ms Malay en English
A- A A+

CADANGAN PENUBUHAN PANCARAGAM (BRASSBAND) MAJLIS PERBANDARAN KOTA BHARU

 

Kategori    :  Sosial /Syariah

 

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 22 Disember 1996 telah membincangkan mengenai Cadangan Penubuhan Pancaragam (Brassband) Majlis Perbandaran Kota Bharu (Kertas Bil.3/2/96) dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

               

Setelah berbincang dengan mendalam dengan berpandukan nas-nas yang menyentuh masalah tersebut, serta mengambil kira suasana dan kepentingan terhadap pasukan pancaragam (Brassband) dalam urusan-urusan tertentu, mesyuarat bersetuju memfatwakan :

 

( ا )         Bahawa tiada halangan di segi syarak tentang cadangan penubuhan pasukan (Brassband) jika konsep dan pelaksanaan tidak berlawanan dengan hukum syarak.

 

( ب )       Ada pun penggunaan alat muzik maka apa yang telah disepakati اتفاق))di kalangan ulama’ yang muktabar tentang alat-alat tersebut adalah menjadi asas sandaran kepada keputusan ini sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Ulama’ kali yang ke 3/95 yang diadakan pada 2 Rejab 1417 bersamaan 25 November 1995 mengenai masalah yang sama.  Sandaran tersebut berasaskan nas yang dipetik dari kitab Al-Fiqhul Islami Wa Adillatuh juzu’ 3, oleh Wahbah Az-Zuhaili, halaman 574 yang berbunyi :

 

 

وأما الالآت : فيحرم في المشهور من المذاهب الأربعة ( الحنفية والمالكية والشافعية والحنابلة )استعمال الالآت التي تطرب كالعود والطنبور والمعزفة والطبل والمزمار والرباب وغيرها من ضرب الأوتار والنايات والمزامير كلها.  فمن أدام استماعها، ردت شهادته، لقوله (ص) :(( ليكونن من أمتي أقوام يستحلون الخمروالخنازيروالخز والمعازف )) وفي لفظ : (( ليشربن ناس من أمتي الخمر يسمونها بغير اسمها، يعزف على رؤوسهم بالمعازف والمغنيات، يخسف الله بهم الأرض، ويجعل منهم القردة والخنازير)).

 

 

 

Maksudnya :

 

Adapun alat-alat (muzik): maka menurut pendapat yang masyhur dari empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) haram menggunakan alat-alat hiburan seperti gambus, biola, gitar, drum, serunai, rebab dan lain-lain dari semua jenis alatbertali, seruling dan juga serunai. Barang siapa yang selalu mendengarnya gugurlah hak kesaksiannya. Sabda Rasulullah (SAW) bermaksud : Akan terjadi di kalangan umatku golongan yang berseronok dengan arak, daging babi, pakaian sutera dan muzik.

 

Menurut lafaz lain pula (Sesungguhnya akan ada di kalangan umatku mereka yang meminum arak di mana mereka memanggilnya dengan suatu nama lain, tergantung dari bahagian atas kepala mereka irama muzik, lalu Allah menenggelam mereka ke dalam bumi serta menjadikan sebahagian mereka kera dan babi).

 

( ج )       Walau bagaimanapun, di mana terhadap beberapa pendapat lain yang mengharuskan penggunaan alat-alat muzik yang lazim digunakan.  Pendapat-pendapat  tersebut dipetik dari kitab Fatawa al – Muasarah  (فتاوي المعاصرة)juzu’ kedua, oleh Doktor Yusuf Qardhawi berbunyi :

 

وحكى الروياني عن القفال أن مذهب مالك بن أنس إباحة الغناء بالمعروف، وحكى الأستاذ أبو منصور والفوراتي عن مالك جواز العود،وذكر أبوطالب المكى فى قوت القلوب عن شعبة أنه سمع طيورا في بيت المنهال بن عمروأعمدت المشهور.

 

وحكى أبوالفضل بن طاهر في مؤلفة في السماع أنه لا خلاف بين أهل المدينة في إباحة العود.

 

قال ابن النجوى في العمدة : ( وقال ابن طاهر : هو إجماع اهل المدينة.  قال ابن طاهر: وإليه ذهبت الظاهرية قاطبة.  قال الأدفوى : لم يختلف النقلة في نسبة الضرب إلى إبراهيم بن سعد المتقدم الذكر وهو ممن أخرج له الجماعة كلهم.

 

وحكى الماوددي إباحة العود عن بعض الشافعية،وحكاه أبو الفضل بن طاهر عن أبي إسحاق الشيرازي، وحكاه السنوى في بعض المهمات عن الرويانى والماوردى، ورواه ابن النحوى عن الأستاذ أبي منصور وحكاه ابن الملقن في العمدة عن ابى ابن طاهر، وحكاه الأدفوى عن الشيخ عزالدين بن عبد السلام، وحكاه صاحب الامتاع عن أبى بكر بن العربى وجزم الإباحة الأدفوى.

 

Berdasarkan nas dan pendapat-pendapat yang tersebut di atas, maka terserahlah mana-mana pihak atau individu untuk membuat penentuan berhubung dengan penggunaan muzik bagi maksud yang tersebut di atas.

 

Huraian:

 

Mesyuarat membincang masalah tersebut yang di atas dari semua aspek berdasarkan kertas cadangan yang dikemukakan oleh Pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu bagi mendapat fatwa Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan.

 

Mesyuarat ditarik perhatian bahawa masalah seumpama ini pernah difatwakan dalam mesyuarat Jemaah Ulama’ yang bersidang pada mesyuarat kali yang ke -3/95.

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan