FATWA HUKUM WAKAF BAGI TANAH BERTARAF “ HAK MILIK TERHAD”
Kategori : Sosial Syariah (Wakaf)
Isu dan masalah :
Mesyuarat dimaklumkan bahawa perkara ini dibawa dalam perbincangan mesyuarat,
Keputusan :
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2005 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan pada 31 Julai 2005 telah membincangkan Fatwa Hukum Wakaf Bagi Tanah Bertaraf “Hak Milik Terhad” dan telah bersetuju membuat keputusan seperti berikut:
1. Tanah-tanah wakaf yang diletakan di bawah kenaziran atau kawalan majlis adalah diiktiraf sebagai wakaf muabbad (kekal) samada tanah-tanah tersebut bertaraf “Hak milik kekal” (freehold) atau “Hak milik terhad”. ( leasehold)
2. Tanah-tanah wakaf yang bertaraf “Hak Milik Terhad” (leasehold) adalah terkecuali dari Akta Kanun Tanah Negara Tahun 1965 kerana ianya melibatkan Hukum Syara’ dan telah diberi kekecualian dalam seksyen 4(2) akta berkenaan: “Kekecualian setakat mana yang diperuntukan dengan nyata sebaliknya, tiada apa juga dalam akta ini boleh menyentuh peruntukan – (e) mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa mengenai wakaf atau baitulmal”.
3. Mesyuarat juga menasihatkan majlis untuk membuat pindaan kepada Enakmen Majlis Bil. 4, Tahun 1994 seksyen 61 hingga 66 berkaitan dengan wakaf dan nazar khususnya yang berkaitan dengan tanah wakaf agar selaras dengan Akta Kanun Tanah Negara yang memperuntukan bahawa Kerajaan Negeri boleh memberi pemilikan tanah (leasehold) secara kekal jika pihak berkuasa negeri berpuas hati tanah itu digunakan untuk kepentingan awam seperti seksyen 76(aa) Kanun Tanah Negara. Dengan itu semua tanah wakaf yang bertaraf “Hak Milik Terhad” (leasehold) boleh bertukar menjadi “Hak Milik Kekal” (freehold) kerana wakaf itu sendiri adalah untuk kepentingan awam.
DALIL DAN PENSYARIATAN :
1) Firman Allah s.w.t:
"لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون وما تنفقوا من شيء فان الله به عليم".
2.) Hadis Riwayat Bukhari:
عن ابن عمر رضي الله عنهما: ان عمر بن الخطاب اصاب أرضا بخيبر، فأتى النبي صلى الله عليه وسلم يستأمره فيها فقال: يا رسول الله، اني أصبت أرضا بخيبر لم أصب ما لا قط أنفس عندي منه، فما تأمر به؟ قال: ان شئت
حبست أصلها وتصدقت بها.قال: فتصدق بها عمر أنه لايباع ولا يورث. وتصدق بها في الفقراء وفي القرب وفي سبيل الله وابن السبيل والضيف، ولا جناح على من وليها أن يأكل منها بالمعروف ويطعم غير متمول. قال: فحدثني به
ابن سيرين فقال: (غير متأثل مالا)
PENDAPAT ULAMAK
v Kebanyakan fuqaha berpendapat setiap setiap wakaf mesti kekal. As-syafie dalam mazhabnya menyatakan bahawa kekal adalah syarat mutlak tidak boleh dikaitkan dengan had masa kerana harta wakaf adalah dikhususkan untuk kerabat dan tidak akan mendapat pahala sekiranya ada had masa. Dengan sebab itu tidak sah sekiranya wakaf dihadkan masa. Pandangan di atas telah menghasilkan dua pendapat:
1. Sekiranya dihadkan masa wakaf, batal ibadat wakaf kerana wakaf bertujuan mendapat pahala berterusan.
2. Sah wakaf, boleh tasrif dan memberi pinjam atau hutang harta wakaf kerana menggalakkan orang ramai mengamalkan wakaf. Wakaf akan mendapat ganjaran yang berkekalan.
v Kumpulan ulamak yang berpegang dengan wakaf mesti kekal ialah kerana dalam Hadis Umar r.a menyebut al-hibsu (tahan) dengan maksud kekal. As-Syaukani mengatakan bahawa الدار القطن dalam riwayat al-Baihaqi menafsirkan hadis tersebut dengan “ tahan selama kekalnya langit dan bumi”.
v Menurut al-Zuhaili syarat pertama pada zat dan lafaz wakaf ialah التأبيد. Jumhur fuqaha kecuali al-Malikiah berpendapat tidak sah wakaf yang ada tempoh masa, kerana wakaf ialah mengeluarkan harta untuk tujuan mendekati Allah (قربة), tidak boleh tentukan masa, tidak boleh elak daripada maksud (التأبيد) tidak perlu lagi dinyatakan dalam lafaz.
v Sifat dan ciri kekal adalah menjadi prinsip dan konsep undang-undang wakaf. Syarak menegah wakaf ditarik balik atau dibatalkan kerana harta wakaf adalah dianggap kembali menjadi hak Allah. Pewakaf sudah tidak ada sebarang hubungan lagi dengan harta wakaf. Penerima wakaf hanya boleh menerima manfaat harta berkenaan, tidak boleh melakukan sebarang pelupusan hak milik.
v Bahkan Hanafi juga mensyaratkan التأبيد pada wakaf harta عقار (tidak alih) kerana wakaf adalah untuk mengambil manfaat dengan harta berkenaan atas tujuan kekal.
v Dalam syarat lafaz wakaf menghendaki supaya tidak disebut tempoh kerana bertentangan konsep wakaf yang bermaksud kekal. Maka sebarang tempoh mesti dikeluarkan. Sungguhpun begitu ulamak telah membuat pengecualian sekiranya diadakan tempoh pada lafaz wakaf masjid, kubur, tempat perhimpunan, tempat laluan orang ramai dan seumpamanya. Sah wakaf kerana penggunaannya adalah kekal, menepati pensyariatan wakaf, dengan itu gugur had masa. Kedudukan tanah hak milik terhad berlaku had masa dalam syarat الطرف pemilikan bukan dalam lafaz.
v Faktor kelainan pandangan bagi wakaf selain masjid adalah dipengaruhi oleh fahaman Abu Hanifah bahawa pemilikan wakaf berada di tangan orang yang mewakafkan kerana baginya wakaf dipengaruhi unsur ariah atau pinjaman yang membolehkan pewakaf mengambil semula. Bagi imam Malik walaupun pemilikan berada di tangan pewakaf, namun kuasa transaksi wakaf sangat terikut dengan prinsip undang-undang wakaf.
v Pandangan yang membolehkan harta tanah wakaf bertempoh, iaitu apabila tamat tempoh, harta tersebut akan kembali menjadi hak milik pewakaf sekiranya masih hidup, seandainya pewakaf telah meninggal dunia harta tersebut akan kembali menjadi hak milik ahli waris pewakaf. Keadaan ini berlainan dengan pentadbiran wakaf di Malaysia kerana undang-undang di Negara ini telah menetapkan wakaf dalam ketegori berkenaan dikembalikan kepada kerajaan negeri bukan kepada pihak-pihak yang memerlukan.
v Kedudukan harta tanah wakaf bertaraf hak milik boleh diperbaharui semula, tetapi terdapat beberapa prosedur yang perlu dilakukan. Antaranya ialah perlu membayar premium dan lain-lain bayaran kepada pihak berkuasa negeri. Lebih malang lagi pampasan terhadap pengembalian balik hak milik tidak diberi melainkan peruntukan berhubung dengannya dibuat dalam dokumen hak milik tanah berkenaan. Keadaan ini mengakibatkan “tragic loss” kepada tanah wakaf yang terlibat.
Tarikh keputusan : 31 Julai 2005