ms Malay en English
A- A A+

Fatwa  5. 

 

Status Penwartaan : Warta

Tarikh Diwartakan  : 03hb. Julai 1986

Bertarikh Pada        : 5hb Jun 1986

No. Rujukan            : [MUI. (Kn.) 43/78/Bhg. 2.]

Akta/Enakmen        :Jil 39. No. 255

 

Kategori:         Akidah

 

Soalan  :         FATWA MENGENAI AJARAN SALAH ( HAJI AHMAD LAKSAMANA, HASAN BIN YAACUB DAN MOHAMAD NOR BIN SEMAN)

 

 

Undang-Undang Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1966

(Enakmen Bil : 2 Tahun 1966) Pemberitahu Di Bawah Seksyen 14(3)

 

            Pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberi oleh seksyen 14 (3) Undang-Undang Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1966, Majlis menerusi Jumaah Ulama’ menetapkan Fatwa sebagaimana berikut:

 

(a)   Setelah mengkaji isu buku “ Tajalli ” dan “ Hakikat Insan” karangan Haji Ahmad Laksamana, pita rakaman ceramah atau pengajaran serta lain-lain butir-butir upacara keugamaan yang mempunyai hubungan rapat dengannya, maka didapati jelas bertentangan dengan dasar akidah dan hukum-hukum Islam kerana mengandungi kata-kata syirik, sesat, khurafat, kata-kata carut dan mereka-reka perkara yang bukan dari ajaran sebenar Ugama Islam, dengan yang demikian Jumaah Ulama’ bersetuju memfatwakan bahawa Haji Ahmad Laksamana Bin Omar menganuti dan menyebar ajaran salah.

 

(b)   Setelah mengkaji teks daripada pita rakaman percakapan seseorang yang digelar Hassan Anak Rimau atau Hassan Bin Yaakub dengan Pegawai Penguasa Penjara  yang mengandungi butir-butir ajaran dan akidahnya dan didapati menyentuh ketuhanan Allah, Kerasulan Nabi Muhammad (s.a.w) dan kesucian Al-Quranulkarim, maka dengan itu bersetuju memfatwakan bahawa ajarannya adalah menyeleweng yang boleh membawa kepada kufur. Jumaah Ulama’ juga kuat berpendapat bahawa Hassan Anak Rimau adalah seorang penganut dan penyebar ajaran salah. Jumaah Ulama’ yang telah menghalusi amalan zikir Hassan Anak Rimau dan didapati ianya ada hubungan rapat dengan konsep ajaran dan akidahnya, maka dengan ini memfatwakan bahawa amalan zikir berkenaan adalah salah.

 

      ( c )            Setelah mengkaji isi Ajaran Muhammad Nor Bin Seman yang dikenali dengan

             gelaran Mat Nor Kua Supa, Machang, Kelantan, berdasarkan penyelidikan yang di

             jalan oleh pihak Majlis, maka Jumaah Ulama’ memfatwakan bahawa ajaran dan

            akidahnya itu berlawanan dengan dasar akidah serta ajaran sebenar Ugama   

            Islam, memandangkan amalan zikirnya mempunyai kaitan rapat dengan konsep

            ajarannya maka amalan tersebut juga adalah salah.

 

Fatwa-fatwa tersebut hendaklah tertakluk kepada semua orang Islam yang tinggal di dalam Negeri selain daripada orang-orang Islam yang bukan Bangsa Melayu yang tertakluk kepada undang-undang diri selain daripada yang terdapat di Kelantan.

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan