ms Malay en English
A- A A+

FATWA BERHUBUNG P.A. (SURAT WAKIL KUASA) DAN  WAKAF

 

Kategori :  Sosial Syariah (Wakaf)

 

Isu Dan Masalah  :

 

Mesyuarat membincangkan masalah ini berdasarkan permohonan daripada pihak pentadbir Majlis Agama Islam Kelantan yang memohon fatwa daripada Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan berhubung kedudukan tanah wakaf di Lot 290 dan 291 Seksyen 4 bandar Kota Bharu yang berada di bawah kawalan Majlis Agama Islam Kelantan. Tanah ini telah diwakafkan secara P.A. (surat wakil kuasa) oleh Dato’ Haji Wan Hassan bin Abd. Halim iaitu pemegang P.A. kepada Tanah Wakaf tersebut yang berada di bawah nama anaknya yang bernama Nik Rahmat bin Wan Hassan.

 

Pihak pengurusan Majlis Agama Islam Kelantan memohon fatwa daripada Jemaah Ulama’ Majlis untuk menentukan kesahihan wakaf yang dilakukan oleh seorang bapa (Dato’ Wan Hassan) terhadap tanah milik anaknya (Nik Rahmat) melalui P.A. (surat wakil kuasa) kerana Nik Rahmat telah mempertikaikan kesahihan wakaf bapanya dengan alasan beliau tidak memberi keizinan kepada bapanya untuk tujuan tersebut dan perbuatan bapanya itu bercanggah dengan syarat-syarat yang terkandung dalam P.A. tersebut.

 

Keputusan  :

 

Mesyuarat Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2006 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan pada 31 Januari 2006  telah membincangkan isu Fatwa berhubung P.A. (Surat Wakil Kuasa)  Dan  Wakaf   dan telah bersetuju  membuat keputusan  seperti  berikut :

 

Bahawa seseorang bapa harus dan masih ada hak untuk menarik balik sebarang harta yang dihibahkan kepada anaknya samada melalui lafaz atau perbuatan seperti menjual, menggadai dan menghibah kepada orang lain selagi harta tersebut masih berada di bawah milik mutlak anaknya dan harta tersebut masih belum hilang dari kuasa anaknya seperti telah dijual, digadai atau di hibah kepada orang lain.

 

Adapun P.A. (surat wakil kuasa) yang diberikan oleh Nik Rahmat bin Wan Hasan (anak) kepada Dato’ Wan Hasan bin Abdul Halim (bapa)  tidak menjadi halangan kepada Dato’ Wan Hasan bin Abdul Halim iaitu pemilik asal kepada tanah di Lot 290 dan 291, Seksyen 4, Bandar Kota Bharu untuk menarik balik tanah yang dihibahkan kepada anaknya (Nik Rahmat bin Wan Hasan) secara perbuatan dengan mewakafkan tanah tersebut.

 

Oleh itu, pewakaf yang dilakukan oleh Dato’ Wan Hasan bin Abdul Halim ke atas tanah di Lot 290 dan 291, Seksyen 4, Bandar Kota Bharu yang berada di bawah kawalan Majlis Agama Islam Kelantan  adalah sah di sisi hukum syara’.

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan