Harta Pusaka siri 2

Kewajipan Berkaitan Pusaka Si Mati

 

Terdapat lima kewajipan berkaitan harta pusaka si mati yang perlu dilaksanakan. Ia hendaklah dilakukan berdasarkan tertib di bawah.

  1. Hutang sebelum kematian si mati yang berkait dengan barang yang menjadi harta pusaka, separti gadaian. Sesiapa yang menggadaikan hartanya, kemudian meninggalkan dunia tanpa memiliki harta lain selain harta itu, maka hutang pemegang gadaian hendaklah didahulukan daripada yang lain, termasuk keperluan persiapan dan pengkafanan jenazah.

Begitu juga jika seseorang membeli barang tetapi mati sebelum sempat mengambil dan membayar harganya, maka hak si penjual lebih berhak ditunaikan daripada mengurus dan mengkafankan jenazah. Sama seperti jual beli dan gadaian, zakat harta yang telah wajib dikeluarkan zakat perlu didahulukan kerana si mati berhutang dengan zakat. Jadi ia perlu diutamakan daripada persiapan dan pengkafanan jenazah.

Harta-harta yang digadaikan oleh si mati semasa hidupnya mestilah terlebih dahulu ditebus sebelum harta itu di jadikan sebagai tarikah untuk ahli-ahli waris yang berhak menerimanya.

  1. Persiapan jenazah. Persiapan jenazah perlu didahulukan daripada semua jenis hutang selain di atas. Ia juga didahulukan daripada pelaksanaan wasiat dan hak pewaris. Ini kerana persiapan jenazah dianggap sebagai hak jenazah sebagai seorang manusia yang perlu ditunaikan. Hak supaya auratnya ditutup di liang lahad perlu dihormati.

Persiapan yang dimaksudkan di sini ialah segala perbelanjaan yang membabitkan pengurusan jenazah dari saat kematiannya sehingga dikebumikan. Ia dilaksanakan tanpa berbelanja lebih atau kurang mengikut lunas yang diharuskan oleh syarak. Kesederhanaan dalam membelanjakan harta telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Furqan:

وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan hartanya tidak berlebih-lebihan, dan tidak pula kikir, tetapi adalah perbelanjaannya itu di tengah-tengah antara yang demikian”. (Surah al-Furqan : 67)

Termasuk dalam ertikata persiapan jenazah ialah mempersiapkan jenazah mereka yang menjadi tanggungan si mati, iaitu isteri dan anak-anaknya. Oleh itu, jika isteri atau anaknya yang masih kecil mati beberapa minit sebelum kematiannya, maka jenazah mereka wajib diuruskan menggunakan hartanya. Ia sama seperti tanggungjawabnya ketika mereka masih hidup.

Menurut pendapat Al-Shafi’iyyah dan Abi Yusuf dari kalangan al-Hanafiyyah, kos pengurusan dan pengebumian jenazah isteri perlu diambil dari harta suami sekiranya suami masih hidup dan diambil dari harta peninggalan suami sekiranya si suami telah meninggal dunia, tanpa mengambil kira status sosial seorang isteri, sama ada seorang yang kaya atau miskin.

Jika si mati seorang fakir dan tidak memiliki apa-apa untuk menguruskan jenazahnya, tanggungjawab menguruskan jenazahnya dipikul oleh orang yang menyaranya keika hidup, sama seperti kes anak dan isteri. Jika tiada juga, ia menjadi tanggungjawab orang-orang Islam yang kaya.

  1. Hutang yang berada di dalam tanggungan (zimmah) si mati. Ia dikemudiankan daripada belanja pengurusan jenazah. Tetapi diutamakan berbanding wasiat dan hak pewaris, sama ada ia merupakan hak Allah, seperti zakat, nazar dan kaffarah; ataupun hak manusia seperti pinjaman atau sebagainya.

Berhubung dengan hutang-hutang yang masih menjadi tanggungan si mati mestilah juga dibayar dan diselesaikan lebih dahulu sebelum harta dibahagi-bahagikan kepada ahli waris yang berhak menerimanya.

Dalam masalah ini, jika ahli waris secara Bersama untuk membayar hutang si mati itu, atau salah seorang daripada mereka itu dengan keredaan hatinya sanggup menjelaskan semua hutang si mati, atau sebahagiannya sahaja, maka ahli waris perbuatan trersebut adalah merupakan sebagai kebajikan bagi ahli waris itu.

Dalam kes ini hak Allah perlu dilaksanakan terlebih dahulu berbanding hak manusia.

  1. Wasiat dengan (1/3) daripada baki harta. Menurut ijmak ulamak, wasiat ini dikemudiankan daripada hutang tetapi diutamakan berbanding hak pewaris. Allah Taala berfirman:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Maksudnya: “(pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutangnya. (An-Nisa’: 11)

Ayat ini menyebutkan wasiat terlebih dahulu bukan bermaksud ia wajib diutamakan berbanding hutang. Ia sebagai suatu tanda keperihatinan dan galakan agar pewaris menunaikannya. Ini kerana wasiat sering dipandang remeh oleh para pewaris kerana menganggap ia hanyalah sumbangan si mati. Bahkan ada yang berpendapat wasiat ini merampas hak mereka sebagai pewaris.

Diriwayatkan daripada Ali r.a bahawa Nabi SAW menunaikan hutang terlebih dahulu sebelum wasiat, sedangkan kamu membaca (dalam al-Quran, ayat yang menyebut tentang) wasiat dahulu sebelum hutang.

Tetapi jika wasiat itu lebih dari satu pertiga dari harta tarikah, maka wasiat yang lebih itu tidak diluluskan oleh hukum syarak dan tidak sah, kecuali dengan keredaan dan izin serta persetujuan ahli-ahli waris. Ini adalah berhujah dengan sabda Rasulullah SAW kepada sahabatnya Sa’ad bin Abi Waqas mengenai pertanyaan beliau semasa beliau sakit:

" الثلث والثلث كثيرا، إنك أن تذر ورثتك اغنياء خير من أن تذرهم عالة يتكففون الناس"

Maksudnya: “Satu pertiga, satu pertiga itu adalah banyak. Sesungguhnya engkau tinggalkan waris engkau dalam keadaan kaya lebih baik dari engkau tinggalkan mereka dalam keadaan miskin menghulurkan tangan meminta-minta kepada manusia”

  1. Ini adalah hak terakhir yang berkaitan dengan harta peninggalan. Ia dibahagikan kepada para pewaris mengikut bahagian masing-masing. Berhubung dengan memberi hak ahli waris hendaklah dilaksanakan setelah disempurnakan hak-hak yang berkaitan dengan tarikah mengikut ketentuan-ketentuan yang dijelaskan dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Harta tarikah itu tidak harus dibahagi-bahagikan kepada ahli waris sebelum disempurnakan dan diselesaikan perkara-perkara tersebut.

 

 

Rujukan:

  1. Kitab Fikh Al-Manhaji. Pustaka Salam Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
  2. Said bin Ibrahim (2008). Sistem Pusaka Islam. Al-Hikmah Sdn. Bhd. Selangor.
  3. Wahbah Al-Zuhaili. Tafsir Al-Munir. 4/287
  4. Abdul Muhaimin Mahmood (2019). Liabiliti Hak Berkaitan Pusaka. http://e-muamalat.islam.gov.my/ms/bahan-ilmiah/artikel/158-liabiliti-hak-berkaitan-harta-pusaka
  5. Mushaddad bin Hasbullah, Zahari Mahad Musa, Zaharuddin Zakaria (2017). Pensyariatan Faraid Mengikut Kerangka Fiqh Islam. Seminar Hibah & Faraid. Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM

      

© {2019} Jabatan Mufti Negeri Kelantan. Hak Cipta Terpelihara.

Please publish modules in offcanvas position.