ms Malay en English
A- A A+

FATWA TAHUN 2015

 

CADANGAN PANDANGAN/ KEPUTUSAN HUKUM DALAM ISU-ISU BERKENAAN TRAGEDI MH370

(Kertas Mesyuarat Jemaah Ulama Bil: 5/2/2015)

 

Kategori :Sosial Syariah

 

Keputusan:

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 06 Disember 2015 Masihi Bersamaan 24 Safar 1437 Hijriah telah membincangkan  isu mengenai Cadangan Pandangan/ Keputusan Hukum Dalam Isu-Isu Berkenaan Tragedi MH370.

 

Mesyuarat bersetuju merumuskan persoalan hukum dalam isu-isu berkaitan tragedi MH370 seperti berikut :

 

Pertama:    Penumpang MH370 telah meninggal dunia

 

-          Ini berdasarkan keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan secara rasmi

-          Ini selepas usaha pencarian yang berterusan sudah melebihi setahun

-          Kenyataan daripada pakar penerbangan.

-          Perintah melalui penyiasatan kemalangan udara UK (AAIB) telah menunjukkan data satelit yang ia telah  berakhir di Lautan Hindi.

 

Kedua : Bila tarikh kematian ?

Walaupun perkara ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama’ tetapi dengan mengambil kira pendapat ahli khubrah setelah pencarian setahun, maka ia boleh dianggap kematian selepas diumumkan pada 29 Januari 2015 secara rasminya. Antara alasannya ialah :

-          Berdasarkan Mazhab Maliki dan Hambali dimana keputusan kematian diserahkan kepada pemerintah

-          Keputusan hakim atau kerajaan adalah sebagai pemutus dan penyelesaian.

-          Dalam semua Mazhab kematian bagi mafqud perlu diberi tempoh yang tertentu. Justeru sekurang-kurangnya selepas setahun pencarian maka wajarlah diisytiharkan sebagai  meninggal dunia.

 

Ketiga : Pengisytiharan kematian hendaklah dibuat oleh mahkamah  mengikut pengisytiharan dan pendapat ulama’ iaitu diberi tempoh tertentu seperti setahun selepas pencarian.

Keempat : Keputusan berdasarkan pengisytiharan kematian pada hari berlakunya insiden kehilangan iaitu pada 8 mac 2014 tidak dianggap kematian tetapi sebagai pemakluman sahaja dan juga pemberitahuan kehilangan.

Kelima : Wajar melakukan solat jenazah ghaib dengan mengambil kira sebahagian daripada pendapat ulama’.

Keenam :Hak pewarisnya berjalan mengikut keputusan mahkamah syariah.

Ketujuh : Tempoh iddah bolehlah dikira dan penentuan berdasarkan keputusan mahkamah syariah.

Kelapan : Anak-anak mereka diangggap sebagai yatim jika belum baligh.

Kesembilan : Natijah daripada keputusan kerajaan ini yang memberi maksud  bahawa para penumpang pesawat MH370 telah meninggal dunia, ia diharap akan meringankan penderitaan dan menyelesaikan kemelut yang tertangguh dalam melayari kehidupan yang mendatang terhadap keluarga mangsa dan waris mereka.

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan