ms Malay en English
A- A A+

FATWA TAHUN 2017

 

FATWA MENGENAI AMALAN PERBOMOHAN IBRAHIM BIN MAT ZAIN

(Kertas Mesyuarat Jamaah Ulama’ Bil: 7/1/2017)

 

Kategori: Akidah

 

Mesyuarat Jamaah Ulama’ Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang  pada13 Zulkaedah 1438 Hijriah  bersamaan 6 Ogos 2017 Bil: 2/2017  telah membincangkan isu berkaitan dengan Fatwa Mengenai Amalan Perbomohan Ibrahim Bin Mat Zain.

 

Huraian ;

 

  1. Pihak JAKIM memohon semua Jawatankuasa Fatwa Negeri di Malaysia, mengeluarkan fatwa tentang amalan perbomohan Ibrahim Bin Mat Zain kerana isu perbomohan beliau semakin popular mutaakhir ini. Antara Aktiviti  perbomohan beliau yang popular ialah :

 

1.1. Teragedi kehilangan pesawat Mas MH370:

  1. Beliau telah melakukan upacara perbomohan di KLIA.
  2. Beliau turut melakukan upacara perbomohan  dipulau Sembilan, Bagan Datok Perak.

 

1.2. Kemalangan yang melibatkan mendiang Yang Berhormat Karpal        Singh (bekas Adun Bukit Gelugor).Beliau melakukan aktiviti perbomohan di lokasi kemalangan di Kilometer 301.6 Lebuhraya Plus berhampiran Gua Tempurung.

 

1.3. Pilihan raya kecil Teluk Intan.

Beliau membuat ramalan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Teluk Intan pada hari penamaan calon iaitu pada 31 Mei 2014.

 

            1.4. Bola sepak piala dunia 2014.

 Beliau meramalkan kemenangan pasukan Brazil ke atas Croatia      dengan jaringan 3-1 pada 12 Jun 2014.

 

1.5. Upacara memagar Malaysia daripada serangan Nuklear Korea Utara.

Berikutan dengan konflik yang berlaku di antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Korea Utara baru-baru ini, Raja bomoh telah melakukan satu upacara ditepi sebuah pantai untuk menyelamatkan atau memagar Malaysia daripada serangan Nuklear kerajaan Korea Utara serta untuk melembutkan hati para pemimpin Korea Utara.

 

Dalam upacara itu Raja Bomoh telah menggunakan buluh kecil yang dijadikan teropong, dua biji kelapa, sejadah, semangkuk air laut, dan lima buah meriam buluh. Beliau menjelaskan bahawa upacara tersebut adalah upacara memagar Malaysia diudara, bumi dan air.

 

Beliau turut mendengar bahawa seramai lima juta pengikut akan mengadakan solat hajat dan bacaan yaasin selama 44 hari bagi tujuan tersebut.

 

  1. Fatwa mengenai penyelewengan amalan perbomohan beliau perlu dikeluarkan supaya ia tidak dapat mempengaruhi orang ramai.

 

Keputusan :

 

  1. Setelah membincangkan perkara ini mesyuarat bersetuju memfatwakan seperti berikut :

                       

                        “ Bahawa upacara dan amalan perbomohan yang dilakukan oleh Ibrahim Bin Mat Zain atau raja bomoh Ibrahim Mat Zain yang mengamalkan objek–objek tertentu seperti sangkar burung Cenderawasih, tebu salak hitam, bubu, teropong buloh kuning, air telah buta, air belaga simpang tiga atau tanpa menggunakan apa-apa objek, samada untuk tujuan perubatan, perbomohan atau selainnya, adalah berunsurkan syirik dan khurafat dan berlawanan dengan hukum syarak dan haram.

 

Oleh yang demikian, mana-mana orang Islam atau kumpulan orang Islam dilarang:

 

i.)            Menganut, mengamal, menjadi ahli,  menjadi pengikut, mengisytiharkan diri sebagai pengikut atau

 

ii.)           Memiliki, menyimpan, mencetak, menerbit, memuat naik, memuat turun, menjual, mengedar atau mengunakan apa-apa terbitan, risalah, majalah, buku, media sosial, dokumen, rakaman audio, filem  atau:

 

iii.)          Mengajar, menyebar, mengedit, membantu, menganjur, mempromosi fahaman dan ajaran, menghadiri apa-apa upacara yang dikaitkan dengan ajaran tersebut atau menyokong apa-apa aktiviti perbomohan samada secara langsung atau tidak langsung.

 

Mana-mana orang Islam di negeri Kelantan yang mengingkari fatwa ini adalah melakukan suatu  kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di negeri Kelantan.

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan