Perbincangan mengenai pindaan Akta Penjagaan Budak 1961 dan Akta Ibu

PERBINCANGAN MENGENAI  PINDAAN AKTA PENJAGAAN BUDAK   1961 DAN AKTA IBU

 

Kategori   :  Sosial/Syariah

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali ke 1/2001 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Pejabat Majlis Agama Islam Kelantan pada 23 September 2001 telah membincangkan isu Perbincangan Mengenai Pindaan Akta Penjagaan Budak 1961 Dan Akta Ibu dan telah bersetuju  memutuskan seperti berikut  :

 

1. Pindaan Akta Penjagaan Budak 1961 dan Akta Ibu adalah tidak boleh diterima pakai oleh orang-orang Islam di Negeri Kelantan atas alasan - alasan  berikut :

 

(i) Tidak selaras dengan hukum syara’ kerana mengikut hukum syarak, dari segi hak penjagaan kanak-kanak, ibu telah diberi hak keutamaan berbanding dengan bapa selagi kanak-kanak belum mencapai had umur yang mampu bagi mereka mengurus diri mereka sendiri dan selagi ibu masih berkelayakan, kemudian diikuti lain-lain urutan kerabat. Begitu juga dengan hak penjagaan harta yang mana hukum Syara’ memberi hak kepada bapa untuk mengurus harta kanak-kanak bawah umur diikuti oleh datuk yang  sahih seterusnya orang-orang yang diwasiatkan. Manakala akta ini memberi hak yang sama kepada ibu dan bapa.

 

(ii) Tidak selari dengan Enakmen Keluarga Islam Kelantan 1983, di mana enakmen ini telah memperuntukan secara jelas urutan kerabat atau orang lain sebagai penjaga. Manakala akta ini memberi hak yang sama kepada ibu dan bapa.

 

2. Bagi tujuan pemakaian akta ini kepada orang bukan Islam, sekiranya kelulusan Badan Perundangan Negeri diperlukan untuk melaksanakan akta ini di Negeri Kelantan, mesyuarat bersetuju supaya satu perjumpaan antara S.S Mufti Kerajaan Kelantan dan Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri diadakan untuk memastikan orang Islam tidak terlibat dalam peruntukan akta ini.

 

3. Mesyuarat bersetuju penjelasan secara bertulis mengenai masalah di atas dihantar kepada Yang Berhormat Penasihat Undang- Undang Negeri .

Tarikh Kemaskini 19 sep 2019 © {2019} Jabatan Mufti Negeri Kelantan. Hak Cipta Terpelihara.

Please publish modules in offcanvas position.