Ahad - Khamis: 8:00 - 17:00
Jumaat-Sabtu Tutup
(+609) 7482023/ 74822024/ 7482025
Telefon
(+609) 747 8170
Faksimili

KEPIMPINAN POLITIK DI MALAYSIA

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Soalan  :

Memohon mendapatkan keputusan fatwa/hukum mengenai kepimpinan politik wanita di Malaysia.  Saya seorang calon ijazah tinggi diperingkat Sarjana Syariah Dari Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, University Malaya dan sedang menjalankan penyelidikan bertajuk “isu-isu kepimpinan politik wanita dalam masyarakat Malaysia : tinjauan dari perpekstif SiasahSyar’iyyah”.

Di atas jasa baik, saya memohon agar pihak tuan dapat menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan bagi menyelesaikan kemusykilan yang berbangkit dalam penyelidikan ini.

Persoalan kajian ialah;-

1)     Adakah wanita dibenarkan menyertai dalam bidang politik? (ya/tidak)

2)     Selepas kedatangan Islam di bumi arab, bagaimanakah hukum dan kedudukan wanita dalam bidang politik terutamanya pada zaman Khulafa’ ar-Rasyidin.

3)     Sejauhmanakah wanita dibenarkan terlibat dalam bidang politik agar selari dengan syariat Islam?

4)     Dalam konteks Negara Malaysia, apakah hukum wanita dibenarkan menjadi wakil rakyat di dalam;

a)    Dewan undangan negeri (ADUN)

b)    Parlimen

5)     Apabila seseorang itu mewakili parlimen memang tidak dapat dielakkan kemungkinan besar wanita tersebut dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri terutamanya dalam menggubal dasar. Apakah hukumnya?

6)     Apakah hukum sekiranya pada masa akan datang ada wanita dilantik menjadi perdana menteri?

7)     Apakah hukum ke atas wanita yang menuntut lebihan kerusi dalam parlimen dan adakah ia wajar atau tidak?

8)     Dalam menghadapai dunia globalisasi kini, wajarkah wanita menyertai politik memandangkan tanggungjawab utama wanita lebih tertumpu pada urusan rumahtangga?

Jawapan:

Sebelum jawapan diberikan kepada soalan-soalan yang dikemukakan terlebih dahulu perhatian perlu diberikan kepada kedudukan wanita dalam Islam.

Salah satu prinsip dan tema utama ajaran Islam adalah persamaan antara manusia, baik lelaki dan wanita.

Islam yang pertama memberi hak dan mengangkat kedudukan wanita. Islam memberi hak kepada wanita untuk menguruskan haknya menurut ketentuan syariat.

Persamaan antara lelaki dan wanita baik dari sudut hak dan kewajipan.

al-Marhum Mahmud Syaltut pernah menyatakan “tabiat kemanusiaan antara lelaki dan wanita hampir dapat dikatakan sama”.

Tuhan menganugerahkan potensi dan kemampuan yang cukup untuk lelaki dan wanita memikul tanggungjawab, melaksanakan aktiviti yang bersifat umum mahu pun khusus. Lantaran itu, lelaki dan wanita diletakkan dalam satu kerangka.

Lelaki menjual dan membeli, wanita juga dibenarkan menjual dan membeli. Lelaki berkahwin perempuan berkahwin. Lelaki melanggar hukum dihukum, wanita melanggar hukum juga dihukum. Lelaki menjadi saksi, wanita juga menjadi saksi. Begitulah seterusnya.

Jawapan kepada persoalan yang berbangkit:

 

1)     Ya, dibenarkan dalam bidang politik dan politik kepartian.

Alasan: tertera dalam Surah al-Taubah.

“Orang-orang yang beriman lelaki dan wanita, setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan rasulNya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah maha berkuasa lagi  maha bijaksana”

(al-Taubat:71)

Ayat tersebut menggambarkan tentang kewajipan kerjasama antara lelaki dan wanita dalam pelbagai kehidupan. Ini boleh difahami dengan perintah “ menyuruh melakukan yang makruf dan mencegah yang mungkar”.

Apa yang terkandung dalam perintah “amar makruf” dan “nahi munkar” mencakupi segala kebaikan dalam kehidupan.

Perkataan “awliya” yang bermaksud menjadi penolong iaitu bekerjasama, bantu membantu bagi perkembangan masyarakat, termasuklah bidang politik.

Nabi bersabda yang bermaksud:

“sesiapa yang tidak mempedulikan kepentingan, urusan kaum muslim, maka dia tidak termasuk dalam golongan mereka”.

Penglibatan dalam urusan kaum mualimin samada besar atau kecil, meluas atau sempit, bergantung kepada tahap kebolehan seseorang dari segi latar belakang pendidikan dan sebagainya. Urusan kaum muslimin termasuk bidang politik.

Al-quran juga menggesa agar orang Islam lelakI, perempuan mengendalikan urusan mereka secara bermesyuarat

“dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat”

(al- Syura: 38)

Urusan bermesyuarat menjadi sebahagian urusan berpolitik samada lelaki atau wanita. Tiada ketentuan secara jelas yang boleh difahami sebagai melarang keterlibatan wanita dalam bidang politik.

Di zaman nabi, wanita melakukan bay’at, janji setia kepada Nabi dan Islam.

Bay’at yang dilakukan oleh wanita di zaman Rasulullah boleh dijadikan bukti wanita terlibat dalam politik.

 

2)     Terdahulu telah dinyatakan bahawa penyertaan wanita dalam politik yang sihat adalah harus seperti yang disyaratkan wanita di zaman rasulullah melakukan bay’at janji setia kepada Rasulullah dan ajaran Islam

Wanita terlibat di medan perang di zaman Rasulullah, isteri-isteri nabi terlibat dalam memberi nasihat kepada Rasulullah dan Rasulullah telah menerima baik pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh mereka.

Sejarah juga telah mencatatkan bahawa Saiyuidatina Aishah (r.a) pernah memimpin angkatan bersenjata dalam peperangan yang dinamakan perang “Jamal” semasa pemerintahan Khalifah Ali Bin Abi Talib. Walaupun pengkaji sejarah merekodkan bahawa Saiyiditina Aishah menyesal dengan peristiwa perang Jamal tetapi kekesalan itu kerana pertumpahan darah yang dianggap sebagai perang saudara bukan kekesalan kerana merasakan bersalah menjadi pemimpin, mengepalai pasukan perang.

Asma Binti Abu Bakar terlibat dalam gerakan stategi hijratul rasul ke madinah apakah ini bukan satu isyarat keharusan penglibatan wanita dalam bidang kehidupan kemasyarakatan dan politik.

Di zaman pemerintahan Khalifah Harun Arrasyid, isterinya Zuabaidah Binti Jaafar telah terlibat dalam membentuk polisi atau dasar sosial kerajaan.

Pembinaan tali air yang dikenali “Ain Zubaidah” cukup jelas peranan wanita dalam pemtadbiran Negara, dasar yang digubal untuk kebaikan dan faedah kepada rakyat.

 

3)      

a)    Wanita dibenarkan terlibat dalam wardah politik yang misinya murni, sihat dari segi kaca mata syarak. Politik sebagai wadah penyaluran aspirasi umat yang menghayati Islam sebagai al-Din, agama wahyu yang murni, bukan mengagamakan parti politik ciptaan manusia yang mengamalkan politik dalam erti parti adalah ciptaan manusia yang terdedah kepada betul dan kemungkinan salah. Bukan juga mempolitikkan agama dalam erti menjadikan agama sekadar alat untuk mencapai kuasa politik bukan untuk mendaulatkan agama secara jujur.

Wanita diharuskan berpolitik secara agama, dalam erti menjadikan ajaran agama sebagai panduan melaksanakan urusan politik.

b)    Wanita dibenarkan terlibat dalam wardah politik yang mematuhi peraturan, kod etika, dan akhlak Islamiah seperti pergaulan, berpakaian dan sebagainya.

Dapat mendisiplinkan diri dalam pembahagian tugas sebagai isteri, ibu dan keluarga.

Tentulah tidak wajar dilihat dari sudut keutamaan sekiranya kerjaya politik lebih berjaya sedangkan kewajipan keluarga dan rumah tangga terabai.

 

4)     Al-quran memperakui peranan wanita sebagai saksi.

“dan hendaklah kamu mengadakan dua saksi lelaki daripada kalangan kamu. Kalau kamu tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu persetujui menjadi saksi”

(al-Baqarah: 282)

Kalau wanita dipertanggungjawab dalam hal kesaksian, apakah wanita tidak boleh dipertanggungjawabkan dalam hal perwakilan?

Imam Nawawi telah menampilkan formula, bahawa seseorang yang dia haruskan mengurus sesuatu urusan sendiri maka dia diharuskan mewakilkan kepada orang lain untuk menguruskannya adalah sah menurut hukum dia wakil kepada orang lain menguruskannya.

Berasaskan formula ini adakah sah atau harus wanita menjadi wakil rakyat?

Dalam konteks Malaysia, dewan undangan negeri (ADUN) dan dewan parlimen, kedua-dua dewan ini adalah berfungsi membuat undang-undang peraturan, akta, enakmen. Dewan-dewan itu juga berperanan mengubal dasar-dasar dan mengawasi perlaksanaan dasar.

Jadi jelas wanita tidak dilarang terlibat dalam bidang perundangan dan juga dalam pengawasan.

Dewan-dewan yang wujud di Malaysia boleh disifatkan sebagai bertugas melakukan amar makruf dan nahi mungkar yang dituntut ke atas mukalaf lelaki dan wanita.

1)     Bilangan penduduk negara ini dari segi jantina sama atau berlebihan kurang hanya tidak banyak beza.

Prestasi yang ditunjukkan oleh wanita dalam bidang-bidang yang diceburinya menunjukkan kemajuan yang tidak boleh dipertikaikan. Dalam lapangan pelajaran dan pendidikan wanita mampu memperlihatkan kecemerlangan yang ketara.

Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh wanita, kualiti diri, kematangan berfikir bertindak dan membuat keputusan yang menyakinkan, berwibawa, rajin dan berketerampilan. Ciri yang positif ada pada wanita, apakah yang menghalang mereka untuk memberi  sumbangan dalam parlimen atau dewan negeri.

“berilah  kepada setiap yang berhak itu haknya”

2)     Isu besar dalam persoalan ini ialah disiplin dan pengurusan masa adalah jawapan kepada persoalan berbangkit.

Ramai wanita atau ibu telah berjaya dalam kerjayanya yang dapat mendisiplinkan diri dan menguruskan masa yang baik. Ibu yang gagal mendisiplinkan diri dan pengurusan masa walaupun tidak bergiat di luar rumah, ramai dikalangan mereka gagal mempertingkatkan kualiti diri dan keluarga mereka.

Wanita-wanita yang mempunyai kualiti diri, matang, berfikiran luas, mampu bertindak secara positif, berwibawa dan berketerampilan wajar melibatkan diri dalam bidang politik. Sebagai pengundi, ahli parti, penasihat politik kepada parti atau kerajaan memimpin parti, menggubal dasar-dasar bersama kaum lelaki untuk mencorakkan kerajaan atau pemerintahan yang kuat dalam mendepani dan menangani cabaran globalisasi di masa ini.

logo-kecik-2.png
SYARIAT DI JUNJUNG

Jabatan Mufti Negeri Kelantan

Kompleks Islam Darulnaim,
Jalan Sultan Yahya Petra,15200, Kota Bharu, Kelantan

T (+609) 7482023/ 74822024/ 7482025
F (+609) 747 8170

Web: www.mufti.kelantan.gov.my
Email: jabmufti@kelantan.gov.my

PENSIJILAN

PENAFIAN
Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.
DASAR PRIVASI
DASAR KESELAMATAN
NOTIS HAK CIPTA
© Copyright 2019 Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Kelantan. All Rights Reserved.

Search