Skip to main content

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang Pada 31 Disember 1988 telah membincangkan Mengenai Masalah Pertubuhan Al-Arqam Dan Majalah-Majalah Terbitannya dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut: 

Huraian:

 Untuk memahami persoalan dan kedudukan Arqam di sisi syariah Islam terkandung di dalam kitabnya sendiri iaitu buku Aurad Muhammadiah iaitu merupakan rekod pegangan jemaah Al-Arqam itu sendiri.

Kitab karangan ustaz Taha Suhaimi, Singapura “Mengapa Saya Keluar Al-Arqam” telah dijadikan rujukan.

Selain itu kitab mu’tabar yang boleh digunakan untuk mengetahui persoalan yang timbul ialah kitab hadis Al-Mushkilah, Abu Daud, Ibnu Majah, Muslim.

Kitab Al-Mukhtasar Fil Mahdi Al-Muntazir juga boleh dijadikan rujukan. Beberapa maklumat tentang Al-Arqam yang menimbulkan persoalan dari segi ajaran Islam, antaranya ialah seperti berikut:

1- Mengenai bacaan Asyhadu Allaa ilaaha Illallah Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah, Abu Bakar As-siddiq, Umar Al-Faruq, Uthman Birru Rahim, Ali ‘Iddu Din, Muhammad Al-Mahdi khulafa’ Rasulullah, dikehendaki dibaca 10 kali.

2- Di dalam kitab Aurad Muhammadiah ada menyatakan bahawa kepercayaan kepada Imam Mahdi bukan merupakan perkara akidah.

3- Kepercayaan bahawa Syeikh Suhaimi yang disebut oleh As-Syaari akan menjadi Imam Mahdi.

4- Kedatangan Imam Mahdi yang dinantikan oleh pelajar tidak muncul-muncul ini menimbulkan syak yang sesuatu itu tidak boleh dipercayai. Pelajar tersebut menghantar surat ke Malaysia memberitahu pihak berkenaan.

5- Kepercayaan bahawa Syeikh Suhaimi yang disebut oleh As-Syaari akan menjadi Imam Mahdi.

Ada beberapa perkara yang timbul daripada perbincangan ini:

      1- Bahawa Al-Arqam percaya seseorang yang telah mati itu adalah Mahdi yang dijanjikan zahir akhir zaman.

      2- Bahawa masalah Mahdi adalah bukan perkara akidah.

      3- Bahawa perkara siapa Mahdi itu perkara ijtihad.

      4- Bahawa jemaah Al-Arqam sedang menanti kemunculan orang itu sebagai Mahdi.

      5- Bahawa Al-Arqam mahu supaya pegangan ini tersebar di kalangan orang-orang Islam dan mereka semua bersedia                  untuk menyambut kedatangannya.

     6- Dan sebagai tambahan boleh disebutkan bahawa mengikut pihak penyiasatan polis ancaman jemaah Al-Arqam                        terhadap keselamatan negara adalah terlalu membimbangkan.

Peristiwa yang berlaku di New Zealand baru-baru ini menunjukkan bahawa amalan di dalam jemaah ini gangguan dari alam jin.

Keputusan:

 A- Bahawa buku yang bertajuk:

(a) “ Aurad Muhammadiah pegangan Darul Arqam sekaligus menjawab tuduhan “ yang ditulis oleh ustaz Haji Ashaari Muhammad, dan

(b)“ Manaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Bin Abdullah As-Suhaimi” yang ditulis oleh Muhammad Taha As-Suhaimi, adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan akidah dan Syariah Islamiah serta boleh mengelirukan dan menyesatkan masyarakat Islam.

B- Bahawa Kumpulan Darul Arqam atau Al-Arqam, iaitu suatu kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku bertajuk:

(a) “Aurad Muhammadiah pegangan Darul Arqam sekaligus menjawab tuduhan” dan

(b) “Manaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Bin Abdullah As-Suhaimi”. Adalah suatu kumpulan yang sesat dan bertentangan dengan akidah dan Syariah Islamiah serta boleh mengelirukan dan menyesatkan masyarakat Islam.

C- Oleh yang demikian:

(a) Percetakan, penerbitan, pemilikan, penyiaran, penyebaran atau pengedaran buku “ Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan “ Munaqib (riwayat hidup) Muhammad Bin Abdullah As-Suhaimi” termasuk :

    (i) Apa-apa bentuk, versi atau variasinya

    (ii)Apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa

   (iii) Apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana- mana buku itu, pada atau atas apa-apa              bahan samada bahan cetak atau elektronik atau melalui apa-apa media adalah haram.

(b) Pengajaran, pembelajaran, pengalaman dan penyebaran ajaran-ajaran atau fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan “Munaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Bin Abdullah As-Suhaimi” adalah haram.

(c) Kumpulan Darul Arqam atau Al-Arqam itu atau mana-mana kumpulan lain atau orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku “ Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan “ Munaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Bin Abdullah As-Suhaimi” adalah haram.

(d)  Adalah haram bagi orang Islam:

     (i) Menjadi anggota atau memimpin kumpulan Darul Arqam atau Al- Arqam atau mana-mana kumpulan lain yang                      disebut dalam (c);

     (ii) Membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian. 

  • Hits: 1945

FATWA 12.

 

Tarikh Keputusan   : 23hb. September 2001

Status Penwartaan : Warta

Tarikh Diwartakan  : 28hb Mac 2002

No. Rujukan             :  Jil 55. No 27

Akta/ Enakmen       :

 

Kategori          : Sosial/Syariah

 

Soalan             : FATWA MENGENAI MASALAH PERPECAHAN ORANG MELAYU ISLAM

 

 

Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 36 dan 39 Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menerusi Jamaah Ulama’ yang bersidang pada 5 Rajab 1422H bersamaan 23hb. September 2001M dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku  Al-Sultan membuat Fatwa yang berikut :

 

(a)Soalan:        Penggunaan nama atau yang dikaitkan dengan Islam  dalam  nama sesuatu pertubuhan boleh mengelirukan orang Islam akan nama Islam dan ajarannya?

 

Jawapan :        Tiada halangan untuk menggunakan perkataan Islam oleh mana-mana pertubuhan malah digalakkan dengan disiplin ilmu, iman dan ihsan. Mana-mana orang atau pertubuhan yang menggunakan perkataan Islam untuk tujuan mengelirukan dan menyeleweng adalah salah dan boleh diambil tindakan berdasarkan  peruntukan undang-undang yang sedia ada.

 

(b)Soalan:        Penambahan syarat kepada pengiktirafan seseorang sebagai seorang Islam ?

 

 Jawapan:        Seseorang itu sudah diiktiraf  sebagai seorang Islam jika menepati rukun iman dan rukun Islam. Dari itu adalah salah dan tidak berhak bagi mana-mana pihak menambah apa-apa rukun dan menentukan keislaman seseorang itu. Fahaman sedemikian adalah salah di sisi Islam. Oleh itu, sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru, menyebar dan lain-lain cara sebaran akan fahaman tersebut, maka  perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebar  ajaran salah atau menyeleweng.

 

(c)Soalan:        Dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada pihak tertentu diperlukan sebelum seseorang Islam itu dilayakkan ke syurga dan kenyataan bahawa orang-orang tertentu akan ditempatkan di neraka?

 

Jawapan:         Ketentuan syurga atau neraka  adalah hak Allah Ta’ala. Dari itu dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang atau pertubuhan tertentu diperlukan sebelum seseorang dilayakkan ke syurga atau ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam. Oleh itu, sesiapa yang mengamal,mengajar menyeru, menyebar dan lain-lain cara sebaran akan fahaman tersebut, maka perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebar ajaran salah dan menyeleweng.

  • Hits: 773

Fatwa 3.

 

Tarikh Keputusan       : 14hb September 1963.

Status Penwartaan     : Warta

Tarikh Diwartakan      : 19hb Disember 1963.

Nombor Rujukan        : ( LAK. 1/Pt 11: M.U.574/63)

Akta/Enakmen            :  Vol. XX1. No. 299

 

 

Kategori  :  Sosial Syariah

 

Soalan       :  Fatwa Mengenai Orang Islam Yang Berikat Dengan Orang  Kafir Serta

                   Berunding Dan Bermuafakat Pada Memerintah Sesebuah Negara

                   

Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

 

Bismillahirrahmanirrahim

 

Adalah Jawatankuasa Ulama’ Majlis, telah diminta oleh Majlis Agama Islam Kelantan supaya memberi “Fatwa”dari segi Ugama Islam dalam masalah: Apakah hukumnya orang-orang Islam yang berikat dengan orang-orang kafir serta berunding, bermesyuarat dan bermuafakat pada memerintah sesebuah Negara, iaitu adakah orang-orang Islam itu menjadi “kafir” ataupun “tidak kafir?

 

                                             Fatwanya

 

Alhamdulillah, Wassolatu Wassalam Ala Rasullullah, Wa Ala Alihi Wa ashabihi Waman Walah

 

Bahawasanya kemudian daripada menyelidik, menyemak dan mengkaji akan nas-nas yang berkenaan setakat yang dijumpai dari kandungan kitab-kitab Tafsir dan lainnya yang muktabar adalah hukum atau fatwa dalam masalah atau pertanyaan yang tersebut di atas itu bagaimana di bawah ini:-

 

“Tidak jadi kafir,jikalau orang-orang Islam berikat dengan orang-orang kafir seperti yang tersebut di dalam pertanyaan itu sekiranya tidak beserta dengan rasa rela atau setuju (redha) dengan kekafirannya. Sebaliknya jikalau berserta dengan rasa rela atau setuju (redha) dengan kekafirannya maka jadi kafir, tetapi bagaimana pun adalah haram kecuali ketika terpaksa yang tak dapat dielakkan (dharurat)”.

 

                                              Catitan

 

(1) Bersetuju juga dicatitkan sebagai keputusan, bahawa nas-nas yang termaktub di dalam Tafsir Sowi itu sama sahaja maksud dan tujuannya dengan nas-nas yang didapati di dalam lain-lain kitab tafsir seperti Iklil, Khazan dan sebagainya.

 

(2) Fatwa bagaimana yang ditetapkan di atas ini adalah dengan semata-mata memandang kepada nas-nas yang didapati dari kandungan berbagi-bagai kitab tafsir dan lainnya yang muktabar tanpa menoleh kepada lain-lain sudut, yakni sewaktu menyemak dan mengkaji nas-nas itu tidaklah menujukan pandagan kearah mana-mana negara, samaada pada segi masyarakat penduduk-penduduk, undang-undang perlembagaan atau keadaan siasah Negara itu atau sebagiannya.

 

[Fatwa ini dikeluarkan menurut kuasa dibawah bab 42 [2] daripada undang-undang  Negeri Kelantan nombor 1 tahun 1953, bagi pihak dan dengan nama Majlis, pada 3.9.1963]

  • Hits: 1378

FATWA 4

 

Tarikh Keputusan

:

25 Mei 2014

Status Penwartaan

:

Warta Kerajaan

Tarikh Diwartakan

:

26 Mac 2015

No. Rujukan

:

[PU.KN. 1/G/31(30)]

Akta/Enakmen        

:

 

 

 

 

Kategori

:

Sosial Syariah

 

Soalan

:

Fatwa Tentang Hukum menghisap Rokok Dan Shisha Dari Pandangan Islam

 

Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 36 dan seksyen 39 Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 ( Bil .4 tahun 1994), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan  menerusi Jamaah Ulama yang bersidang pada 25 Rejab 1435 Hijrah Bersamaan 25 Mei 2014 dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V membuat fatwa seperti berikut :

  1. Bahawa merokok dan menghisap shisha adalah haram pada pandangan Islam.

 

  1. Fatwa ini dibuat berdasarkan hujah - hujah berikut :

 

.           Islam menyuruh agar setiap seseorang itu mengambil yang baik lagi berkhasiat untuk keperluan diri, keluarga dan sebagainya. Rokok dan Shisha tidak termasuk dalam kategori di atas bahkan ia termasuk dalam dalam kategori  “ الخبائث    “ iaitu benda kotor dan jijik kerana pengambilan kedua-dua benda ini boleh membawa kemudharatan kepada penghisap rokok dan shisha serta orang lain di sekitarnya . Perkara ini telah diakuai oleh pakar-pakar perubatan berdasarkan kajian mereka.

Firman Allah Taala :

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Ertinya ; dihalalkan kepada mereka benda –benda yang baik dan diharamkan kepada mereka benda-benda yang kotor

(Surah Al-A’ raf: Ayat 157)

2.1                          .           Islam melarang umatnya membiarkan diri sendiri dan orang lain terdedah dengan berbagai bahaya dan kemudaratan. Menghisap rokok dan shisha adalah termasuk dalam kategori membinasakan diri sendiri dan orang lain sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Pandangan pakar-pakar perubatan tentang bahaya asap rokok dan shisha kepada penghisap rokok dan orang lain di sekitarnya adalah bukti jelas tentang kemudaratannya.

 

 

Firman Allah Ta’ala:

وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ 

Ertinya: Dan belanjalah harta benda di jalan Allah dan jangan kamu sengaja mencampak diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

                                                            (Surah Al-Baqarah:Ayat 195)

 

Sabda Rasulullah S.A.W:

لا ضرر ولا ضرار

 

Maksudnya: Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan memudaratkan orang lain                                                                       

                                                                 (Hadis riwayat Ahmad)

 

 

2.3.      Membelanjakan wang terhadap perkara-perkara yang tidak mendatangkan kebaikan dan manfaat amatlah ditegah dalam Islam . Perbuatan sedemikian boleh mendatangkan keburukan dan membawa kepada pembaziran harta, masa dan tenaga.  Menghisap rokok dan shisha termasuk dalam kategori ini. Islam melarang setiap pembaziran seperti firman Alllah :

 

 

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا

 Ertinya :  Dan janganlah Engkau berbelanjakan hartamu Dengan    sangat boros .

                                                                                                                                                            ( Surah Al.isra’ : Ayat 26)

 

2.4.       Terdapat kaedah Fiqh yang menegaskan pengambilan sesuatu yang memudaratkan adalah dilarang.

كل ما يضر فاكله او شربه حرام

Ertinya : Setiap yang memudaratkan, maka hukum yang memakannya  atau meminumnya adalah haram.

                           Rokok dan shisha diharamkan memandangkan ia mempunyai keburukan yang besar berdasarkan kepada kenyataan pakar-pakar perubatan.

  • Hits: 5555

Fatwa  2.

 

Tarikh keputusan        :29hb Oktober,1960

Status Penwartaan     : Warta

Tarikh Diwartakan      : 24hb November 1960

No Rujukan                  : (M.U.I Bil. 60/291).

Akta/Enakmen             : Vol. X111. No. 239

 

 

Kategori  :  Sosial Syariah

 

Soalan      :  FATWA MENGENAI PUJA PANTAI “ DI PANTAI CINTA BERAHI”

       

Rang Persiaran “ Fatwa Jawatankuasa Ulama’ “ Dalam Warta Kerajaan Undang-Undang Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu  Dan Mahkamah-Mahkamah Kadhi No 1 Tahun 1953

( Persiaran dibawah bab 42 (4) daripada undang-undang nombor 1/53)

 

Bahawa mengikut bab 43(3) daripada Undang-Undang Majlis Agama Islam Dan Istiadat Melayu dan Mahkamah-Mahkamah Kadhi Nombor 1 tahun 1953, Majlis Agama Islam Dan Istiadat Melayu Kelantan menetapkan supaya di siarkan Fatwa bagaimana di bawah ini:

 

Soalan:

Apakah hukumnya terhadap puja pantai “Di Pantai Cinta Berahi” bagaimana cara-cara dan istiadat-istiadat memuja itu ada terkandung di dalam Majalah Mestika keluaran bulan Jun,1960 di muka 16-19?

 

Jawapan:

Istiadat puja pantai seperti yang dilakukan bagaimana yang diceritakan di dalam Majalah Mestika keluaran bulan Jun, 1960, itu hukumnya adalah haram dan perbuatan meminta perlindungan daripada hantu-hantu, puaka-puaka, jin atau sebagainya itu adalah perbuatan sesat yang mana dengan perbuatan yang seperti itu jin-jin, puaka dan hantu syaitan itu menjadikan mereka bertambah-tambah sesat lagi, seperti Firman Tuhan di dalam Al-Quran ayat 6 surah Al-Jin, yang bererti “ Sesunggunya ada lelaki daripada bangsa Manusia, mereka meminta perlindungan dari lelaki bangsa Jin, maka dengan sebab perbuatan yang seperti itulah jin-jin itu menjadikan bertambah-tambah sesat”.

  • Hits: 1290
Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan