Ahad - Khamis: 8:00 - 17:00
Jumaat-Sabtu Tutup
(+609) 7482023/ 74822024/ 7482025
Telefon
(+609) 747 8170
Faksimili

FATWA PENGHARAMAN AJARAN AZHAR BIN WAHAB (PENGASAS AL-MANSUR HOLDING SDN. BHD.)

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

 

FATWA PENGHARAMAN AJARAN AZHAR BIN WAHAB

       (PENGASAS AL-MANSUR HOLDING SDN. BHD.)

 

Kategori  :  Akidah

 

 Keputusan :

 

Mesyuarat Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2004 di Bilik Mesyuarat Tingkat Tiga Majlis Agama Islam Kelantan  pada 4 Julai 2004 telah membincangkan isu Fatwa Pengharaman Ajaran Azhar Bin Wahab (Pengasas Al-Mansur Holding Sdn. Bhd.) dan telah bersetuju menfatwakan seperti berikut  :

 

1.  Ajaran Azhar bin Wahab didapati bertentangan dengan fahaman Akidah Ahli Sunnah Waljamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.

 

2.  Bahawa mana-mana kumpulan atau orang perseorangan yang berpegang dan mengamalkan ajaran Azhar Bin Wahab dianggap menyalahi hukum syara’ dan wajib bertaubat.

 

3.   Fatwa ini dikeluarkan bertujuan untuk membendung ajaran Azhar bin Wahab di negeri ini dan selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan serta fatwa daripada lain-lain negeri.

 

 HURAIAN :

 

CIRI-CIRI AJARAN AZHAR BIN WAHAB

 

DARI SEGI AKIDAH

 

- Mengaku mengamalkan Aurad Muhammadiah (pengakuan semasa perjumpaan Ketua Pengarah JAKIM pada 15 November 2002).

 

- Menggunakan Tawassul iaitu berdoa sebelum melakukan urut refleksi dengan berkata “Ya Allah dengan berkat dan karamah Guruku Tuan Azhar, sembuhkanlah penyakit pulan si pulan….

 

- Mengadakan kuliah tertutup untuk ahli dan kakitangan serta didampingi oleh Pak Syeikh atau wali Allah. Azhar bin Wahab mendakwa rohnya berada di Gunung Jerai bersama Wali Songo dan Nabi Khaidir sedang tubuhnya berad di Damansara.

 

- Berbaiah akan mengikut segala arahan guru dan merahsiakannya dari orang ramai sesiapa yang belot atau keluar hidupnya tidak selamat.

 

- Memakan ais sebagai satu syarat mendapatkan karamah dari guru. Memakan ais ini symbol kepada amalan pertapaan bagi mendapat ilmu pembomohan.

 

-   Mempunyai bala tentera dan kapal terbang ghaib.

 

- Mempunyai masjid jin di Kampung Jerai di samping mengaku selalu bermesyuarat dengan golongan jin di gunung-gunung tertentu seperti Gunung Santubung di Sarawak.

 

- Mengetahui pergerakan orang yang mengintip setiap aktivitinya

 

- Mempunyai pengawal dari golongan jin.

 

-Menangis dihadapan ahli-ahli dan kakitangan kerana mendakwa nampak dan tahu kesalahan agama yang pernah dibuat oleh pengikutnya.

 

- Percaya dengan khurafat seperti:

   1. Semasa perarakan untuk melantik beliau sebagai Naib Khalifah Seni Silat mempertahankan diri Al Mansur, seekor gajah telah menarik tangannya. Beliau amat percaya dengan telahan di kalangan ahli perarakan bahawa gajah tersebut meminta beliau menaiki belakangnya kerana beliau berketurunan raja.

   2.Tabib dan tabibah diarah menggunakan keris untuk mengubat dan mempercayai keris tersebut ada penunggu.

   3. Menggunakan setanggi untuk diasapkan di setiap Pusat Rawatan sebelum memulakan perniagaan urut refleksi di samping memberi salam kepada Rasulullah s.a.w, Nabi Khaidir dan Azhar sendiri. Amalan ini dilakukan setiap hari sebelum memulakan atau membuka perniagaan.

 

 2. DARI SEGI SYARIAT

 

   - Mana-mana ahli yang melakukan kesalahan , jika dapat dikesan oleh Azhar maka ahli berkenaan akan dikenakan dam samada dalam bentuk wang atau harta benda.

 

   - Solat waktu sentiasa dijamakkan.

  

   - Menyampaikan perjuangan agama seperti yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w dan mendakwa penubuhan syarikatnya juga adalah seperti yang pernah dibuat oleh Rasulullah s.a.w iaitu berniaga untuk mengembangkan Islam.

  

    - Apa sahaja yang di buat oleh Azhar bin Wahab adalah benar belaka dan tidak boleh dipertikaikan segala keputusan dan arahannya.

 

    - Azhar bin Wahab selalu tidak sembahyang jumaat.

 

  3. DARI SEGI AKHLAK

  

    - Memulakan ucapan dengan bersumpah memegang  AL-Quran. Ini di lakukan oleh Azhar bin Wahab dan pengikut kanannya Hj. Ilyas bin Hj Yusuf (di majlis pertemuan dengan Ketua Pengarah pada 15 November 2002 lalu)

   

     -  Boleh memberi Barakah dan Syafa’at kepada anak muridnya

    

     - Ada keberkatan kerana boleh menarik duit para pelanggan dan mereka akan mengeluarkan sebanyak mana waang yang mereka ada.

 

     - Memberitahu pengikutnya bahawa dirinya boleh di lihat manusia sebagai pakaian biasa tetapi sebenarnya beliau berjubah serba putih, berserban, bermisai dan berjanggut seperti Wali Allah.

 

     - Boleh kemana-mana dengan serat merta termasuk ke China dan Mekah.

    

     - Mengugut ahli agar jangan derhaka kepadanya nanti tidak mendapat karamah

 

     - Mewajibkan ahli agar tidak bercampur-gaul dengan masyarakat.

 

UNSUR-UNSUR PENYELEWENGAN AJARAN AZHAR BIN MANSOR. (HUJAH DAN ULASAN)

 

 DARI SEGI AKIDAH

 

1.1 Tahdhir Arwah

 

      Azhar mengamalkan konsep ini dengan mendakwa beliau didampingi pak syeikh dan  rohnya bersama Wali Songo.

 

Ulasan:

 

Mengikut Syeikh Muhammad Mutawalli Asy-Sya’rawi dalam kitabnya Fatawa muka surat 230-231 bermaksud:

 

Konsep tahdhir arwah adalah diharamkan oleh syara’ Syeikh Mutawali Syaarawi ketika ditanya mengenai Tahdhir Arwah dan berubat dengan menggunakan roh, beliau berkata: “Apakah yang boleh memberitahu kepada mereka bahawa yang hadir itu adalah roh? Adakah mereka mengenali roh sehingga apabila ia datang mereka boleh berkata inilah roh yang kami kenal.Yang mungkin mereka kata ialah: Sesungguhnya mereka menghadirkan kekuatan yang tersembunyi tetapi bukan roh. Itu semua tidak dapat diterima dan orang yang berkata sesungguhnya ia menghadirkan roh mengikut Quran, maka orang itu adalah pembohong dan penipu…yang mereka hadirkan itu adalah jin. 

 

1.2 Aurad Muhammadiah

 

Azhar Bin Wahab juga mengaku mengamalkan Aurad Muhammad dan mendakwa sebagai lakonan dengan tujuan menarik bekas-bekas pengikut Al-Arqam. Oleh itu sama ada ia bermaksud sebagai lakonan namun ianya tetap tidak dibolehkan syarak.

 

Ulasan:

 

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang diadakan pada 5 Ogos 1994, telah mengharamkan Aurad Muhammadiah yang diamalkan oleh Al-Arqam. Pada masa sama turut diwartakan juga oleh selurah negeri-negeri.

 

1.3 Menggunakan Tawassul

 

Azhar bin Wahab telah mengangkat dirinya sendiri sebagai seorang yang hebat, seolah-oleh ia tergolong sebagai wali dan orang-orang soleh. Oleh itu beliau meminta supaya pengikutnya menggunakan dirinya sebagai Tawassul kepada Allah. Banyak bukti yang mendapati bahawa beliau sendiri sering melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syara’ seperti meninggalkan sembahyang jumaat, memakai seluar pendek, berbohong kepada pengikut serta mendakwa perkara yang bukan-bukan dan bertentangan dengan syara’.

 

Ulasan:

 

Bertawassul dengan zat atau peribadi seseorang samada Rasul, Nabi atau wali, adalah di antara cara bertawassul yang tidak disyariat kerana tidak pernah diperintahkan oleh Allah atau pun sampaikan oleh Rasulnya.Ini berdasarkan Firman Allah s.W.T dalam surah az-Zumar, ayat 3 bermaksud: 

 

“ Ingatlah(hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bauan yang suci bersih (dari segala rupa syirik) dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadikan pemimpin dan penolong(sambil berkata): “ kami tidak menyembah atau memujakan melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya . Sesungguhnya Allah akan menghukum diantara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisih paadanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orng yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan) lagi entiasa kufur(dengan melakukan syirik)

 

 1.4 Berbai’ah

 

Setiap ahli baru dikehendaki berbai’ah terlebih dahulu dan tempatnya tidak ditentukan. Mungkin di rumah, di pejabat atau di mana-mana sahaja yang dirasakan sesuai. Bai’ah pula tidak terikat kepada kaedah tertentu.

Jika seorang atau dua ahli, cara memegang tangan akan digunakan sekiranya ramai, kain akan digunakan untuk melingkungi mereka dengan tujuan dapat dipegang oleh semua, seolah-olah dalam bulatan. Upacara ini diketui samada oleh Hj.Ilias atau Ustaz Hanapi dengan diperhatikan oleh Azhar bin Wahab. Semasa berbai’ah para ahli akan diminta melafazkan ayat-ayat berikut iaitu: ‘ Saya(…nama…) dengan jamaah dibawah pimpinan Sayyidi Sheikh Syed Muhammad dan berjanji akan taat setia tidak berbelah bagi…..

Majlis berbaia’h yang diadakan akan diketui oleh Ustaz Hanapi atau Hj Illias yang dilantik sebagai ketua majlis dengan memegang sebilah keris kecil. Antara bacaan yang perlu dibaca ialah:

              

    1. Al Fatihah
    2. Membaca: لقد جاءكم.....الى آخر 
    3. Membaca:  لا اله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين
    4. Selawat keatas nabi
    5. Membaca:  سبحان الله والحمد لله ولا اله الا الله والله اكبر
    6. Membaca:   استغفر الله العظيم            sebanyak 3 kali

   Keris kecil 4 inci akan digunakan dalam pengijazahan. Di samping itu ahli diminta memakan ais sebanyak sekilo seorang dan diminta berjanji membuat penyerahan nyawa secara total, harta dan apa sahaja yang ada kepada Azhar bin Wahab.

 

1.5  Khurafat

 

Beberapa amalan dalam Ajaran Azhar bin Wahab adalah mengandungi  unsure-unsur Bid’ah dan khurafat seperti menangis di hadapan ahli-ahli dan kakitangan kerana mendakwa nampak dan tahu kesalahan agama yang pernah dibuat oleh mereka, mengaitkan memakan ais sebagai syarat karamah, dan menggunakan keris untuk mengubat dan mempercayai keris tersebut ada penunggu.

 

2. DARI SEGI SYARIAT

 

Dam

             

Dam hanyalah berlaku semasa mengerjakan haji sahaja. Ini seolah-olah telah mereka-reka syariat baru iaitu membayar dam disebabkan satu kesalahan.

  

Solat Jamak

    

Solat jamak hanya boleh dilakukan dalam keadaan tertentu sahaja seperti musafir dengan niat ibadat. Ianya merupakan rukhsah khusus dalam keadaan tertentu sahaja. Amalan Solat Jamak secara berterusan ini adalah merupakan amalan orang-orang Syiah.

 

3. DARI SEGI AKHLAK

 

Memberi Barakah dan Syafa’at

 

Barakah hanya boleh di beri oleh Allah S.W.T sahaja, bukan manusia. Azhar menunjukkan ia membesarkan dirinya dan mengagungkannya hingga ke tahap dia boleh memberi berkat. Ini bertentangan dengan roh Islam, sedangkan sahabat dan ulama’ terdahulu, tidak pernah mendakwa sedemikian. Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Baqarah ayat 255 bermaksud:

 

“ Allah, tiada Tuhan(yang berhak di sembah) melainkan Dia, yang tetap hidup yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekelian makhluknya) yang tidak mengantuk usahkan tidur, yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izinnya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka. Dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakinya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

 

1.      BERSUMPAH DENGAN AL-QURAN

 

Semasa bertemu dengan Yang Berbahagia Datuk Ketua Pengarah JAKIM, Azhar bin Wahab telah bersumpah dengan nama Allah sambil memegang al-Quran walaupun tidak diminta berbuat demikian. Lazimnya bersumpah sebelum diminta seolah-olah menunjukkkan bahawa dia merasakan dirinya tidak boleh dipercayai lalu berbuat demikian. Bersumpah dengan memegang atau mengangkat al-Quran adalah bida’ah dan perlu dijauhi atau diperbetulkan. Lagipun dalam kes ‘Li’an’ sahaja boleh berbuat demikian. Ini seolah-olah mempermainkan al-Quran.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

logo-kecik-2.png
SYARIAT DI JUNJUNG

Jabatan Mufti Negeri Kelantan

Kompleks Islam Darulnaim,
Jalan Sultan Yahya Petra,15200, Kota Bharu, Kelantan

T (+609) 7482023/ 74822024/ 7482025
F (+609) 747 8170

Web: www.mufti.kelantan.gov.my
Email: jabmufti@kelantan.gov.my

PENSIJILAN

MPC 2015/2016
MPC 2015/2016
ANUGERAH KECEMERLANGAN PENGURUSAN KEWANGAN BERDASARKAN AKAUNTABILITI TAHUN 2016
ANUGERAH KECEMERLANGAN PENGURUSAN KEWANGAN BERDASARKAN AKAUNTABILITI TAHUN 2016
PENAFIAN
Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

 

Laman web ini serasi dengan menggunakan pelayar IE, Safari, Chrome, Firefox dengan beresolusi 1366 x 768 adalah yang paling baik.

 

© Copyright 2019 Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Kelantan. All Rights Reserved. Maklumat dalam portal ini telah dikemaskinikan pada : Khamis 16 April 2019, 08:00:29.

Search