ms Malay en English
A- A A+

FATWA BERHUBUNG TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN OLEH  WARIS  SI ISTERI  YANG  MENINGGAL DUNIA

 

Kategori  :  Munakahat

  

Keputusan  :

 

Mesyuarat Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2002 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan  pada 18 Ogos 2002 telah membincangkan isu Fatwa Berhubung Tuntutan Harta Sepencarian Oleh Waris Si Isteri Yang Meninggal Dunia dan telah bersetuju  menfatwakan  seperti berikut  :

 

  1. Tuntutan harta sepencarian oleh pihak yang masih hidup seperti isteri yang menuntut harta sepencarian suaminya adalah diharuskan samada tuntutan itu kerana perceraian hidup atau perceraian mati.

 

  1. Tuntutan harta sepencarian oleh waris si mati seperti anak-anak atau waris si isteri yang meninggal dunia yang menuntut harta sepencarian daripada suami si mati adalah diharuskan samada tuntutan itu kerana perceraian hidup atau perceraian mati.

 

  1. Kadar tuntutan harta sepencarian yang layak dituntut oleh pihak yang masih hidup atau waris si mati adalah bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.

 

Dalil dan hujah:

Fatwa ini dikeluarkan berdasarkan beberapa fakta seperti berikut:

 

  1. Kitab Bughyah al-Mustarsyidin karangan ‘alawi, halaman 159.

 

اختلط مال الزوجين ولم يعلم لأيهما اكثر ولا قرينة  تميز أحدهما وحصلت بينهما فرقة او موت لم يصح لأحدهما ولا والاثة تصرف في شيء منه قبل التمييز أو الصلح الا مع صاحبه اذ لا مرجح كما قالوا فيما لو اختلط حمامهما وحينئذ فان أمكن معرفتهما والا وقف والأمر حتى يصملح الزوجان أو ورثتهما بلفظ صلح او تواهب بتساو أو تفاوت ان كان كاملين ويجب ان لا ينقص عن النصف في المحجور نعم إن جرت العادة المطردة بأن أحدهما يكسب أكثر من الاخر كان الصلح والتواهب على نحو ذلك فان لم يتفق على شيء من ذلك فمن بيده شيء من المال فالقول قوله بيمينه أنه ملكه فان كان بيدهما فلكل تحليف الاخر ثم يقسم نصفين.

 

Telah bercampur atas suami dan isteri dan tidak diketahui harta siapa yang lebih banyak dan tiada tanda-tanda yang dapat membezakan harta salah seorangnya kemudian berlaku perpisahan antara keduanya atau mati maka tidak salah seorang dari mereka (suami isteri) atau warisnya menggunakan sesuatu dari harta itu sebelum dapat dibezakan ataupun sebelum dapat dibuat perdamaian (Al-sulh) kecuali bersama-sama pemiliknya sebab tidak ada tanda yang membezakan seperti mereka berkata (masalah ini sama seperti) jika bercampur burung merpati keduanya (suami isteri) ketika itu bolehlah digunakan jika dapat diketahui atau dibezakan kedua-duanya. Akan tetapi jika tidak diketahui dan tidak dapat dibezakan maka hendaklah ditangguhkan sehingga suami isteri atau waris keduanya berdamai dengan melafazkan pendamaian ataupun menyerah yakni hebah dengan sama banyak atau lebih kurang. Jika waris-waris orang yang sempurna (bukan mahjur alaiah) wajib supaya jangan terkurang pembahagiaannya dari setengah bagi orang yang mahjur (orang yang tidak dibenarkan tadbir urus harta) tapi jika berlaku kebiasaan yang tetap bahawa salah seorang dari suami isteri mendapat pendapatan yang lebih banyak dari yang seorang lagi maka perdamaian (sulh) dan penyerahan hebah adalah berdasarkan lebih kurang. Jika mereka tidak bersetuju sesuatupun dari yang demikian itu maka pihak yang memiliki sesuatu harta diterima cakapnya melalui bersumpah bahawa harta itu miliknya. Tetapi jika harta itu dimiliki keduanya dan masing-masing memegang harta maka masing-masing bolehlah meminta pihak yang lain bersumpah kemudian harta itu dibahagi dua.

  1. Kitabbul Fatwa al-Fathoni karangan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zin bin Mustofa Al-Fathoni, cetakan Fathoni Paris halaman1,6.

Soal: Masalah sesetengah daripada beberapa adat negeri-negeri yang dibawa angin bahawasanya apabila mati seseorang dua laki dan isteri dibahagikan harta peninggalannya dua bahagi maka ditolakkan kepada satu seorang yang hidup itu satu bahagi dan yang tinggal lagi itu dibahagikan antara segala waris yang setengah daripada mereka itu salah seorang yang tersebut dan sebab demikian itu bahawasanya berusaha pada ghalibnya oleh dua laki bini itu bersama-sama maka adakah betul perbuatan itu atau tiada. افتونا مأجورين

Jawab: الجواب الليم هداية للواب. Jika adalah harta tarakah itu bersekutu padanya oleh dua laki isteri ia bersamaan kadarnya dengan yakin maka dibahagikan sebagai bahagian yang tersebut itu adalah membahagikan itu sebenar adapun jika tiada diketahui bersekutunya dan jikalau sama-sama bekerja yang mendapatkan harta itu sekalipun tiada pekerjaan khidmat seperti bertanak dan membasuh dan menjahit kain suaminya tetapi tiada diketahuikan bersamaan bersekutu seperti tiada diyakinkan bahawasanya bekerja itu sama banyak kadarnya atau tiada maka dibahagikan dua ketiadaan redha meredha segala waris pada kadar yang lebih kurang nescaya tiada sah membahagi sebagai bahagi yang tersebut dan tiada harus menolak itu. Maka jika redha meredha daripada mereka itu nescaya sah tetapi disyaratkan pada sah redha meredha bahawa tiada ada di dalam mereka itu orang yang tiada diiktibarkan redhanya seperti kanak-kanak dan si gila dan orang yang dihalang ke atasnya maka jika ada di dalam waris sah itu mereka itu nescaya tiada sah.

  1. Pendapat Sayid Sabiq dalam kitab Fiqh Sunnah, jilid kedua keluaran Darul fikr, halaman 174 dibawah tajuk:خدمة المرأة زوجها   dengan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 228:

 

ولهن مثل الذي عليهن بالمعروف وللرجال عليهن درجة

 

Maksudnya: Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajiban yang ditanggung oleh mereka terhadap suami dengan cara yang sepatutnya yakni sebagaimana seseorang isteri dilaksanakan dengan cara yang baik. Dalam pada itu suami mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya yang memberi hak kepada perempuan sama dengan lelaki.

 

Dan seterusnya Sayid Sabiq menjelaskan:

 

والاساس الذي وضعه الاسلام للتعامل بين الزوجين وتنظيم الحياة بينهما هو اساس فطري وطبيعي فالرجال اقدر على العمل والكدح والكسب خارج المنزل والمرأة اقدر على تدبير المنزل وتربية الأولاد وتيسير أسباب الراحة البيتية وتكلف المرأة هو من طبيعتها وبهذا ينتظم البيت من ناحية الداخل والخارج دون أن يجد أي واحد من الزوجين سببا من أسباب انقسام البيت على نفسه.

 

Yang bermaksud: Dasar yang ditetapkan oleh Islam dalam mengatur dan menguruskan kehidupan suami isteri adalah merupakan suatu dasar yang sesuai dengan fitrah dan tabiat semulajadi manusia itu sendiri maka yang lelaki lebih menumpukan kepada pekerjaan dan perusahaan di luar rumah, manakala perempuan lebih layak menjalankan pekerjaan di dalam rumah seperti mengurus rumahtangga, mendidik anak-anak, menyediakan segala kemudahan bagi menjadikan suasana dalam rumah tenang dan tenteram.

Maka sebab itu ditugaskan kepada lelaki kerja yang sesuai baginya, begitu juga ditugaskan kepada perempuan dan dengan itu barulah rumahtangga berjalan dengan baik di dalam dan di luar rumah tanpa menjejaskan mana-mana pihak. Selanjutnya Sayid Sabiq membawa contoh hukuman Rasullah (SAW) di antara saidina Ali R.A wa karamallahu annhu dengan isterinya Fatimah bertugas atau menjalankan pekerjaan di rumah, manakala Ali berusaha dan bekerja di luar rumah.  

 

  1. Dari segi adatnya, kedua-dua pihak suami dan isteri mempunyai peranan dan usaha bagi memperolehi harta. Maka, kedua-dua pihak hendaklah diberi dan disempurnakan dalam menentukan kadar dan bahagiannya bergantung kepada pertimbangan hakaf.

 

  1. Bagi tuntutan oleh waris si mati, mereka berhak menuntut harta sepencarian sebagai  harta pesaka berdasarkan hadis Rasullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Daud lafaznya:

 

عن المقدام رضى الله عنه قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم: من ترك كلا فالي ومن ترك مالا فلورثته، وأنا وارث من لا وارث له اعقل عنه وارثه.                                               

 

Dan sesiapa mati yang meninggalkan tanggungan yang miskin dan lemah serta tidak berkemampuan maka Akulah yang menolong mereka, dan sesiapa yang mati meninggalkan harta maka hartanya tersebut menjadi milik warisnya dan aku adalah pewaris bagi sesiapa yang tidak ada waris baginya, aku mengambil dan mewarisi daripadanya.

 

 Tarikh Keputusan : 18 Ogos 2002.

 

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan