewakan seseorang Islam yang lain dan tidak boleh menghina seseorang Islam yang lain.Takwa adalah disini.
Soalan (4): Apakah benar dakwaan bahawa percakapan atau perbuatan mengeji, menghina atau mencela terhadap siapa pun (kecuali Allah dan Rasulullah SAW ) tidak termasuk di dalam rukun Islam dan rukun Iman?
Jawapan :Tidak benar dakwaan bahawa percakapan atau perbuatan mengeji, menghina atau mencela terhadap sesiapa pun (kecuali Allah dan Rasulullah s.a.w ) tidak termasuk di dalam rukun Islam dan rukun Iman kerana terdapat dalam rukun Iman percaya kepada kitab Allah itu iaitu Al-Quran dan percaya kepada Rasulullah itu iaitu hadis. Oleh itu menerima ketentuan Al-Quran dan Al-Hadis adalah termasuk dalam rukun Iman.
Soalan (5) :Berkaitan dengan persoalan (4) di atas, tidakkah terdapat apa-apa ayat/ayat dalam Al-Quran yang melarang muslimin dan muslimat mengeji, menghina atau mencela Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan sebagai kepala Agama Islam, Majlis, mana-mana Mahkamah atau pegawai masjid ?
Jawapan: Memang terdapat ayat Al-Quran yang melarang muslimin dan muslimat mengeji, menghina atau mencela Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan sebagai kepala agama Islam,Majlis, mana-mana mahkamah atau pegawai masjid. Sebagaimana mafhum dari firman Allah Taala dalam surah An-nisa’ ayat 59:
يأيها الذين أمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الامر منكم
Bermaksud:
Wahai orang – orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan juga kepada (Ulil Amri) orang- orang yang berkuasa dari kalangan kamu.
Difahamkan dari ayat ini, Allah menyuruh muslimin dan muslimat taat kepada Allah dan Rasulnya dan Ulil Amri. Ini bererti bahawa Allah melarang muslimin dan muslimat mengeji, menghina dan mencela Allah, Rasulullah dan Ulil Amri.
Soalan (6) :Apakah benar dakwaan bahawa kesalahan yang diwujudkan oleh seksyen 73,Enakmen MAIK tidak ada kena mengena dengan kepercayaan pegangan atau amalan umat Islam pada prinsipnya, pada perukunannya atau pengamalan akidahnya?
Jawapan: Tidak benar dakwaan bahawa kesalahan yang diwujudkan oleh seksyen 73, Enakmen Majlis Agama Islam Kelantan tidak ada kena mengena dengan kepercayaan, pegangan atau amalan umat Islam pada prinsipnya, perukunannya atau pengamalan akidahnya kerana menghina dan mengeji dalam seksyen 73 adalah perkara yang dilarang oleh Allah dan Rasulnya sebagaimana ayat Al-Quran dalam surah An-Nisa’ ayat 59 seperti tersebut dalam perkara (5) di atas dan hadis yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah Radiallahuanhu seperti yang tersebut dalam perkara (1) dan perkara (3) dan dimana ianya termasuk dalam rukun Iman.
Soalan (7): Apakah perkara –perkara yang termasuk di dalam “Precept Of Islam “ dalam pengertian Ugama Islam?
Jawapan: Perkara-perkara yang termasuk “Precepts Of Islam” di dalam pengertian Agama Islam adalah seperti berikut:
(1) Mengikut Al-Qamus Al-Asr Iyyahul Ilyas cetakan ketiga Al-Matba’ah Al-Asriyyah – Mesir 1962, perkataan (Precepts) adalah memberi erti dalam bahasa Arab sebagai berikut:
- Fardu (wajib)
-Amru (Suruhan)
-Sunat (Ajaran Rasulullah)
-Wasiat (Menyuruh seseorang membuat sesuatu dan diwajibkan ke atasnya)
- Namus (peraturan)
Huraian- huraian kepada perkataan- perkataan bahasa arab tersebut di atas adalah seperti berikut:
(ا)Mengikut Al-Mu’jam Al-Wasit keluaran Dewan Bahasa dan Arab dicetak dipercetakkan Mesir 1961, memberi pengertian berikut:
- Fardu ertinya perkara yang diwajibkan. Firman Allah dalam surah Al-Qisas ayat 85 dan surah Al-Ahzab ayat 38.
- Amru ertinya sesuatu yang diwajibkan atau yang bermaksud yang diwajibkan ke atasnya atau yang dituntut ke atasnya. Firman Allah Taala dalam surah Hud ayat 44.
* Sunat ertinya At-Tariqah yang bermaksud jalan. Jika jalan itu dari Allah maka itu adalah hukum dan peraturan Allah ke atas makhluknya dan jika jalan itu dari Rasulullah maka itu adalah suruhan dan larangannya.
* Wasiat ertinya menyuruh seseorang membuat sesuatu dan diwajibkan ke atasnya.
* Namus ertinya undang-undang atau syariat ( Law or Islamic Law)
(ب)Mengikut المورد – منيربعلبك percetakan دار العلم للملايل بيروت 1971. Precepts adalah memberi erti sebagai berikut:
- Mubda’u (مبدأ ) (prinsip, kaedah suluk)
- Wasiat
- Amru
Berdasarkan kepada pengertian-pengertian yang diberi di atas jelaslah bahawa perkataan itu memberi pengertian yang lebih luas daripada rukun iman dan rukun Islam. Oleh itu jika sekiranya pengertian (Percepts) itu diertikan dengan rukun sahaja pun sudah pun termasuk kesalahan-kesalahan seperti mengeji, menghina dan seumpamanya.
(2) Berbalik kepada penjelasan (contempt) jelas sekali ianya wajib dicegah dari dilakukan ke atas seseorang Islam, kerana ia merupakan suatu kesalahan jenayah Islamiyyah sebagaimana dijelaskan oleh Sayid Sabiq di dalam kitabnya Feqah Sunnah muka surat 472 jilid 11 cetakan ketiga 1981 dipercetakan Darul fikri, Beirut. Di antara penjelasan yang diberikan oleh Sayid Sabiq dalam kitab tersebut mengenai jenayah dalam Islam ialah setiap perbuatan yang diharam,dilarang dan ditegah oleh hukum syarak dari melakukannya, dimana ianya boleh mendatangkan mudharat ke atas agama, nyawa, akal fikiran, kehormatan atau harta benda.