ms Malay en English
A- A A+

FATWA 16.

 

Tarikh Keputusan     :  21hb. Disember 2006

Status Penwartaan   : Warta

Tarikh Diwartakan    : 05hb. Julai 2007

No. Rujukan               : Kn. P.U. 18.

Akta/Enakmen          : Jil .60. No 14

 

Kategori          : Akidah

 

Soalan             :FATWA MENGENAI AJARAN KUMPULAN ABDULLAH BIN MOHAMMAD SYARIF, TAL TUJUH PASIR MAS 

 

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh seksyen 36 dan 39 Enakmen  Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menerusi Jamaah Ulama’ yang bersidang pada 30 Zulkaedah 1427H bersamaan 21hb Disember 2006 dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia  Al-Sultan Kelantan membuat Fatwa seperti yang dinyatakan dalam jadual :

 

JADUAL

 

1.Mesyuarat Jamaah Ulama’ Majlis Agama Ialam Dan Adat istiadat Melayu Kelantan telah bersetuju dan memutuskan bahawa ajaran Kumpulan Abdullah Bin Mohammad Syarif Tal Tujuh, Pasir Mas adalah ajaran yang meragukan daripada ajaran Islam. Ciri-ciri ajaran yang meragukan dalam ajaran tersebut adalah dari segi:-

 

a)      Aspek Akidah-

 

(i)                 Abdullah bin Mohammad Syarif mengaku dan mendakwa mendapat “ Ilmu Laduni ” iaitu ilmu terus daripada Allah.

 

(ii)        Abdullah bin Mohammad Syarif tidak menafikan dakwaan pengikutnya bahawa dia seorang yang mempunyai kasyaf.

                       

(iii)             Abdullah bin Mohammad Syarif sentiasa membuat keputusan hanya berdasarkan kepada mimpi-mimpinya. Dia mendakwa boleh menta’birkan segala mimpi dengan tepat.

 

b)      Aspek Syariah-

 

(i)                 Mendakwa mengerjakan ibadat haji tidak wajib dan mengamalkan seperti yang ditetapkan dalam Islam sekarang ini adalah tidak sah.

 

(ii)               Pengikut tidak dibenarkan berkahwin selain daripada pengikutnya sahaja. Pengikut-pengikut yang  hendak berkahwin mestilah mendapat kebenaran ketuanya ( Abdullah) terlebih dahulu.

 

c)      Aspek Umum-

 

(i)                 Ibu bapa yang tidak merestui penglibatan anaknya dengan kumpulan ini, akan terputuslah hubungan kekeluargaan antara mereka.

 

(ii)               Ahli-ahli yang keluar daripada kumpulan ini dianggap telah ‘murtad rohaniah’.

 

(iii)             Setiap arahan pemimpin yang dikeluarkan haruslah dipatuhi. Kegagalan mematuhi setiap arahan dianggap sebagai pengkhianat kepada kumpulannya dan ianya hendaklah diperangi atau dipulaukan.

 

(iv)              Sesiapa menentangnya (Abdullah) halal darahnya dan perlu diperangi.

 

(v)                Penuntut tidak dibenarkan menuntut ilmu dengan guru lain tanpa kebenaran ( Abdullah).

 

(vi)              Pengikut Kumpulan ini berkeyakinan suatu hari nanti, kumpulan mereka akan memerintah dunia dan dapat menguasai segala harta kekayaan yang ada.

 

(vii)            Ketuanya (Abdullah) menanam kefahaman kepada pengikut agar mengutamakan cara kehidupan kesufian dan mengabaikan hal-hal keduniaan  seperti urusan ekonomi, politik dan sosial. Dunia dianggap perkara yang melalaikan yang menjauhkan seseorang daripada mengigati Allah. Kumpulan ini juga menganggap kehidupan di dunia hari ini penuh dengan kezaliman dan kemaksiatan. Oleh itu mereka perlu mengasingkan diri daripada masyarakat dan membina kehidupan dalam kumpulan mereka sahaja, iaitu hanya menitikberatkan soal-soal keakhiratan semata-mata.

 

  1. Berdasarkan kepada ajaran-ajaran yang meragukan daripada ajaran Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1(a), (b) dan (c) Mesyuarat Jamaah Ulama’ Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan telah membuat fatwa seperti berikut:

 

Bahawa ajaran kumpulan Abdullah Bin Mohammad Syarif, Tal Tujuh, Pasir Mas adalah ajaran yang meragukan daripada ajaran Islam dan umat Islam hendaklah menjauhi daripada terlibat dengan ajaran tersebut.

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan