Soalan :

Apakah hukum menggunakan wang yang diperolehi daripada sumber yang haram?

Jawapan:

Wang yang diperolehi melalui benda-benda haram, sama ada dengan jalan jual beli, jalan sewa, jalan upah dan selainnya hukumnya haram, walaupun dilakukan dengan orang yang bukan Islam, wang itu tidak harus dibuat beli makanan, pakaian atau apa-apa jua pun, kerana wang itu tidak bersih.

Mustahak diketahui nilai bersih atau tidaknya sesuatu harta benda itu, sama ada wang atau lainnya, bukanlah dengan memandang kepada diberikan wang itu sendiri, tetapi dengan memandang kepada jalan kemasukan itu kotor maka kotorlah nilai wang itu, dan begitulah harta benda yang lain.

Soalan  :

Memohon pendapat berkenaan teater pada pandangan Islam. Persatuan mahasiswa Universiti kebangsaan Malaysia (PMUKM) akan menganjurkan satu program yang julung kali diadakan iaitu perhimpunan, mahasiswa asia tenggara alaf baru (PERMAT 2000) yang akan diadakan pada 7 hingga 10 Ogos 2000.

Sempena PERMAT 2000 pihak kami dijangka akan mengadakan suatu program teater yang mengisahkan lagenda masyarakat melayu di majlis perasmian penutup PERMAT 2000 bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak University Kebangsaan Malaysia.

Sehubungan dengan itu, kami mengharapkan pendapat dan pandangan dari Dato’ berkenaan program teater ini secara huraian yang terperinci berpandukan dalil-dalil dari al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Ulama’ mu’tabar agar ia selaras dengan ajaran Islam.

 

Jawapan:

Peruntukan undang-undang pentadbiran Negeri Kelantan kepada pejabat Mufti Negeri Kelantan hanya terpakai setakat dalam negeri ini sahaja. Maka di luar bidangkuasa pejabat ini untuk memberi jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan. Lebih tepat persoalan itu ditujukan kepada pejabat mufti negeri di mana tuan berada, sebagai seorang yang bermukim atau pemastautin.

Soalan yang dikemukan itu nampaknya begitu umum mengenai teater. Sekadar irsyad sahaja boleh disebut secara umum juga bahawa persembahan teater itu tidak ada apa-apa halangan jika dapat memenuhi kehendak aqidah, syariah dan akhlak Islam. Antara lain;

1)     Lakonan, dialog, pengucapan/bacaan dan perbuatan-perbuatan yang lain yang tidak ada unsur-unsur syirik, kufur atau lucah.

2)     Tidak terdapat lakonan atau upacara keagamaan atau unsur-unsur peribadatan agama yang kufur.

3)     Tidak terdapat unsur-unsur khurafat seperti pemujaan, roh, semangat, hantu, syaitan,  jin atau keramat

4)     Tidak mengandungi unsur-unsur penghinaan, celaan, cacian, fitnah, perkelahian, perbalahan yang boleh memecah belahkan perpaduan umat Islam

5)     Tidak melekakan dari melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah, suruhan agama diri sendiri, keluarga dan masyarakat

6)     Tidak dilakukan oleh lelaki bersama perempuan, bercampur aduk tanpa batasan atau dilakukan oleh wanita yang mendedahkan aurat atau terdapat watak lelaki menyerupai wanita atau sebaliknya.

Mana-mana persembahan yang bercanggah dengan mana-mana garis panduan tersebut sudah tentu persembahan itu berlawanan dengan kehendak syara’.

Sekadar itu yang dapat diberikan. Walaubagaimana pun yang muktamad adalah pandangan yang dikeluarkan oleh pejabat mufti negeri dimana tuan berada.

Soalan :

Bagaimanakah hukum suntikan benih yang diambil daripada tabung benih?

Jawapan :

Perbuatan menyuntikkan benih yang diambil daripada tabung benih ke dalam rahim perempuan sebagaimana dalam pertanyaan ini adalah perbuatan yang haram, maka anak yang hasil dari suntikan demikian adalah anak haram, tidak ada bapanya.

 

Soalan :

Tayangan wayang gambar di dalam bulan puasa 1998/1999 mulai jam 8.00 malam untuk semua jenis filem dan pada waktu siang hari daripada pukul 10.00 pagi hingga 5.30 petang.

Jawapan:

Memandangkan pihak pengurusan lido cinema dapat memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak berwajib, selagi mereka tidak melanggar syarat-syarat yang dikenakan, maka saya rasa tidak ada sebab untuk tidak membenarkan permohonan.

Soalan :

Pohon pandangan mengenai sukan tomoi.

Jawapan:

Bagi menjelaskan persoalan yang dikemukan, saya kemukakan jawapannya adalah seperti berikut;-

Pada dasarnya, bersukan itu menjadi salah satu tuntutan dalam ajaran Islam. Sukan diperlukan untuk menjaga kesihatan terutamanya fizikal dan mental. Selain dari itu, bersukan seperti silat adalah untuk mempertahankan diri juga dituntut oleh Islam.

Apa yang menjadi persoalan secara khusus ialah mengenai sukan tomoi. Sukan ini dapat dinyatakan seperti berikut;-

a)    Sukan tomoi yang dipelajari dan diamalkan bagi tujuan menjaga kesihatan tubuh badan, akal fikiran dan sebagai alat menjaga, mengawal diri yang tidak membawa kepada kemudaratan dengan mematuhi akhlak dan syariat Islam adalah harus.

b)    Sukan tomoi yang dipelajari dan diamalkan bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam seperti menyertai pertandingan yang melibatkan perjudian, pertaruhan yang membawa kemudaratan tubuh badan, akal fikiran yang boleh membawa kepada perkelahian, permusuhan, dendam, sombong, angkuh, takbur dan seumpamanya adalah haram.

Tarikh Kemaskini 19 sep 2019 © {2019} Jabatan Mufti Negeri Kelantan. Hak Cipta Terpelihara.

Please publish modules in offcanvas position.