PERBINCANGAN MENGENAI  PINDAAN AKTA PENJAGAAN BUDAK   1961 DAN AKTA IBU

 

Kategori   :  Sosial/Syariah

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali ke 1/2001 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Pejabat Majlis Agama Islam Kelantan pada 23 September 2001 telah membincangkan isu Perbincangan Mengenai Pindaan Akta Penjagaan Budak 1961 Dan Akta Ibu dan telah bersetuju  memutuskan seperti berikut  :

 

1. Pindaan Akta Penjagaan Budak 1961 dan Akta Ibu adalah tidak boleh diterima pakai oleh orang-orang Islam di Negeri Kelantan atas alasan - alasan  berikut :

 

(i) Tidak selaras dengan hukum syara’ kerana mengikut hukum syarak, dari segi hak penjagaan kanak-kanak, ibu telah diberi hak keutamaan berbanding dengan bapa selagi kanak-kanak belum mencapai had umur yang mampu bagi mereka mengurus diri mereka sendiri dan selagi ibu masih berkelayakan, kemudian diikuti lain-lain urutan kerabat. Begitu juga dengan hak penjagaan harta yang mana hukum Syara’ memberi hak kepada bapa untuk mengurus harta kanak-kanak bawah umur diikuti oleh datuk yang  sahih seterusnya orang-orang yang diwasiatkan. Manakala akta ini memberi hak yang sama kepada ibu dan bapa.

 

(ii) Tidak selari dengan Enakmen Keluarga Islam Kelantan 1983, di mana enakmen ini telah memperuntukan secara jelas urutan kerabat atau orang lain sebagai penjaga. Manakala akta ini memberi hak yang sama kepada ibu dan bapa.

 

2. Bagi tujuan pemakaian akta ini kepada orang bukan Islam, sekiranya kelulusan Badan Perundangan Negeri diperlukan untuk melaksanakan akta ini di Negeri Kelantan, mesyuarat bersetuju supaya satu perjumpaan antara S.S Mufti Kerajaan Kelantan dan Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri diadakan untuk memastikan orang Islam tidak terlibat dalam peruntukan akta ini.

 

3. Mesyuarat bersetuju penjelasan secara bertulis mengenai masalah di atas dihantar kepada Yang Berhormat Penasihat Undang- Undang Negeri .

HUKUM MEMINDAHKAN MAYAT KE TAPAK PERKUBURAN BARU KERANA DHARURAT

 

Kategori   :   Sosial/Syariah

 

Keputusan :

 

Mesyuarat Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali ke 1/2001 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Pejabat Majlis Agama Islam Kelantan pada 23 September 2001 telah membincangkan isu Hukum Memindahkan Mayat Ketapak Perkuburan Yang Baru dan telah bersetuju  memutuskan   seperti berikut  :

 

Perpindahan mayat dari tanah perkuburan kerana dharurat adalah diharuskan. Fatwa  yang dikeluarkan pada tahun 1996 mengenai masalah seumpama ini adalah terpakai.

 

FATWA 15.

 

Tarikh keputusan    : 15hb. Januari 2006

Status Penwartaan : Warta

Tarikh Diwartakan  : 20hb. Julai 2006

No. Rujukan             : No.15 (Kn.P.U. 20)

Akta/Enakmen         : 

 

Kategori   :  Sosial / Syariah

Soalan       : FATWA MENGENAI PEWAKAFAN TANAH DI LOT 290 DAN 291  SEKSYEN A  BANDAR  KOTA BHARU OLEH DATO' WAN  HASAN BIN ABDUL HALIM MELALUI P.A. (SURAT WAKIL KUASA) OLEH NIK RAHMAT BIN WAN HASSAN 

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh seksyen 36 dan 39 Enakmen  MajlisAgama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menerusi Jemaah Ulama’ yang bersidang pada 15 Zulhijjah 1426H bersamaan 15 Januari 2006 dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan Kelantan membuat Fatwa yang berikut:

 

Bahawa Seseorang bapa harus dan masih ada hak untuk menarik balik sebarang harta yang dihibahkan kepada anaknya semasa ada melalui lafaz atau perbuatan selagi harta tersebut masih berada di bawah milik mutlak anaknya dan harta tersebut masih belum hilang dari kuasa anaknya.

 

Adapun P.A (surat wakil kuasa) yang diberikan oleh Nik Rahmat Bin Wan Hasan (anak)  kepada Dato’ Wan Hasan Bin Abdul Halim (bapa) tidak menjadi halangan kepada Dato’ Wan Hasan Bin Abdul Halim iaitu pemilik asal kepada tanah Lot 290 dan 291, Seksyen 4, Bandar Kota Bharu untuk menarik balik tanah yang dihibahkan kepada anaknya ( Nik Rahmat Bin Wan Hassan) secara perbuatan dengan mewakafkan tanah tersebut.

 

Oleh itu, pewakafan yang dilakukan oleh Dato’ Wan Hasan Bin Abdul Halim ke atas tanah di Lot 290 dan 291, Seksyen 4 , Bandar Kota Bharu adalah sah di sisi hukum syara’.

 

 

Fatwa  2.

 

Tarikh keputusan        :29hb Oktober,1960

Status Penwartaan     : Warta

Tarikh Diwartakan      : 24hb November 1960

No Rujukan                  : (M.U.I Bil. 60/291).

Akta/Enakmen             : Vol. X111. No. 239

 

 

Kategori  :  Sosial Syariah

 

Soalan      :  FATWA MENGENAI PUJA PANTAI “ DI PANTAI CINTA BERAHI”

       

Rang Persiaran “ Fatwa Jawatankuasa Ulama’ “ Dalam Warta Kerajaan Undang-Undang Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu  Dan Mahkamah-Mahkamah Kadhi No 1 Tahun 1953

( Persiaran dibawah bab 42 (4) daripada undang-undang nombor 1/53)

 

Bahawa mengikut bab 43(3) daripada Undang-Undang Majlis Agama Islam Dan Istiadat Melayu dan Mahkamah-Mahkamah Kadhi Nombor 1 tahun 1953, Majlis Agama Islam Dan Istiadat Melayu Kelantan menetapkan supaya di siarkan Fatwa bagaimana di bawah ini:

 

Soalan:

Apakah hukumnya terhadap puja pantai “Di Pantai Cinta Berahi” bagaimana cara-cara dan istiadat-istiadat memuja itu ada terkandung di dalam Majalah Mestika keluaran bulan Jun,1960 di muka 16-19?

 

Jawapan:

Istiadat puja pantai seperti yang dilakukan bagaimana yang diceritakan di dalam Majalah Mestika keluaran bulan Jun, 1960, itu hukumnya adalah haram dan perbuatan meminta perlindungan daripada hantu-hantu, puaka-puaka, jin atau sebagainya itu adalah perbuatan sesat yang mana dengan perbuatan yang seperti itu jin-jin, puaka dan hantu syaitan itu menjadikan mereka bertambah-tambah sesat lagi, seperti Firman Tuhan di dalam Al-Quran ayat 6 surah Al-Jin, yang bererti “ Sesunggunya ada lelaki daripada bangsa Manusia, mereka meminta perlindungan dari lelaki bangsa Jin, maka dengan sebab perbuatan yang seperti itulah jin-jin itu menjadikan bertambah-tambah sesat”.

 

 

FATWA MENGENAI PEMBANGUNAN DI TANAH-TANAH  WAKAF KHAS DI BAWAH KAWALAN MAJLIS AGAMA ISLAM KELANTAN

 

Kategori  : Syariah

 

 Keputusan  :

 

Mesyuarat Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2004 di Bilik Mesyuarat Tingkat Tiga Majlis Agama Islam Kelantan  pada 4 Julai 2004 telah membincangkan isu Fatwa  Mengenai Pembangunan Di Tanah-Tanah Wakaf Khas Di Bawah Kawalan Majlis Agama Islam Kelantan dan telah bersetuju  memutuskan seperti berikut:

 

Setelah membincangkan masalah ini dengan terperinci, mesyuarat Jemaah Ulama’ bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:

 

  1. Tanah-tanah wakaf khas di bawah kawalan Majlis Agama Islam Kelantan seperti tanah wakaf Al-Marhum Tengku Kaya Pahlawan dan lain-lain, boleh dibangunkan dengan bangunan kerana tidak menghilangkan ain (harta benda) yang diwakaf. Walau bagaimanapun kehendak atau syarat pewakaf hendaklah dijaga dan dihormati kerana para fuqaha’ menyebut syarat pewakaf adalah seumpama nas syara’.

 

  1. Usaha pembangunan yang dilaksanakan di tanah-tanah wakaf khas itu hendaklah tidak menyebabkan hilang sifatnya sebagai harta wakaf atau manfaatnya, bahkan menambahkan lagi manfaatnya hasil dari pembangunan yang diusaha di atas tanah tersebut.

 

  1. Pembangunan boleh dilakukan secara usahasama oleh pihak-pihak yang terlibat iaitu pemaju projek pembangunan dan nazir tanah wakaf khas yang menjaga kepentingan pewakaf dan mauquf alaih dengan syarat projek usahasama ini akan berlaku adil kepada kedua-dua pihak.

 

  1. Pihak yang membangun tanah tersebut tidak boleh diberi hak kekal ke atas bangunan. Mereka hanya berhak untuk mendapat pulangan balik modal pelaburan kerana pemberian milik akan menyebabkan hilang ain ke atas tanah wakaf dan bertentangan dengan hukum syara’.

 

  1. Pulangan pelaburan kepada pemaju di atas projek pembangunan di tanah-tanah wakaf khas ini boleh dilakukan samada :

 

    1. Pemaju mendapatkan dahulu pulangan balik pelaburan, setelah selesai mendapat pulangan balik pelaburan, bangunan tadi dijadikan sepenuhnya sebagai harta wakaf dan segala pendapatan diurus mengikut apa yang dikehendaki oleh pewakaf.

 

    1. Pihak yang bertanggungjawab mengurus harta wakaf tersebut boleh mengambil kos pengurusan secara berpatutan dan selebihnya diagih sebagaimana kehendak pewakaf.

 

  1. Majlis Agama Islam Kelantan sebagai Nazir yang menjadi pengawal tunggal ke atas tanah wakaf am atau khas yang terletak hak kepadanya, tiadalah boleh melakukan pemindah hakkan  atau penyerah hakkan kepada mana-mana pihak lain samada mauquf alaih (pewaris si pewakaf) atau individu atau syarikat terhadap pengurusan tanah dan harta wakaf yang berada di bawah kawalan dan Pentadbiran Majlis Agama Islam Kelantan.

 

  1. Dalam usaha Majlis Agama Islam Kelantan memajukan tanah wakaf khas Al-marhum Tengku Kaya Pahlawan di Lot 2136 Mukim Panchor, Kota Bharu dengan membina kompleks Islam yang mengandungi Maahad Tahfiz Al-Quran, rumah anak yatim, markaz saudara baru dan beberapa lot gudang perniagaan, mesyuarat membuat keputusan bahawa pembangunan projek ini diharuskan dan tidak bercanggah dengan hukum syara’.

 

Huraian:

 

Fatwa ini di keluarkan berdasarkan fakta-fakta dan nas-nas berikut:

 

  1. Pembangunan yang akan dilaksanakan di atas tanah wakaf ini tidak akan menyebabkan hilang sifatnya sebagai harta wakaf atau manfaatnya bahkan ia akan menambahkan lagi hasil dan manfaat kepada pewakaf dan (mauquf alaih) (anak cucu Al-Marhum) baik dari segi ruhani (keagamaan) dan material (kewangan) berbanding sekiranya tanah ini dikekalkan dalam keadaan asal.

 

  1. Pewakaf tidak mensyaratkan supaya tanah ini tidak dibangunkan beliau hanya mensyaratkan supaya tanah tersebut tidak dijual dan ditukar ganti (istibdal). Ini bererti membina bangunan di atas tanah tersebut tidak melanggar syarat pewakaf dan sekiranya beliau mensyaratkan sekalipun, syarat tersebut terbatal kerana bercanggah dengan maslahah wakaf iaitu untuk mendapat manfaat yang lebih. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut: “العبرة في العقود المقاصد لا الألفاظ ”. Maksud: “ Sesuatu yang di ambil kira dalam akad ialah tujuan bukan semata-mata lafaz.

 

  1. Hanya pihak nazir sahaja iaitu Majlis Agama Islam Kelantan yang berhak menentukan kemaslahatan terhadap tanah-tanah wakaf Al-Marhum Tengku Kaya Pahlawan dari segi pengurusan bagi menjamin manfaat dan hasil dari tanah-tanah wakaf ini mencapai kehendak pewakaf dan diterima oleh mauquf alaih (anak cucu Al-Marhum). Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

“ تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة ”. Pengurusan pemerintah terhadap rakyat-rakyatnya adalah berasaskan kemaslahatan.

 

 Kitab Fiqh Islami Wa Adillatuhu  karangan Dr.Wahbah Zuhaili, juzuk 8 halaman 178: Iradatul Wakaf.

  "المقصود هنا هى التي يقوم بالتعبير عنها"

      وثيقة – في صورة مجموعة من الشروط التي يحدد بها كيفية ارادة اعيان الوقف. وتقسيم ريعة، وجهات الإستحقاق من هذا الريع. ويطلق على تلك الشروط في جملتها اصطلاح " الشروط الوقف" وقد أفضى الفقهاء فقالوا: " ان شرط الواقف كنص الشارع" في لزومه ووجوب العمل به. وعلى ذلك نظروا الى  وثيقة الوقف الخجة باعتبارها "دستورا" واجب الاحترام، وان احكامه واجبة التطبيق، ولكنهم حددوها بأن تكون محققة لمصلحة شرعية. وموافقة للمقاصد العامة للشريعة، وابطالوا كل شرط يؤدي الى اهدار مصلحة معتبرة، وكانت- هذه وتلك- من عناصر فاعليتها، ومن أهم أسباب زيادة الطلب الاجتماعى لها.                                                                               

كتاب احكام الاسرة الاسلام جزء 5 هلامن 369: v

 " واستيفاء المنفعة من العين الموقوفة يختلف باختلاف العين نفسها وما أعدت له من وجوه الانتفاع، كما   يختلف ايضا باختلاف ما يشترطه الواقف نفسه. فاذا نص الواقف على طريق معين للانتفاع بالعين   الموقوفة وجب احترام رغبتة والعمل على تحفيفها، ما دام ذلك يوافق الشرع او العرف ولا ي خالفهما، لأنهم كما قالوا شرط الواقف ما دام صحيحا كنص الشارع".                                       

           

Tarikh keputusan :  04 Julai 2004

Tarikh Kemaskini 17 Nov 2019 © {2019} Jabatan Mufti Negeri Kelantan. Hak Cipta Terpelihara.

Please publish modules in offcanvas position.